Saturday, January 23, 2021

Cara Beruzlah

 

SOALAN : Assalamualaikum wbt ustaz bagaimana hendak beruzlah?


JAWAPAN :

Jawapan yang sesuai dalam hal ini, secara RINGKASNYA beruzlah membawa maksud mengasingkan diri daripada selain Allah untuk lebih “mendekatkan” diri kepada Allah.


Ada 3 jenis uzlah :

i) uzlah tubuh badan sahaja iaitu mengasingkan diri di tempat yang “sunyi” daripada selain Allah yang boleh mengganggu “kedekatan” kita kepada Allah, tetapi qalbu kita masih sibuk juga dengan yang selain Allah itu. Uzlah jenis ini kurang bermanfaat.


ii) uzlah qalbu/hati iaitu qalbunya tertumpu kepada Allah walaupun tubuh badannya sedang sibuk dengan selain Allah. Uzlah jenis ini sangat bermanfaat tetapi agak sukar untuk mencapainya. Kesejahteraan uzlah jenis ini biasanya diperolehi melalui tunjuk ajar guru-guru, ilmu dan latihan-latihan kesufian dalam masa yang panjang.


iii) uzlah qalbu dan tubuh badan sekaligus iaitu mengasingkan diri di tempat yang “sunyi” daripada selain Allah yang boleh mengganggu “kedekatan” kita kepada Allah dan qalbunya juga tertumpu kepada Allah. Uzlah jenis ini memang bermanfaat.


Tempoh masa beruzlah ini tiada ketetapan. Ada orang yang beruzlah sekejap. Ada yang beruzlah lama. Ada yang bersilih ganti antara beruzlah dan tidak mengikut keadaan.


Cara beruzlah yang sesuai untuk kita laksanakan sebagai latihan awal pada zaman ini ialah jenis uzlah yang ke-iii. Sesekali, jauhkan diri sebentar daripada kesibukan dunia dan manusia lalu isilah masa tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah seperti berzikrullah (mengingati Allah), bertafakur, berdoa, bertilawah, bertadabbur, bertauhid, mutala’ah, memasukkan ilmu-ilmu agama ke dalam diri (dengan pelbagai cara), bermunajat, mengerjakan solat-solat sunat, dan seumpamanya. Semuanya mengikut kemampuan dan kesesuaian.


Menurut pandangan Tarekat Ghazaliyah, tempat uzlah jenis ini yang terbaik ialah di masjid, iaitu dengan beri’tikaf. Antara tempat-tempat lain yang bagus untuk beruzlah ialah di surau/musolla, rumah kita sendiri, bilik, dan tempat-tempat lain yang sesuai. Wallahua’lam.


Semoga bermanfaat.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

22 Januari 2021

No comments: