Sunday, April 1, 2018

Tinggi-tinggi Si Mata Hati (bahagian 3)

Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas solat fardhu Subuh berjemaah. Kelihatan beberapa orang hamba Allah sedang duduk di beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Apit Cina, Tok Bilal, Pak Enai, Tok Imam, Aizam, Ijan, Tok Siak Mat Yan dan Is London.


PENANGAN MALAM SEMALAM

USTAZ : Awal betul kamu berdua sampai ke surau tadi. Saya dan Abdullah sama-sama sampai tadi pun lagi 10 minit nak masuk Subuh rasanya, tengok-tengok kamu berdua dah ada dah.

ARIP : Itulah ustaz… malam tadi punya penangan ni. Hehe.

USTAZ : Hah, apa yang jadi? Bukan semalam kamu berdua lepak sekali kan?

ADI : Ha’ah, betul ustaz. Bukan lepak saja ustaz, kami bermuzakarah sampai ke pagi, punya le power. Ni kami belum tidur lagi ni, terus datang awal ke surau. Sebab tu muka sorang-sorang macam orang tak berapa nak cukup zat.

ARIP : Walaupun dalam dua kali dialog kita dah banyak yang ustaz cerahkan, tapi kat rumah saya semalam kami dok tukar-tukar fikiran lagi. Dalam muzakarah kami tu le keluar beberapa hal penting lagi yang rasanya sangat perlu untuk dipercerahkan.

ADI : Ya. Hal-hal yang terbangkit malam semalam tu, kalau tak dibuat pencerahan tetangnya, masih lagi menjadi sandaran bagi golongan yang mengetepikan solat fardhu arus perdana. Akan berterusan.

USTAZ : Ooh, macam tu ceritanya! Kalau macam tu, eloklah kita sembang-sembang, setakat mana yang kita termampu.

ARIP : Cantik ustaz! Tapi sebelum apa-apa, saya nak minta tolong Abang Ijan call sepupu dia, Mat Dir kedai seberang jalan tu… order roti canai sama minuman panas untuk kita semua. Minta dia bungkus semua, dah siap, hantar mai sini. Saya belanja semua.

IJAN : Alhamdulillah, syukur…….. Dengan senang hati. Hehe.


DI TENGAH-TENGAH

ARIP : Begini ustaz. Dalam Al-Quran, selain daripada solat fardhu, ada lagi…

USTAZ : Solat wusto?

ARIP : Eh…… macam mana ustaz boleh tau? Ajaib!

ADI : Ya la ustaz! Memang kami nak minta pandangan ustaz tentang solat wusto. Tapi… ustaz ada kasyaf ke?

USTAZ : Tak delah! Sebenarnya, kebanyakan daripada hujah-hujah golongan yang mengetepikan solat fardhu arus perdana tu, saya sedia tahu belaka. Tahu daripada pengalamanlah. Sebab itu memang dari awal saya dah jangkakan yang hal solat wusto atau solat wusta ni lambat-laun mesti akan timbul juga.

ARIP : Allah…. memang tepatlah kami datang jumpa ustaz ni!

Jadi, oleh kerana ustaz dah sedia maklum akan hal ehwal solat wusto ni, kami nak minta komen ustaz lah. Al-maklumlah, golongan itu ada yang tidak buat solat arus perdana tetapi cukup dengan buat solat wusto sahaja.

Apa sebenarnya solat wusto ni?
Silakan ustaz.

USTAZ : Cerita tentang solat wusto ini memang akan jadi panjang. Untuk sampai ke penghujung jalan tu, banyak simpang-simpang yang kita nak kena masuk.

Sebahagian orang yang tersalah faham atau tersalah belajar tentang solat wusto ini… mereka memang tidak melaksanakan solat fardhu arus perdana lagi.

ADI : Betul ustaz!

USTAZ : Jadi, saya berfikir begini…. Untuk menjimatkan masa, mula-mula ni saya akan terus bagi jawapan dulu.

ARIP : Ikut ustazlah.

USTAZ : Solat wusto ni… ialah SOLAT FARDHU ARUS PERDANA PADA WAKTU ‘ASAR. Ringkasnya – solat fardhu ‘Asar.

(Semua diam…… menunggu-nunggu….. Oleh kerana tidak nampak gaya ustaz untuk berkata-kata lanjut, Arip pun bersuara)

ARIP : Memang ramai juga alim ulama yang kata solat wusto ni sebagai solat fardhu Asar, atau sebagaimana yang kita persetujui sebagai solat fardhu ‘Asar sebagaimana tatacara arus perdana. Tapi, kalau kita tengok ayat Al-Quran yang memperkatakan tentang solat wusto ni, memang tak nampak ia sebagai solat fardhu ‘Asar.

USTAZ : Baiklah Arip. Kamu ada ingat ayatnya?

ARIP : Errr
A238
“Peliharalah akan solat-solat fardhu dan solat wusto. Berdirilah kerana Allah dengan patuh dan khusyuk.” (Al-Baqarah : 238)

USTAZ : Ayat selepasnya?

ARIP : Hah, giliran hang pulak Adi. Padan muka hang!

ADI : Aku?
A239
“Dan jika kamu takut (akan sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila sudah aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah : 239)

ARIP : Uuuuiiii… hang melawan tokey no! Nanti hang!

Ok ustaz. Dalam ayat tu, disebut “Peliharalah akan solat-solat fardhu dan solat wusto”. Maksudnya solat fardhu dan solat wusto tu dua perkara yang berbeza. Ustaz bagitau tadi, solat wusto tu solat Asar. Kan solat Asar dah termasuk dalam solat fardhu yang lima? Takkan Allah buat kerja sia-sia nak sebut solat Asar pulak. Jadi, solat fardhu lain, solat wusto lain.
Macam mana tu ustaz?

USTAZ : Nak memaham cara gaya ayat 238 Surah Al-Baqarah tu dengan sejahtera, elok kita ambil contoh daripada Al-Quran sendiri. Bahkan daripada Surah Al-Baqarah sendiri juga, kerana cara gayanya ada kaitan.

Ada satu ayat yang berbunyi :
A098
“Sesiapa yang memusuhi Allah dan MALAIKAT-MALAIKAT-NYA dan rasul-rasul-Nya dan JIBRIL dan MIKAIL, maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.” (Al-Baqarah : 98)
Kan Allah dah sebut “malaikat-malaikat-Nya” awal-awal, mengapa Allah sebut pula sesudah itu malaikat Jibril dan malaikat Mikail? Adakah Jibril dan Mikail bukan malaikat?

………………………………..

ADI : Eh, ye tak ye lah ustaz! Sepatutnya kalau dah disebut “para malaikat-Nya”, tak perlulah disebutkan pula malaikat Jibril dan Mikail.

ARIP : Kalau begitu, bagaimana penjelasannya ustaz, tentang ayat ini?

USTAZ : Di sinilah kita kena faham CARA GAYA ayat ini dihidangkan kepada kita.
Apabila Allah dah sebut “malaikat-malaikat-Nya” lalu disebut-Nya pula Jibril dan Mikail, hal itu bermaksud PENEGASAN.

Perkataan “wa” dalam bahasa Arab apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu atau apa bahasa pun, bukan semuanya bermaksud “dan”. Maksud sebenar “wa” itu adalah bergantung kepada struktur dan isi ayatnya. Maka, dalam Al-Quran sebagai contohnya, ada perkataan “wa” yang membawa maksud “dan”, ada yang membawa maksud “tetapi”, ada yang membawa maksud “demi” dan lain-lain.

(Beberapa orang kelihatan mengangguk-anggukkan kepala)

Ayat 98 Surah Al-Baqarah itu sebenarnya mahu MENEGASKAN tentang malaikat Jibril dan malikat Mikail daripada sekian banyak malaikat. Jadi, salah satu perkataan “wa” dalam ayat itu membawa maksud “KHUSUSNYA”.

Maka jadilah bunyi ayat itu yang sebenarnya : “Sesiapa yang memusuhi Allah dan malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya KHUSUSNYA (LEBIH-LEBIH LAGI) Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.” (Al-Baqarah : 98)

Nampak? Walaupun Allah dah sebutkan “para malaikat-Nya” tetapi kemudian Allah TEKANKAN pada malaikat Jibril dan Mikail. Beginilah cara gaya ayat dalam Surah Al-Baqarah ini.

Berbalik kepada ayat ke-238 Surah Al-Baqarah yang dibacakan oleh Arip tadi, sebenarnya ada terjemahan yang lebih tepat. Perhatikan baik-baik perkataan “wa” pada ayat ini :

A238

“Peliharalah akan solat-solat fardhu DAN solat wusto DAN berdirilah kerana Allah dengan patuh.” (Al-Baqarah : 238)

Ada dua kali “DAN”.

Berdasarkan cara gaya yang kita kenalpasti tadi, maka maksud ayat ini ialah :
“Peliharalah akan solat-solat fardhu (sebagaimana solat arus perdana) KHUSUSNYA solat wusto (yakni solat arus perdana fardhu ‘Asar) DAN berdirilah kerana Allah dengan patuh.” (Al-Baqarah : 238)

Jadi, solat wusta hanyalah salah satu daripada solat fardhu yang lima, sebagaimana malaikat Jibril dan Mikail juga daripada kalangan para malaikat yang sangat banyak bilangannya itu. Dan solat ini mesti dilaksanakan sebagaimana tatacara arus perdana, bukannya dengan hati, dengan niat, atau dengan tatacara lain.

Satu lagi, perkataan “qaanitiin” itu bermaksud “patuh”. Bolehlah dicari perkataan-perkataan yang berkaitan dengan “qaanitiin” ini di seluruh Al-Quran dan kita akan dapati maksudnya ialah “patuh”. Tadi Arip terjemahkan dengan penambahan perkataan “khusyuk” selepas perkataan “patuh”. Sebenarnya tidak ada perkataan “khusyuk”.


MENGAPA ‘ASAR?

ARIP : Hmmm… baiklah ustaz. Kiranya saya boleh terimalah bahagian tu. Terima aksih jugalah kerana tolong membetulkan ketidaksempurnaan terjemahan saya tadi. Tetapi, apa pula BUKTI yang mengatakan solat wusto itu ialah solat fardhu ‘Asar?

USTAZ : Saya yakin, kamu dan Adi ada juga baca-baca tentang pandangan para ulama dalam hal ini.

ARIP : Memang ada ustaz. Kebanyakan ulama kata solat wusto itu ialah solat fardhu ‘Asar. Tetapi ada juga yang kata solat fardhu Zohor. Ada pula yang kata solat fardhu Subuh. Saya baca hujah-hujah mereka. Maksud saya di sini, bagaimana ustaz boleh yakin bahawa itu memang solat ‘Asar?

USTAZ : Baiklah. Ada pelbagai hadis dan pandangan ulama  yang akan kita sentuh kemudian. Sebagai permulaan ini, apakah MAKSUD “wusto” itu?

ARIP : “Tengah-tengah”, “pertengahan”.

USTAZ : Apabila digabungkan, maka maksud “solat wusto” pula?

ARIP : Errrr…

USTAZ : “Solat yang tengah-tengah” ataupun “solat yang pertengahan”lah kan?

ARIP : Begitulah nampaknya.

ADI : Tapi ustaz, ada orang kata perkataan “tengah-tengah “ tu maksudnya HATI.

USTAZ : Benarkah begitu? Apa KAITAN hati dengan “tengah-tengah”? …………….

Sebelum itu, berkaitan ayat yang ini tadi  : “Peliharalah akan solat-solat fardhu DAN solat wusto DAN berdirilah kerana Allah dengan patuh.” (Al-Baqarah : 238), kita sedia maklum bahawa solat wusto atau “solat yang di pertengahan” itu bukanlah “solat hati”, sebaliknya solat fardhu arus perdana pada waktu ‘Asar yang melibatkan amalan hati DAN amalan fizikal sekaligus.

Selain itu, kan kita cakap tadi ada dua “DAN” pada ayat tersebut?  Kedua-dua “DAN” ini menunjukkan perkaitan rapat, bukannya hal yang terpisah. Tak boleh suka-suka hati kita nak pisahkan.
1.       Kita kena pelihara solat-solat fardhu yang lima.
2.       “DAN solat wusto” – apabila disebut “DAN”, kita faham bahawa solat wusto termasuk solat yang lima tadi. 
3.       “DAN berdirilah” – sama juga, apabila disebut “DAN”, kita faham bahawa perintah “berdiri” itu termasuk juga ke dalam solat wusta dan termasuk juga ke dalam solat yang lima.

Fungsi “DAN” pada ayat ini menunjukkan ketiga-tiga hal itu iaitu solat fardhu, solat wusto dan berdiri tidak terpisah. Maksudnya, untuk melaksanakan solat wusto MESTILAH KENA ADA PERLAKUAN BERDIRI. Kalau solat hati, kan TAK MESTI ada perlakuan berdiri?

Jika seseorang itu mendakwa dia melakukan solat wusto tetapi dengan sengaja tidak melaksanakan PERLAKUAN BERDIRI, maka itu bukanlah solat wusto. Mereka yang selama ini buat solat wusto tanpa perlakuan berdiri, sebenarnya mereka telah pun meninggalkan solat wusto.

Berbalik kepada soalan tadi : “Apa KAITAN hati dengan “tengah-tengah” atau “pertengahan”?
Entah di mana kaitannya, kerana hal itu adalah sesuatu yang direka-reka.

Perlu kita faham bahawa “hati” ada dua maksud.

Mula-mula kita tengok “hati” dengan maksud yang pertama, iaitu ORGAN HATI atau “kabid” (bahasa Arab) di dalam tubuh badan manusia. Saya yakin, semua yang di sini tahu kedudukan organ hati di dalam rongga badan kita. Semua belajar di sekolah, biasa tengok gambarajah, dan mungkin biasa pegang model patung.

Sekiranya kamu semua masih ingat, organ hati tidak berada di tengah-tengah, baik dari arah kanan kiri ataupun dari arah atas bawah. Sebaliknya, pusat lebih berada di tengah-tengah berbanding hati, sama ada dari kanan kiri ataupun atas bawah. Betul tak?

Ertinya, tidak ada kaitan antara organ hati dengan “tengah-tengah” atau “pertengahan”.

ADI : Hati yang kedua ustaz?

USTAZ : Hati yang kedua ialah HATI RUHANI kita. Dalam bahasa Arab disebut “qalbun”. Kita sebut juga sebagai “qalbu” atau “kalbu”. “Qalbun” jika diterjemah dengan tepat, maksudnya “jantung”.

Adakah organ jantung kita di tengah-tengah badan? ……………….
Tidak jugakan? Ia berada agak ke atas dan ke kanan. Masih tak berkait dengan “tengah-tengah” juga.

ADI : Qalbu ruhani atau hati ruhani pula ustaz?

USTAZ : Hati ruhani ini berkait rapat dengan ruh. Ruh tidak bertempat di tengah-tengah tubuh. Apa kaitan ruh dengan “tengah-tengah” atau “pertengahan”? Tak ada kaitan.

Maksudnya, “solat wusto” masih tidak berkaitan dengan “tengah-tengah” jenis yang itu juga.

ARIP : Habis tu… “tengah-tengah” apakah yang dimaksudkan dalam ayat tu?


ANTARA MASA

USTAZ :  Kita lihat semula ayatnya iaitu “ “Peliharalah akan solat-solat fardhu KHUSUSNYA solat wusto (yakni solat fardhu arus perdana pada waktu ‘Asar) DAN berdirilah kerana Allah dengan patuh.”

“Peliharalah akan solat-solat fardhu” berkait dengan MASA. Solat-solat fardhu kan ada masa-masa tertentunya?

Firman Allah SWT : “Sesungguhnya solat itu adalah suatu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, YANG TERTENTU MASANYA.” (An-Nisa’ : 103)

Maka solat wusto yang berada dalam ayat yang sama itu juga berkait dengan MASA.

Dari sini fahamlah kita bahawa solat wusto ialah solat yang “masanya di tengah-tengah masa” atau “di pertengahan masa” atau “yang di antara masa”.

Masa apakah itu?

ARIP : Sebenarnya ustaz, saya baca juga bahagian itu. Ada pelbagai pendapat, tetapi bagi saya semuanya masih belum cukup kuat.

Ada yang kata solat wusto itu maksudnya solat yang tengah-tengah antara Zuhur dan Maghrib. Maksudnya solat Asar.
Ada yang kata tengah-tengah solat dua tepi siang iaitu antara Subuh dan Maghrib, maksudnya solat Zuhur.
Oleh kerana hari dalam Islam bermula Maghrib, maka ada yang kata solat Subuh kerana solat Subuh terletak antara Maghrib Isya dan Zuhur Asar.
Macam-macam pandanganlah, tapi semuanya tidak memuaskan hati le ustaz. Masih terawang-awang.

USTAZ : Tak mengapalah. Hujah-hujah mereka Arip dah baca. Hujah saya Arip dah tahu belum?

ARIP : Maksud ustaz, ustaz ada sandaran lain daripada yang selalu kita jumpa tu?

USTAZ : Mungkin ya, mungkin tidak. Tak rugi rasanya kalau kita berkongsi, kan?

ARIP : Dah tentu saya berminat nak tahu.

USTAZ : Baiklah Arip. Kata kuncinya ialah “TENGAH-TENGAH” atau ‘PERTENGAHAN” atau ‘DI ANTARA”. Dan tengah-tengah itu berkait dengan MASA. Sekarang kita nak pastikan solat fardhu yang manakah YANG MASANYA TERLETAK DI TENGAH-TENGAH MASA.

Di negeri kita ini, biasanya masuk waktu solat fardhu :
1.       Subuh sekitar pukul 6 pagi.
2.       Zuhur sekitar pukul 1.30 tengah hari.
3.       Asar sekitar pukul 4.30 petang.
4.       Maghrib sekitar pukul 7.30 malam.
5.       Isya’ sekitar puluk 8.30 malam.
Betul ke?

TOK SIAK MAT YAN : Lebih kurang gitulah ustaz (sambil membetulkan cermin mata dan serbannya)

USTAZ : Baiklah. Jangan terpesong perhatian pada kalimah “masa yang di tengah-tengah masa”.

Antara Zuhur ke Asar, ada berapa jam? 1.30 ke 4.30?
Lebih kurang 3 jam.

Antara Asar ke Maghrib, ada berapa jam? 4.30 ke 7.30?
Lebih kurang 3 jam.

Maksudnya – sebelum Asar ada 3 jam dan selepas Asar ada 3 jam.
Bukankah itu “di tengah-tengah”?
Bukankah masa solat fardhu Asar itu berada di tengah-tengah antara masa solat Zuhur dan masa solat Maghrib?
Kan seimbang masanya, ada simetri?

(Semua terdiam. Sunyi sepi. Diistilahkan oleh orang dulu-dulu sebagai “malaikat lalu”)

Jangan pening-pening, saya bantu tuan-tuan buat ujian.

Sebelum Zohor ada lebih kurang 7 setengah jam, dan selepas Zuhur ada lebih kurang 3 jam. Tak seimbang kan? Tak “tengah-tengah” masanya kan? 7 ½ nisbah 3.

Sebelum Maghrib ada lebih kurang 3 jam, dan selepas Maghrib ada lebih kurang 1 jam. 3 nisbah 1. Tidak “tengah-tengah” masanya kan?

Sebelum Isya’ ada 1 jam, dan selepas Isya’ ada 9 ½ jam. 1 nisbah 9 ½. Tak seimbang, tak “tengah-tengah” masanya kan?

Sebelum Subuh ada 9 ½ jam, dan selepas Subuh ada lebih kurang 7 ½ jam. 9 ½ nisbah 7 ½. Tak seimbang kan? Bukan “tengah-tengah” masa kan? Itu pun, waktu untuk solat Subuh hanya sekitar 1 ½ jam sahaja.

Tapi kalau solat fardhu ‘Asar, nisbahnya lebih kurang 3 : 3. Kan itu namnya “masa yang di tengah-tengah masa”? Mana ada solat fardhu yang lebih tengah-tengah atau sama banyak masanya berbanding solat Asar?

ARIP : Fuhhhhh…. Lain macam hujah ustaz ni! Belum pernah saya terjumpa hujah yang sebegini. Tapi memang kemas isinya ustaz.

ADI : Memang betul ustaz. Sangat tidak terduga!

ARIP : Mmmmmmm……… sebab itulah namanya “solat wusto” yakni “solat yang di tengah-tengah” antara solat fardhu Zuhur dan Maghrib. Hmmm… menarik, menarik!


3 WAKTU

USTAZ : Sebenarnya Arip, Adi…. sebelum saya syarahkan kitab Ihya’ “Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali di surau kita ni, saya pernah syarahkan beberapa kitab lain. Antaranya kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud Al-Fathani. Masa mengajarkan kitab Musolli inilah saya banyak sentuh tentang solat wusto ni. Oleh kerana maklumat dalam kitab tu agak terhad, saya banyak memohon gerak daripada Allah dan banyak buat kajian. Nota dan kitab yang saya gunakan tu pun masih ada dalam almari surau.

Rasa sayalah, silap-silap… nota dan kitab saya tu kena dikeluarkan hari ni. Terasa macam akan digunakan je…

ARIP : Begitu duduknya…. patutlah ustaz tahu.

USTAZ : Oh ya! Sebelum saya terlupa, saya sangat berbesar hati mahu mengaitkan isi diskusi kita sebentar tadi dengan golongan yang solat hanya 3 waktu.

ABDULLAH : Solat 3 waktu ustaz?

USTAZ : Ya. Mereka hanya mengerjakan 3 solat fardhu sahaja iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isya’. Bagi mereka, solat Zuhur dan solat Asar tidak wujud, kerana tidak disebutkan dalam Al-Quran.

ARIP : Allahu Akbar! Ustaz, memang yang ni pun salah satu yang kami dok borak malam semalam!

ADI : Sungguh ustaz! Macam mana la ustaz macam tau tau ja apa yang kami nak cakap? Ustaz peturun la ilmu kat kami sikit. Setakat ayam golek pulut kuning, beres ustaz. Ayam penyet dengan pulut warna-warni pun kami boleh bagi. Hehe.

USTAZ : Hehe. Manalah ada apa-apa ilmu Adi. Semua tu kebetulan je. Kamu ni cepat sangat teruja dengan hal-hal yang ada kelainan sikit. Bahaya tu.

ADI : Baik ustaz. Hehe. Saya melawak ja tu.

USTAZ : Permasalahan solat 3  waktu ini memang akan memakan masa. Oleh kerana makanan pun dah sampai nampaknya, hal ehwal hujah-hujah golongan itu dan jawapan-jawapan kita insya-Allah akan kita bentangkan di hujung dialog, iaitu selepas selesai permasalahan solat wusto.

Jadi sebelum kita rehat sebentar dan bersarapan ni, saya cuma nak sentuh sikit sahaja isu solat 3 waktu ini.

Berdasarkan dapatan kita sebelum ini, jelas kepada kita bahawa solat wusto itu ialah solat fardhu ‘Asar. Maksudnya solat fardhu pada waktu ‘Asar MEMANG ADA DISEBUT DALAM AL-QUARN iaitu sebagai “solat wusto”.

Kemudian, apabila solat wusto itu ialah solat yang “di tengah-tengah”, maka mestilah ada solat yang sebelum dan yang selepas. Kalau tidak, mana boleh jadi “solat yang di tengah-tengah”. Solat selepasnya kita sedia maklum sebagai solat pada waktu Maghrib. Solat yang sebelumnya?

Jika solat selepasnya muncul dalam tempoh masa lebih kurang 3 jam, maka solat sebelumnya juga mestilah sekitar tempoh masa sedemikian juga. Jika lebih, tidaklah terlalu banyak lebihnya. Dan jika kurang, tidaklah terlalu banyak kurangnya. Mustahil solat fardhu pada waktu Subuh iaitu solat Fajar, kerana tempoh masanya sudah banyak jam. Antara waktu Subuh ke waktu Zuhur ada lebih kurang 7 ½ jam.

Jadi, solat apakah yang lebih kurang 3 jam sebelum solat Asar?

ADI : Solat Zuhur lah.

USTAZ : Betul! Maksudnya, solat fardhu pada waktu Zuhur juga ADA DINYATAKAN DALAM AL-QURAN, cuma dinyatakan secara tidak langsung.

Apabila Allah sebut adanya solat “yang di tengah-tengah”, itulah solat fardhu Asar, dan MESTILAH kena ada solat sebelumnya. Jika tidak, bagaimana ia boleh jadi yang di tengah-tengah? Mesti kena ada solat “tepi” sebelum dan solat “tepi” selepas.

Yang saya nak hi-lite kan di sini, ternyatalah memang ada 5 solat fardhu iaitu :
1.       Solat fardhu pada waktu Subuh iaitu solat Fajar.
2.       Solat fardhu pada waktu Maghrib iaitu solat Maghrib.
3.       Solat fardhu pada waktu Isya’ iaitu solat Isya’.
4.       Solat yang di “tengah-tengah” masa iaitu solat fardhu pada waktu ‘Asar - solat Wusto.
5.       Solat fardhu yang menjadi PERMULAAN TEPI kepada solat yang di tengah-tengah agar solat yang di tengah-tengah itu betul-betul berada di tengah-tengah, iaitu solat fardhu pada waktu Zuhur. Kita dah maklum, bahawa solat yang menjadi PENGAKHIRAN TEPINYA ialah solat fardhu Maghrib.

Terbuktilah memang ada 5 kali solat fardhu dalam sehari semalam yang dimaklumkan oleh Al-Quran…. sekiranya mengikut jalan huraian sebegini, tanpa kita nafikan ada lagi jalan-jalan huraian lain. Insya-Allah jalan-jalan lain akan kita sentuh selepas ini sekiranya ada keperluan.

Setakat itu sahaja dulu.

Selepas ini, antara yang bakal kita sentuh ialah tentang waktu solat di Madinah, kerana ada kaitan rapat dengan kajian kita pada hari ini.

Jom kita makan.

TOK SIAK MAT YAN : Sila! Sila! (sambil mengurut janggut putih sejemputnya).

(Suara latar belakang : Sambil makan, semua yang ada berbual-bual tentang hal-hal lain kecuali Abdullah dan Ustaz. Abdullah banyak bertanya tentang tarekat. Dia juga berharap dapat mendengar penjelasan ustaz berkaitan tarekat khususnya tarekat Imam Al-Ghazali suatu hari nanti. Ustaz bersetuju. Habis makan, sesi kedua pun disambung…….)

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
31 Mac 2018

No comments: