Ada 4 peringkat minda yang mesti engkau ketahui :
1. Minda peringkat paling rendah dan paling
buruk – dinamakan sebagai minda Azazil atau minda Iblis.
Dalam aturan-aturan agama yang
tidak kena dengan kehendak hati engkau, engkau menolak dan menentangnya. Itulah
minda Azazil.
Sekadar satu contoh - dalam
tuntutan berdakwah. Kalau boleh, memang kita suka untuk duduk bersenang-senang
dan berehat-rehat sahaja ataupun kita pergi cari duit lebih. Kita tidak suka
(benci) untuk melibatkan diri dalam hal ehwal dakwah yang akan memberatkan
kepala, keluar wang, guna banyak tenaga, dikata orang, hilang banyak masa,
kurang peluang untuk menambah duit dan sebagainya itu.
Oleh kerana hal ini tidak
disukai oleh hati orang-orang yang berminda Azazil/Iblis, maka terus ditolaknya,
malah ditentangnya sama ada secara terang-terangan mahupun secara senyap-senyap.
Dia memang mahu agar dakwah ini ditutup dan dilupakan, sebagaimana Azazil yang
tidak suka salah satu aturan agama pada zamannya iaitu sujud kepada Adam. Mindanya itu membuatkan dia dilaknat oleh
Allah selama-lamanya.
Allah Taala mengingatkan : “Sesungguhnya orang-orang yang engkar akan
ayat-ayat Allah, bagi mereka azab seksa yang amat berat.” (Ali-Imran : 4)
Inilah minda orang-orang yang
tidak redha lagi derhaka. Minda jenis ini memang tidak akan selamat. Jangan
sesekali engkau berminda dengan minda seperti ini wahai anakku.
Ingatlah firmah Allah SWT : “Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil
hawa nafsunya sebagai tuhannya (ilahnya)?” (Al-Furqan : 43)
2. Minda peringkat rendah – yakni minda miskin
atau minda dhaif.
Dalam hal ehwal agama yang tidak
sesuai dengan kehendak hati engkau (kehendak hawa nafsu engkau), engkau masih menerimanya
tetapi dengan nada tidak suka. Engkau mengeluh sama ada secara terang-terangan
atau di dalam hati engkau, dan jika boleh memang engkau tidak mahu menerimanya.
Contohnya dalam hal ehwal solat.
Sekalipun perintah solat itu tidak kena dengan kehendak engkau dan tidak engkau
suka, namun engkau tetap buat juga memandangkan hal itu merupakan aturan dalam
agama. Engkau tetap berusaha melaksanakannya walaupun dengan nada berasa
terpaksa, mengeluh dan merungut. Sekiranyalah aturan solat itu dibatalkan atau
memang tidak ada, engkau akan suka. Tetapi oleh kerana aturan itu sudah ada, mahu
tak mahu engkau berusaha untuk buat juga.
Dalam kes Azazil/Iblis,
sekiranyalah dia ikut sahaja aturan dalam agama ketika itu iaitu sujud kepada
Adam sekalipun hatinya kalau boleh mahu hal itu ditiadakan atau dibatalkan, tidak
mustahil dia masih diterima oleh Allah.
Inilah minda orang-orang
terpaksa. Mindanya akan berpanjangan dalam dukacita, resah gelisah, tertekan, asyik
tidak puas hati dan seumpamanya. Namun minda jenis ini masih ada harapan untuk
selamat, tetapi janganlah hendaknya engkau bermaqam pada minda peringkat ini.
Di mana hendak engkau letakkan ikhlasmu jika engkau berbuat kerana terpaksa?
Nabi saw bersabda : “Sesungguhnya Allah memandang kepada hatimu
dan amal perbuatanmu.” (Muslim)
3. Minda peringkat baik – Minda orang
baik-baik.
Dalam hal ehwal agama yang tidak
kena dengan kesukaan hati engkau, engkau terus menerimanya dengan taat walaupun
tidak sampai ke peringkat engkau mencintai aturan-aturan itu.
Pada asasnya, hati engkau memang
tidak tenteram dengan aturan-aturan agama itu. Contohnya apabila engkau mesti
mengeluarkan zakat. Kalau boleh, tentulah engkau tidak mahu mengeluarkannya. Tetapi,
memandangkan hal itu termasuk aturan agama, engkau melatih juga diri engkau
untuk menerimanya. Akhirnya engkau berjaya untuk tidak menolak, tidak membenci
dan tidak mengeluh, sekalipun tidaklah engkau sampai ke peringkat mencintai
aturan agama ini. Maka dengan rasa bertanggungjawab dan patuh, engkau keluarkan
zakatmu.
Firman Allah SWT : “Mereka berkata : “Kami mendengar dan kami
taat, kami mohon keampunan-Mu wahai Rabb kami, dan kepada-Mu tempat kembali.”
(Al-Baqarah : 285)
Anakku, inilah minda orang-orang
yang taat. Umumnya inilah minda orang-orang abrar. Mindanya dan hidupnya berpotensi
untuk berpanjangan tenang dan tenteram.
