Wednesday, March 28, 2018

Andai Kau Datang ke Sungai Ini


(Menjelang perhimpunan tahunan para pengamal Tarekat Ghazaliyyah...)


Andai kau datang ke “sungai” ini,
datanglah dengan “berpakaian putih” :
suci jiwa, ikhlaskan hati.
“Berperahu di air yang jernih.”

“Sungai” ini
majlis yang ahli-ahlinya
berusaha untuk sentiasa dalam keadaan
ingat akan Allah,
ibarat sungai zikrullah
yang tiada henti-henti mengalir.

Majlis mengalir dan melimpahnya kasih sayang
masuk ke lembah-lembah hati yang subur.

Majlis yang diharapkan
mengalirnya rahmat Allah.

Majlis yang berkumpulnya
para penghuni sungai tariqah,
ada yang suka bermain di arus deras,
ada yang suka berdiam di lubuk gelap,
ada yang suka berenang-renang di air tenang,
ada yang suka bermain-main di permukaan,
ada yang suka merayap-rayap di dasar,
ada yang suka menjelajah jauh,
ada yang suka berdiam setempat,
ada yang suka bergerak bersendirian,
ada yang suka kembara berkumpulan;
semua keluar sebentar
menghadiri perhimpunan cinta.

Andainya kita suka untuk menghadiri majlis ini,
minda yang bersih dan hati yang tulus.
Kita fikir yang baik-baik,
kita cakap yang baik-baik,
dan kita buat yang baik-baik sahaja
sebelum, semasa dan selepas majlis.

“Pakaian putih” itu bukanlah pakaian diri zahir
yang mengelokkan tubuh badan,
tetapi pakaian diri batin
yang mengelokkan hati qalbu.
Penuh dengan sifat-sifat mahmudah di dalam,
sehingga terkesan hingga ke luar
lalu terpamer murni bukan sahaja pada wajah muka
tetapi pada wajah seluruh zat kita.

Jangan ada niat yang tidak baik.
Jangan ada maksud yang tidak mulia.
Moga Allah jauhkan itu semua.

Ibarat melangkah masuk ke alam
solat berjemaah berimam,
bukankah segala pakaian jawatan, pangkat, harta,
pengaruh, kedudukan, kebesaran, dan kekuasaan;
kita sangkutkan sebentar di ranting-ranting
pohon keduniaan?
Selesai solat nanti
pakailah semula.

Yang sepatutnya jangan dipakai semula
ialah pakaian-pakaian berjenama mazmumah.
Tanggalkan semua,
jangan dibawa sama sekali,
yakni rasa hebat diri, tinggi diri, besar diri,
lebih diri, penting diri, bangga diri,
ujub diri, riak diri,  sombong diri.

Seolah-olah kita semua
berada di dalam sebuah “perahu”
lalu kita belayar sebentar pergi bersiar-siar
di atas “permukaan air yang jernih”.
Jauh sebentar daripada segala kesibukan duniawi,
meletakkan sebentar segala kebesaran diri,
lalu bersama-sama menikmati
keindahan lautan air dan dasarnya,
keindahan lautan udara dan langitnya.

Alam berbicara
ahlan wa sahlan.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
28 Mac 2018


No comments: