Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas
solat fardhu Isya’ berjemaah. Kelihatan beberapa orang hamba Allah sedang duduk
di beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Ijam, Tok Bilal, Pak Enai, Tok
Imam, Aizam dan Cikgu Hisham. Ada juga dua orang anak kecil sedang bermain-main
di tangga surau – Adik Li dan Ayi.
SESUDAH
SATU PURNAMA
USTAZ : Alhamdulillah. Dapat jugak kita berjumpa lagi sekali Arip.
ARIP : Itulah ustaz. Bulan lepas tu memang kita dah janji nak
jumpa selepas solat Subuh. Tapi tengah malam tu, sedang saya dok kumpul
maklumat-maklumat, dapat panggilan telefon pulak. Mau tak mau nak kena balik KL
waktu tu jugak. Saya mesej kat ustaz kata tak jadi tu pun dah pukul satu lebih
dah tu.
USTAZ : Tak mengapa Arip. Yang kita nampak salah satu hikmahnya,
Allah bagi kat kita ruang yang lebih luas untuk kita kumpul maklumat dan
bersedia.
ARIP : Tepat sekali ustaz! Saya pun dok nampak memang macam tu
lah.
USTAZ : Jadi… kita nak mula dari mana ni?
TAK BOLEH
SOLAT KALAU TIDAK MENGENAL?
ARIP : Mula-mula kita tengok satu point cantek punya ustaz.
Bagaimana dengan pegangan yang mengatakan solat itu HANYA DIWAJIBKAN bagi
orang-orang yang SUDAH MA’RIFAT, yang sudah mengenal Allah.
USTAZ : Sekiranya belum kenal atau belum mengenal Allah?
ARIP : Bagi yang BELUM MENGENAL, dia TAK BOLEH SEMBAHYANG, tak
boleh solat. Bahkan ada yang kata haram, berdosa kalau solat jugak.
ADI : Eh, pelik pulak aku mendengarnya! Mengapa tak boleh solat
pulak?
ARIP : Kerana… kita tak boleh menyembah sesuatu yang kita tidak
kenal. Macam mana kita nak tuju kita punya sembahan kalau tak kenal siapa yang
kita nak tuju tu? Takut-takut nanti tersalah sembah, tersalah tuju. Alangkah
bahayanya kalau tersalah sembah! Mensyirikkan Allah! Menyekutukan Allah!
ADI : Erkk… kalau lagu tu macam mana pulak ustaz?
USTAZ : (Menarik nafas
panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan) Dalam hal ni, mula-mula kita mesti
sedar… bahawa solat arus perdana tu ARAHAN, bukan pilihan. Arahan pulak arahan berat,
BERTARAF FARDHU. Wajib buat. Apabila ia arahan wajib atau arahan mesti buat, ia
jadi satu undang-undang atau PERATURAN.
Apabila dah jadi undang-undang dan peraturan mesti, kita tidak ada
pilihan melainkan mesti kena buat, tak kira kita ni sudah kenal ke atau belum
kenal ke.
ARIP : Tak takut tersalah ke ustaz kalau belum kenal? Ini bukan
benda kecil ni ustaz. Melibatkan aqidah tauhid ni.
USTAZ : BUKAN DALAM SEMUA HAL mewajibkan kita mesti kenal dulu
baru boleh patuh undang-undang dan peraturan. Dalam hal-hal yang fardhu, wajib,
yang mesti, walaupun belum kenal, tetap kena buat.
Contohnya…. sat nak cari contoh……
Abdullah, kamu kenal ketua nombor 1 JPJ dan ketua nombor 1 polis
trafik di negara kita ni siapa dia?
ABDULLAH : Eh, tak kenallah saya!
USTAZ : Tok Imam? Kenal tak?
TOK IMAM : Saya lagilah tak ambik tau ustaz oi. Hehe.
USTAZ : Cikgu Hisham?
CIKGU HISHAM : Aaa… yang sebelum ni kenal, tapi yang baru ni tak
kenal.
USTAZ : Ok. Oleh kerana kita tak kenal atau belum kenal ketua JPJ
dan ketua polis trafik, maka bolehkah kita melanggar undang-undang dan
peraturan jalan raya yang dimestikan ke atas semua orang itu?
(Suasana hening sebentar. Masing-masing berfikir)
Kita belum kenal ketua-ketua peraturan jalan raya, jadi… kita
bolehlah meninggalkan peraturan yang dimestikan?
Peraturan mengatakan jalan sebelah kanan hanya untuk kenderaan
datang dari depan. Bolehkah kita tinggalkan aturan tu lalu kita pandu melawan
arus dengan alasan kita belum kenal ketua-ketua peraturan itu?
…………………..
Peraturan mengatakan tidak boleh parking kenderaan di
tempat-tempat tertentu. Tiba-tiba kita tinggalkan peraturan tu lalu parking
sesuka hati. Kemudian, sewaktu pihak berkuasa kenakan tindakan, dia terima tak
hujah kita apabila kita kata kita belum kenal belum ma’rifah lagi akan ketua-ketua
mereka?
Orang yang tidak mengerjakan solat kerana dia masih belum belajar,
baru masuk Islam, mungkin diterima. Tetapi, jika alasannya kerana belum kenal
Tuan Punya Perintah Solat?
Oleh kerana ARAHAN WAJIB, maka kita kenal ke, tak kenal ke, mesti
ikut peraturan. Mesti buat, tak boleh tinggal. Jika tak dibuat, yang belum
kenal pun kena, yang dah kenal lagilah kena.
………………………
Arip : Boleh ustaz bagi contoh lagi tak? Untuk teguhkan lagi
keyakinan. Hati saya belum tenteram dengan contoh tu.
USTAZ : Hmmm….. contoh tentang arahan wajib……….
…………………….
ADI : Ai, lama menung tu ustaz!
USTAZ : Hah… contoh tentang arahan wajib, arahan fardhu, yang tak
boleh tidak MESTI KENA BUAT!
Contohnya, katakanlah kamu Adi seorang perisik Korea Utara yang diselinap
masuk dan duduk di Korea Selatan. Orang tak tahu yang kamu perisik Korea Utara.
Satu hari, tiba-tiba kamu dapat mesej bertaraf A1, maksudnya
bertaraf MESTI KENA BUAT. Arahannya, kamu mesti hantar satu bom kepada seorang
jeneral Korea Selatan untuk meletupkannya. Katakanlah namanya Jeneral Kim Soo
Hyun, dalam tempoh 48 jam.
Bolehkah kamu meningalkan arahan itu atas alasan kamu tidak kenal
Jeneral Kim Soo Hyun?
………………………..
Dalam tempoh 48 jam kalau kamu terbukti tidak berbuat apa-apa
untuk mematahi arahan itu, sekejap lagi rasanya sampailah perisik Korea Utara
yang lain datang cari kamu, bom kamu, bunuh kamu atau sebagainya. Selalunya
lebih kurang begitulah, KERANA ENGKAR ARAHAN WAJIB.
Alasan tidak kenal atau belum kenal, tidak terpakai sekiranya perintah
itu bertaraf fardhu, mesti, wajib. Pihak Korea Utara tak mahu tahu kamu kenal
ke tidak, yang penting kamu ada usaha patuhi ke tidak, buat ke tidak. Kalau
kamu sengaja tak buat, memang akan kena tindakan.
ARIP : Hmmmm… Betul tu memang betul dah ustaz. Tapi… saya masih
rasa macam belum puas hati lagilah dengan contoh-contoh tu.
…………………………..
ADI : Maih sini saya try buat contoh ustaz. Boleh dak?
USTAZ : Silakan Adi.
ARIP : Oih, hang ni! Biaq betoi! Tak pa lah. Silakan Adi.
ADI : Katakanlah kita semua ni hidup zaman dulu kala. Konon-kononlah
ni. Kita ni dok jauh dari istana, seminggu perjalanan baru sampai. Tak pernah
pergi pun. Raja lagilah kita tak pernah tengok, tak pernah kenal.
Tiba-tiba pada suatu hari… jeng je jeng…. datang utusan dari istana. Utusan tu bawa surat kepada Ustaz, Arip dan saya.
Ustaz diperintahkan MESTI HADIR ke istana dalam masa dua minggu
untuk menghadiri satu majlis. Arip pun dapat perintah yang sama. Sementara saya
Adi tak diperintah hadir, tetapi boleh hadir jika mau. Bukan untuk jumpa raja,
tetapi untuk hadir ke satu majlis penting.
Sampai masanya, Ustaz pun pergilah ke istana, walaupun belum kenal
raja, kerana perintah itu bertaraf fardhu atau wajib atau mesti.
Arip pulak… tak pergi, atas alasan dia belum kenal raja, walaupun
dia tahu perintah itu bertaraf wajib.
Saya pulak yang memang belum kenal raja, tidak pergi ke istana,
kerana perintah ke atas saya hanya bertaraf sunat.
Dalm kes macam ni, ustaz selamat.. sebab tunaikan kefardhuannya,
walaupun belum kenal raja.
Saya pun selamat… sebab tak fardhu ke atas saya, walaupun saya
belum kenal raja.
Tetapi hang Arip…. siap! Seminggu lepas tu askar-askar raja pun
datang, depa tangkap, depa seret hang, sumbat dalam penjara bawah tanah, sebab
hang engkar arahan raja yang bertaraf mesti. Gerenti raja murka gila. Penjara
tu tamsilan untuk neraka la tu…. walaupun hang belum kenal raja.
Amacam ustaz? Ok tak contoh saya ni?
USTAZ : Contoh yang bagus Adi!
ARIP : Sempoi la hang punya contoh Adi. Memang kena.
(Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan malam)
USTAZ : Satu lagi Arip, masuk agama Islam ni benda wajib, mesti.
Sewaktu Rasulullah saw berdakwah mengajak orang masuk agama Islam, apabila
seseorang tu bersetuju nak masuk, adakah Rasulullah syaratkan agar orang tu
kenal Allah dulu, ma’rifatullah dulu? Ada tak Rasulullah tahan, tak bagi orang
tu masuk Islam, tapi suruh orang tu belajar sampai ma’rifah dan kenal Allah, lepas
tu baru boleh masuk Islam?
ARIP : Tak pernahlah kita dengar macam tu. Tapi, apa kaitannya
ustaz?
USTAZ : Islam ini bermaksud MENYERAH, TUNDUK, PATUH. Jadi, apabila
seseorang itu masuk agama Islam, bererti dia setuju untuk berserah, tunduk dan
patuh kepada Allah. Padahal majoriti orang yang nak masuk Islam ini belum ma’rifah,
belum kenal Allah.
Oleh kerana mereka belum ma’rifatullah, mereka hendak berserah
kepada siapa? Hendak tunduk kepada siapa? Hendak patuh kepada siapa? Kan mereka
belum kenal?
Jika mereka masuk Islam juga, tidakkah nanti akan jadi tersalah
tunduk, syirik, dan menyekutukan Allah?
Bukankah sepatutnya Nabi Muhammad saw tahan dulu mereka, jangan
bagi masuk Islam lagi, tapi suruh mereka belajar ilmu mengenal Allah terlebih
dahulu? Dan selepas dah kenal, barulah boleh masuk Islam.
Tapiengapa Rasulullah terus Islamkan orang itu sekalipun orang itu
belum mengenal Allah?
Kalau tidak, seronoklah orang-orang bukan Islam, kerana tuntutan
memeluk agama Islam itu tak terkena pada diri mereka, disebabkan mereka belum
mengenal.
Dan orang-orang yang sedia Islam pula bebas untuk keluar daripada
Islam kerana mereka belum mengenal, maka takut tersalah tunduk.
Kata mereka contohnya : “Kami terpaksa keluar daripada Islam
kerana kami belum kenal, takut tersalah tunduk dan berserah. Kami tak tunduk
kepada yang kami belum kenal. Kami tak berserah kepada yang kami tak kenal. Nanti
apabila kami dah mengenal, barulah kami masuk Islam semula.”
Cuba fikirkan, apa akan berlaku kepada umat Islam seluruh dunia?
ARIP : (Agak lama juga Arip memandang jauh ke dalam kegelapan
malam. Kali ini lebih lama daripada sebelumnya. Kemudian, perlahan-lahan dia
bersuara)
Tak mengapalah. Bahagian ni… biar saya renung-renung kat rumah je
lah. Nak tunggu saya punya renung ni nanti, tak bergerak ke mana-mana le kita
malam ni, dan … maklumat-maklumat lain tak sempat kita nak bincang.
USTAZ : Boleh saja.
DATANGNYA AL-YAQIN
ARIP : Seterusnya ustaz, ada satu ayat Al-Quran, yang ustaz
tentunya lebih tahu, yang berbunyi : “Dan
sembahlah Tuhan kamu sehingga datang kepada kamu AL-YAQIN.” (Al-Hijr : 99)
Bukankah ayat ini mengatakan bahawa… kitab kena sembahyang atau
solat sehingga kita mendapat al-yaqin? Jadi, setelah datang atau sampai
al-yaqin tu, kita tak perlu mengerjakan solat lagi. Sebab itulah ada orang yang
tak solat.
Apa penjelasan ustaz?
USTAZ : Saya faham tafsiran al-yaqin menurut orang-orang itu. Tapi
mula-mula sekali, kita tengok bunyi sebenar ayat tu dalam bahasa Arab : “Wa’bud Rabbaka hatta ya’tiyakal yaqin.”
Tidak ada perkataan “solat” di sana. Maksud “wa’bud” yang paling
tepat ialah “dan ber’abdilah”. Tetapi jika mahu dikatakan sebagai “sembahlah”,
masih sesuai juga.
Pertama : sekiranya kita gunakan maksud “Dan BERABDILAH kepada Rabb kamu sehingga datang kepada kamu al-yaqin”,
apakah selepas dapat al-yaqin maka kita boleh tidak berabdi kepada Allah? Maka,
kita berabdi kepada siapa selain Allah? Adakah Rabb atau Ilah yang lain selain
Allah?
Tentulah tidak boleh begitu sekalipun sudah memperoleh al-yaqin.
Berabdi atau berhamba kepada Allah mestilah sentiasa. Sudah dapat al-yaqin ke,
belum dapat ke, tetap mesti berabdi kepada Dia. Tak boleh putus pengabdian,
apatah lagi berhenti pengabdian.
Kedua : egitu juga jika kita hendak menggunakan maksud ayat : “Dan SEMBAHLAH Rabb kamu sehingga datang
kepada kamu al-yaqin”. Apakah selepas memperoleh al-yaqin, maka tidak perlu
atau tidak boleh sembah Allah lagi?
Sama juga keadaannya jika ayat itu hendak dikaitkan dengan ibadah
solat arus perdana.
ARIP : Hmmm… saya suka penjelasan ustaz tu.
USTAZ : Saya gunakan tafsiran a-yaqin mengikut pandangan golongan
itu, untuk memudahkan penerangan. Lagi satu - antara al-yaqin generasi hari ini
dengan al-yaqin generasi sahabat, al-yaqin siapa yang lebih hebat?
ARIP : Aduh! Hehe. Saya faham ustaz. Jawapannya sama dengan
jawapan dalam perbincangan kita pada bulan lepas. Para sahabat yang JAUH LEBIH HEBAT al-yaqin
mereka pun, masih tetap mengerjakan solat arus perdana. Apatah pula kita yang
iman senipis kulit bawang ini. Yang tidak tetap mengerjakan solat arus perdana
pada zaman itu hanyalah orang-orang munafik.
USTAZ : Terbaik!
ARIP : Hehe.
USTAZ : Sebenarnya Arip, golongan itu diperdayakan oleh syaitan
dan hawa nafsu sendiri. Waktu mula-mula belajar, kononnya tak boleh solat
kerana belum ma’rifat. Apabila dah belajar dan ma’rifat, tak boleh sembahyang
juga, sebab dah sampai al-yaqin, maka tak perlu solat. Jadi, bila masanya
hendak solat? Selamanya pun tak akan solat arus perdana. Siapa yang seronok?
ADI : Iblis dan tentera-tenteranya le. Kena tipu hidup-hidup namanya
tu ustaz!
ARIP : Hehe. Nampaknya hujah “al-yaqin” pun tak boleh lepas ni
ustaz. Hmmm…
USTAZ : Sudah semestinya. Kalau sudah al-yaqin maka boleh tak
solat arus perdana, dah tentu para sahabat Nabi saw yang utama datang ke masjid
tapi tak solat bersama-sama. Mereka cuma pantau je sahabat-sahabat yang belum
al-yaqin solat berjemaah. Ataupun mereka bergilir-gilir solat arus perdana,
sebab dah al-yaqin. Tetapi… hal itu tidak sedemikian. Semua pakat solat
bersama-sama, baik yang mencapai al-yaqin, ataupun tidak.
ARIP : Saya faham tu ustaz.
CONGAK-CONGAK
CARA KITA
USTAZ : Katakanlah solat arus perdana ni memang Allah TAK TUNTUT
di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?
ARIP : Tentulah TAK RUGI, sebab mereka memang tak buat pun.
USTAZ : Orang yang solat arus perdana pulak?
ARIP : Err… tak adalah rugi jugak.
ADI : Cuma, DI DUNIA YANG SANGAT SEKEJAP inilah mereka rugi masa
dan tenaga dok buat solat tu.
USTAZ : Ya. Tetapi, katakanlah solat arus perdana ni MEMANG ALLAH
TUNTUT di akhirat kelak. Orang yang tak solat arus perdana rugi tak?
ARIP : Allah… tentulah RUGI!
ADI : Rugi yang SELAMA-LAMANYA tu!
USTAZ : Orang yang solat arus perdana?
ARIP : Tentulah sangat untung!
ADI : Untung yang selama-lamanya tu!
ARIP : Ish, hang ni! Cuba jangan dok menyampuk cakap orang
tua-tua! Hehe.
USTAZ : Jadi, orang yang BIJAKSANA, di dunia ni dia akan buat ke tidak
solat arus perdana?
ARIP : Yang bijak kena buat le.
USTAZ : Ya. Kalau Allah tak tuntut, dia tak rugi apa-apa. Tapi
kalau Allah tuntut, dia akan untung selamanya. Sekiranya dia tak buat pulak,
dia akan menanggung rugi selamanya.
ARIP : Masuk ke akal juga tu ustaz.
USTAZ : Kena fikir baik-baiklah, sama ada kita nak bertindak
bijaksana ataupun tidak. Bijaksana ni fatanah. Fatanah ni salah satu sifat
utama Rasululah saw. Takkan kita nak ketepikan fatanah.
ADI : Arip, hang nak jadi orang bijak ke orang bengap?
ARIP : Ish, hang ni! Aku boh seliang satgi baru tau! Tertanggal
gigi 14 batang kot! Sat la aku tengah dok canai minda ni! Hehe. Jangan marah
no, melawak ja.
USTAZ : Kesimpulan yang kita nak bawa dalam hal ni… sama ada kita
ada solat cara lain ataupun tak ada, bagi orang yang bijaksana, solat arus
perdana memang dia tak akan tinggal, kerana fardhu.
BEBERAPA LEMBARAN
DARIPADA 70,000 HIJAB
USTAZ : Antara Allah dengan kita ada sangat banyak tirai daripada
nur dan gelap. Nak disebut hijab pun sesuai, nak disebut tabir pun sesuai. Sepanjang
hidup kita di dunia ini, kita mestilah berusaha untuk menyelak tirai demi tirai
ini agar kedudukan atau maqam qalbu kita lebih hampir dengan Raja.
Saya suka untuk kongsikan sedikit tentang maqam-maqam orang-orang
yang ada ilmu dan amal ma’rifah dalam ribuan hijab ini. Saya mulakan daripada
yang terbaik dna seterusnya yang kurang baik dan ke bawah.
i.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia
MENCINTAI mengerjakan solat arus perdana, kerana dia mencintai Allah.
ii.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia
TAAT mengerjakan solat, walaupun tidak sampai ke tahap cinta, kerana dia taat
akan Allah. Dia ada berasa bertanggungjawab.
iii.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, dan dia
bersolat kerana TERPAKSA, kerana takut akan kemurkaan Allah. Tetapi
sekurang-kurangnya, dia masih buat juga yang fardhu itu.
iv.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia mengerjakan solat sekali-sekala sahaja. Namun dia tidak menolak solat, Cuma
jenis MALAS.
v.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia tidak mengerjakan solat. Namun dia tidak menolak solat. SANGAT MALAS.
vi.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia TIDAK MAHU mengerjakan solat. Maksudnya dia menolak solat.
vii.
Orang yang ada ilmu dan amal ma’rifah, tetapi
dia MENENTANG mengerjakan solat. Bukan sahaja menolak, bahkan menentang.
Lihatlah kedudukan orang-orang yang TIDAK MAHU dan YANG MENENTANG
daripada mengerjakan solat arus perdana. Dalam tingkatan hijab yang kasar-kasar
sahaja pun, mereka sudah berada pada maqam-maqam yang terbawah. Apatah lagi
jika kita perincikan lagi maqam-maqam itu kepada yang lebih halus-halus.
Apalah ertinya MA’RIFAH buat diri mereka?
ARIP : (Sekali lagi merenung jauh ke dalam kegelapan malam,
menembusi bunyi reriang rimba di sebelah kanan surau)
Tapi ustaz, sekurang-kurangnya mereka ada ma’rifah.
USTAZ : Itu lebih besar mudaratnya! Orang-orang ada ma’rifah ini
ialah orang-orang yang berjawatan. Orang bawah-bawah jika buat kesalahan,
hukumannya biasa-biasa. Tetapi jika orang atas-atas buat kesalahan, hukumannya
sangat berat.
Contoh – Suatu hari raja melintasi sebuah desa. Orang yang tidak
beri hormat kepada raja kerana dia tidak kenal atau tidak ma’rifah akan raja,
dia mungkin akan kena sebat sahaja. Tetapi bagi orang yang memang kenal raja,
dah beberapa kali berjumpa, apabila raja lalu di tepinya dia buat tak tahu je
dan enggan tunduk hormat, silap-silap akan bercerai kepala dari badan.
Dosa orang kenamaan tidak menutup aurat adalah jauh lebih besar
daripada dosa seorang wanita desa yang tidak menutup aurat.
Azazil kan lebih ma’rifah daripada kebanyakan manusia? Sebab
itulah hukuman untuknya adalah selama-lamanya.
ARIP : Fuh… memang makan dalam ni ustaz!
PENGHUJUNG
BICARA
ARIP : Rasanya… malam ni sangat banyak dah yang saya dapat dan
perlukan refleksi. Buat masa ni, cukup dulu kot. Nanti kalau banyak sangat, tak
tahu nak renung yang mana satu.
USTAZ : Elok benarlah tu. Saya setuju. Biar ada ruang yang selesa
untuk bertafakur.
ARIP : Kalau macam tu ustaz, saya nak mintak diri dululah. Ustaz
tolonglah doa-doakan saya sama. Sekiranya ada lagi hal-hal berbangkit yang saya
rasa perlu segera jumpa ustaz, esok lepas Subuh kita sembang lagi, kalau ustaz
tak dak urusan lainlah.
USTAZ : Insya-Allah, boleh.
ARIP : Adi, kalau hang free… malam ni mai lepak rumah aku lah.
Boleh jugak buat kawan bersembang.
ADI : No problem.
(Suara latar belakang : Selepas bersalam-salaman, Arip dan Adi pun
bergerak ke rumah Arip. Tengah malam itu di rumah Arip… isi kandungan perborakan
mereka memang hangat. Esok paginya, sebelum Subuh lagi mereka berdua sudah
berada di surau……)
Abu Zulfiqar
27 Mac 2018
No comments:
Post a Comment