Bukankah Allah SWT telah berfirman
: “Bahkan sesiapa yang berserah diri
kepada Allah dan dia berusaha agar baik pula amalannya, maka ia akan mendapat
pahala di sisi Rabbnya, tidak ada kebimbangan, dan tidak pula berdukacita.” (Al-Baqarah
: 112)
Minda jenis ini insya-Allah
selamat. Ini minda orang-orang yang patuh akan aturan-aturan agama sama ada
dalam hal-hal yang disukainya ataupun dalam hal-hal yang dibencinya. Sekiranya
Azazil berminda begini dahulu, insya-Allah dia juga akan selamat.
4. Minda peringkat tinggi – Minda para sufi.
Ini sangat hebat! Dalam hal
ehwal agama yang tidak kena dengan kesukaan hati engkau, engkau bukan sekadar
menerima, bahkan engkau mencintainya.
Berkata Imam Al-Ghazali : “Antara tanda-tanda kecintaan seseorang
hamba kepada Allah ialah hamba itu bernikmat-nikmatan dalam mentaati dan tidak
berasa berat untuk taat.” (Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Cinta Allah)
Contohnya, apabila datang seruan
berjihad, walaupun hal itu menyusahkan engkau dan memang pada dasarnya engkau
suka untuk tidak pergi, tetapi sebaliknya engkau tidak sekadar pergi, tidak
sekadar patuh, bahkan engkau mencintai lagi merindui untuk pergi berjihad.
Hilang ketidaksukaan terhadap aturan itu dalam hatimu.
Sebagaimana yang berlaku pada
zaman Nabi Muhammad saw apabila datang panggilan jihad :
-
ada yang
menolak, mengelak dan menentang
-
ada yang pergi kerana terpaksa
-
ada yang patuh dan pergi dengan rela, penuh rasa
bertanggungjawab
-
dan ada yang memang cinta untuk pergi.
Golongan yang pergi kerana cinta
itulah sebaik-baik matlamatmu wahai anakku.
Allah Taala berfirman : “Katakanlah : “Sekiranya bapa-bapa kamu
(orang-orang tua kamu), dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan
isteri-isteri kamu (pasangan-pasangan hidup kamu), dan urusan perniagaan yang kamu
risau akan merosot, dan tempat-tempat tinggal (rumah-rumah dan persekitaran)
yang kamu sukai, (jika semuanya itu) lebih engkau cintai daripada mencintai
Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka tunggu
sahajalah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksaan-Nya), kerana
Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.”
(At-Taubah : 24)
Maka engkau berusahalah untuk
mencintai segala aturan agama, sama ada dalam hal-hal yang kehendak hawa
nafsumu suka ataupun dalam hal-hal yang kehendak hawa nafsumu tidak suka. Ada
hikmah, rahsia dan rahmat-Nya dalam segala aturan itu yang wilayah akal fikiran
manusia dan jin yang sangat terbatas itu tidak akan mampu memahaminya kecuali
sedikit.
Allah SWT berfirman : “Dan boleh jadi engkau tidak suka akan
sesuatu perkara padahal perkara itu baik untuk engkau.” (Al-Baqarah : 216)
Inilah minda orang-orang yang
asyik/cinta dan rindu akan Allah.
Umumnya inilah minda para
muqarrabin. Minda sebegini berpotensi untuk berpanjangan berada dalam kesukaan,
kebahagiaan, kenikmatan dan kelazatan. Minda jenis ini insya-Allah bukan sahaja
akan selamat, bahkan dicintai dan mendapat redha Allah. Sekiranya Azazil
berminda seperti ini dahulu, tidak mustahil dia akan termasuk dalam kalangan
para kekasih Allah.
Anakku, biarkanlah Azazil/Iblis dengan kisahnya. Yang
paling penting sekarang ialah diri engkau sendiri. Ringkasnya, engkau sendiri berada
pada minda yang mana?
Abu Zulfiqar
18 Mac 2018
*Karangan ini
merupakan pengkayaan (penambahfahaman) kepada salah satu rakaman syarahan sahaya
ke atas Kitab Tauhid dan Tawakal daripada Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin.
*Satu contoh yang
bagus lagi mudah – Sepasang suami isteri dikurniakan oleh Allah seorang bayi,
tetapi bayi itu tidak sebagaimana yang mereka hajati.
1. Yang berminda
Azazil – bayi itu dinafikan, dibunuh, dibuang, ditinggalkan di tepi jalan dan
sebagainya. Mereka menolak dan menentang.
2. Yang berminda
miskin – bayi itu dipeliharanya juga walaupun dalam perasaan tidak suka
(benci), marah dan tidak redha kerana tugasan itu aturan agama. Mereka memelihara
bayi itu atas dasar terpaksa.
3. Yang berminda baik
– bayi itu terus dipelihara oleh mereka kerana mereka taat akan perintah Allah.
Mereka memelihara bayi itu atas dasar tanggungjawab dan taat walaupun tidaklah
sampai ke eperingkat mencintainya.
4. Yang berminda
tinggi – bayi itu dipelihara dengan baik dan mereka berusaha untuk mencintai
bayi itu. Mereka berbuat demikian bukan kerana terpaksa atau sekadar taat,
tetapi atas dasar suka lagi cinta.
*Contoh-contoh yang
diberikan dalam karangan ini tentunya tidak tepat, tetapi memadailah untuk
menghampirkan kepada faham. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment