SOALAN : Nak tanya... benarkah kopi minuman para wali dan ada sanad minum kopi? Ada juga yang kata kalau mati dalam keadaan masih ada sisa-sisa kopi di dalam perut, si mati tak akan disoal oleh malaikat. Bagi orang-orang Tarekat Ghazaliyah sendiri bagaimana?
JAWAPAN : Saya cuba jawab mengikut turutan.
i) Benarkah kopi minuman para wali?
Tidak dinafikan bahawa ada wali-wali Allah yang meminum kopi. Untuk mengatakan yang kopi merupakan minuman PARA wali (yang boleh membawa maksud kesemua, atau majoriti, atau ramai wali-wali Allah suka minum kopi), kita kena buat sedikit penelitian.
Sefaham kita, wali-wali Allah sudah ada sejak zaman nabi-nabi terdahulu. Selepas berakhirnya zaman para kenabian iaitu apabila Rasulullah SAW wafat, kopi masih belum dikenal sebagai minuman lagi. Ertinya wali-wali Allah sejak zaman Nabi Adam sehingga zaman Rasulullah SAW belum minum kopi.
Setakat bahagian ini, ternyata TIDAK SEMUA wali-wali Allah meminum kopi. Jadi, tidak sesuai untuk dikatakan bahawa kopi itu minuman PARA WALI.
Katakanlah wali-wali Allah selepas zaman kenabian adalah lebih banyak berbanding pada zaman-zaman kenabian. Maka tidak mustahil ada benarnya kopi sebagai minuman KEBANYAKAN WALI atau kopi minuman RAMAI JUGA WALI2. Bahagian ini juga perlu kita teliti.
Yang pastinya, para wali pada zaman-zaman kenabian (zaman Nabi Adam sehingga zaman Nabi Muhammad SAW) memang meminum air tawar semulajadi (air kosong), susu, madu, perahan buah-buahan, air daripada tumbuh-tumbuhan, air hujan dan seumpamanya. Para wali selepas zaman kenabian (sejak zaman para sahabat sehinggalah sekarang) pun minum air-air yang disebutkan tadi. Maka sesuailah jika mahu dikatakan air-air itu adalah minuman para wali.
Cerita leganda mengatakan minuman kopi hanya mula ditemui Afrika iaitu di daerah Kaffa/Kefa di Habsyah/Ethiopia oleh seorang penggembala kambing pada abad ke-9 masihi (Nabi Muhamamd SAW wafat pada abad ke-7). Cerita itu tersebar lalu ia menjadi minuman para biarawan (tak pasti sama ada pendeta2 Kristian atau pun Yahudi). Namun begitu, cerita2 legenda mulut ke mulut tentang penggunaan awal kopi di Afrika paling awal dikesan hanya pada abad ke-15. Cerita penggembala kambing itu pula hanya ditemui tulisan terawal tentangnya pada abad ke-17 (tahun 1671). Jadi, cerita-cerita ini tidaklah kukuh sebagai hujah.
Katakanlah cerita-cerita itu benar, ertinya paling awal ada segelintir wali-wali Allah yang minum kopi sejak abad ke-9. Wallahua’lam.
Bukti-bukti terawal penggunaan kopi sebagai minuman datangnya daripada abad ke-15 di Yaman. Ada ahli-ahli sufi di Yaman ketika itu suka meminum kopi. Sejak itulah minuman kopi beransur-ansur menular ke serata dunia. Oleh itu, boleh jadi SEBAHAGIAN wali-wali Allah ada meminum kopi mulai abad ke-15 khususnya di Yaman dan sekitarnya. Wali-wali Allah yang lain di serata dunia mungkin belum ramai lagi yang pernah meminum kopi pada abad ke-15 itu.
Pada hujung abad ke-17, pedagang-pedagang Barat mula membawa biji-biji kopi untuk ditanam di Nusantara. Boleh jadi sebelum itu kebanyakan wali-wali Allah di Timur (Nusantara, Indochina dan China) belum menjadikan kopi sebagai minuman mereka. Jika ada pun, sebahagiannya sekadar pernah merasa minum kopi.
Ringkasnya, minuman kopi merupakan salah satu minuman yang baru dikenali dalam beberapa ratus tahun kebelakangan ini sahaja. Sebelum itu, banyak lagi minuman lain yang menajdi minuman para wali.
Kesimpulannya, berdasarkan maklumat-maklumat yang dinyatakan di atas, tidak sesuailah jika dhendak dikatakan bahawa kopi minuman para wali. Yang sesuai untuk dikatakan mungkin “kopi minuman sebahagian wali”, ataupun “kopi minuman ramai wali-wali pada zaman ini”. Wallahua’lam.
Bagi Tarekat Ghazaliyah, setahu saya para pengamalnya punya kecenderungan masing-masing. Ada yang minat minum kopi, ada yang biasa-biasa sahaja, ada yang kurang minat, dan ada yang tidak minat. Saya sendiri secara peribadi memang minat minum kopi.
ii) Benarkah ada sanad minum kopi?
Saya tidak ada arif pada bahagian ini, cuma pernah terdengar/terbaca juga tentangnya. Tidak mustahil memang ada sanad-sanadnya. Sekiranya kopi yang baru dikenali itu ada sanadnya, tidak mustahil juga ada sanad minuman2 para wali yang lebih awal berupa air kosong, susu, madu, teh, perahan buah, air tumbuh-tumbuhan, air hujan dan sebagainya. Wallahua’lam.
Bagi Tarekat Ghazaliyah sendiri, tidak ada sanad minum kopi dalam sukatan pelajarannya.
iii) Benarkah jika kita mati dalam keadaan masih ada sisa-sisa kopi di dalam perut, maka kita tidak akan disoal oleh malaikat?
Kenyataan ini ada benar dan ada tidak benarnya. Ia tidak benar jika mahu dijadikan hukum untuk semua. Kita baru minum kopi atau tidak, urusan selepas kematian tetaplah sebagaimana yang dikhabarkan dalam Al-Quran dan as-sunnah. Sebaliknya pernyataan ini benar jika mahu dihukumkan untuk zaman khusus atau kelompok khusus tertentu dengan maksud yang tertentu.
Contohnya, pada abad ke-15 di Yaman. Kopi mula-mula viral dalam kalangan ahli-ahli sufi di sana. Mereka mengambil kopi untuk menyegarkan minda dan anggota bagi membanyakkan amal ibadah. Jadi, orang yang meninggal dunia dan orang itu baru minum kopi, biasanya orang itu ialah seorang sufi, banyak beribadah, banyak berzikrullah, dan sebagainya (kerana ketika itu kopi belum masyhur dalam kalangan orang awwam). Orang sebegini menurut fahaman kita yang dhaif ini biasanya seorang yang Allah cintai. Apabila Allah cinta, maka urusan-urusan selepas kematiannya tentulah sangat dimudahkan oleh Allah. “Dimudahkan urusan” itu disebut dengan lenggok sastera sebagai “malaikat tak soal dah”. Wallahua’lam.
Bagi Tarekat Ghazaliyah pula, tidak ada pernyataan yang sebegitu tentang kopi dan soalan malaikat.
Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
21 Januari 2021
*Isi jawapan diberikan berdasarkan isi soalan sahaja.
No comments:
Post a Comment