Di sebuah surau lama di kampung sana, selepas
solat fardhu Isya’ berjemaah. Beberapa orang hamba Allah sedang duduk di
beranda. Ustaz, Arip, Adi Kopi, Abdullah, Ijam, Apit Cina, Tok Bilal, Pak Enai dan
Tok Imam.
MUQADDIMAH
ARIP : Apa pandangan ustaz tentang orang-orang yang KEROHANIAN mereka
TINGGI, tetapi mereka tidak mengerjakan solat fardhu 5 waktu sehari semalam
sebagaimana tatacara solat yang biasa kita lihat?
USTAZ : Mula-mula kita kena kenal 3 kategori manusia dalam hal
ehwal rohani tinggi ni. Antaranya :
1.
Ada orang yang memang kerohaniannya tinggi.
Jenis ini memang betullah rohani tinggi. Jenis ini memang bagus, melainkan yang
ditunggang oleh kehendak hawa nafsunya.
2.
Ada orang yang dia sekadar DISANGKAKAN OLEH
ORANG LAIN sebagai berkerohanian tinggi, tetapi sebenarnya tidak. Jenis ini
boleh membahayakan dirinya sendiri dan orang lain.
3.
Ada pula orang yang dia sekadar MENYANGKAKAN
DIRINYA berkerohanian tinggi, tetapi sebenarnya tidak. Jenis ini juga boleh
membahayakan dirinya sendiri dan orang lain.
Yang jenis pertama, sudah pasti akan mengerjakan solat fardhu
dengan tatacara sebagaimana yang biasa kita tengok, iaitu yang dilakukan oleh
para ulama dan umat Islam sejak zaman-berzaman.
ARIP : Bagaimana pula ustaz kalau orang itu memang dia tidak
bersolat fardhu sebagaimana yang biasa kita lihat, tetapi oleh kerana maqam
rohaninya yang sudah tinggi ataupun berlainan, maka kaedah solat fardhunya pun
berlainan?
USTAZ : Macam nak panjang nampaknya sembang-sembang kita ni
(tersenyum).
ARIP : Begitulah nampak gayanya ustaz. He he.
SOLAT
FARDHU ARUS PERDANA
USTAZ : Macam ni lah… untuk memudahkan pemahaman kita nanti,
mula-mula kita nak kena istilahkan terlebih dahulu tatacara solat fardhu yang
biasa kita buat dan lihat tu.
ARIP : Macam mana tu ustaz?
USTAZ : Solat fardhu berjemaah dengan tatacara yang biasa para ulama
dan kita buat dan lihat tu, kita namakan buat sementara waktu sebagai “SOLAT
FARDHU ARUS PERDANA”. Ok tak?
ARIP : Untuk apa kita istilahkan tu ustaz?
USTAZ : Untuk memudahkan kita membezakan antara solat fardhu yang
biasa kita buat dan lihat tu dengan solat-solat cara lain.
ARIP : Ooh….. beres ustaz. Faham.
USTAZ : Jadi, mulai saat ini, apabila kita sebut “SOLAT FARDHU
ARUS PERDANA”, maka sama-samalah kita faham bahawa kita sedang maksudkan solat
yang biasa kita buat dan lihat sehari-hari tu lah.
# Ya.
MAQAM
KEROHANIAN TINGGI
USTAZ : Hmm. Nak mula dari mana ni ye………. ? Baiklah. Ringkas kata,
antara kita dan para sahabat Nabi, mana yang LAGI TINGGI MAQAM KEROHANIAN di
sisi Allah? LAGI TINGGI MA’RIFAH, LAGI KUAT AL-YAQIN, LAGI POWER MAHABBAH dan
sebagainya?
ARIP : Para sahabat Nabi lah ustaz.
USTAZ : Generasi para sahabat ni merupakan zaman salaf yang
terawal, iaitu zaman orang-orangnya terbaik di sisi Allah. TERBAIK dari segala
segilah, termasuklah dari segi KEROHANIAN. Betul tak?
ARIP : Ya, betul. Sabda Nabi saw : “Sebaik-baik umat ialah generasiku, kemudian orang-orang selepas
mereka, dan kemudian orang-orang yang selepas mereka pula.” (Bukhari,
Muslim)
ADI : Wuih, dahsyat jugak hang, Arip!
ARIP : Tak dahlah! Allah Maha Hebat, kita tak dak apa-apa.
USTAZ : Alhamdulilah! Tahniah! Kita teruskan. Pada zaman para
sahabat tu, ada tak orang-orang yang maqam kerohaniannya tinggi?
ARIP : Dah tentulah ada ustaz! Malah LEBIH HEBAT dan LEBIH RAMAI lagi
daripada orang-orang zaman kemudian ni.
USTAZ : Betul tu! Jadi, orang-orang
yang berhakikat, ma’rifat, fana’, baqa’, syuhud, mahabbah, kasyaf dan
sebagainya pada zaman tu kalau dibanding dengan orang-orang yang berhakikat,
ma’rifat, fana’, baqa’, syuhud,mahabbah, kasyaf dan sebagainya pada zaman sekarang ni,
rasa-rasanya mana lagi hebat di sisi Allah?
ARIP & ADI : Orang
zaman tu lah!
USTAZ : Maksudnya, setakat ini kita sedia maklumlah dan mengakui
bahawa orang-orang zaman Rasululah dan para sahabat ni dari segi kerohanian
mereka adalah LEBIH HEBAT lagi berbanding orang-orang kerohanian zaman
sekarang. Betul ke macam tu?
ARIP : Betul! Umumnya lagu tu le ustaz. Tapi tak mustahil jugak
kot-kot ada orang zaman-zaman kemudian ni yang Allah rezekikan maqam kerohanian
sama macam sahabat-sahabat.
USTAZ : Yang tu kita faham. Tapi, takkanlah sampai mengalahkan
maqam kerohanian sahabat-sahabat utama.
ARIP : Saya setuju ustaz.
TIDAK
MENGERJAKAN SOLAT ARUS PERDANA?
USTAZ : Baiklah. Dikatakan ada orang-orang yang dipercayai atau
mempercayai diri mereka sebagai bermaqam rohani tinggi zaman sekarang ni yang TIDAK
BERSOLAT LANGSUNG, dan ada juga YANG BERSOLAT TETAPI TIDAK SAMA macam cara
solat arus perdana sebagaimana yang dibuat oleh para ulama dan orang ramai.
Dan mereka mendakwa hal itu bukan kesalahan bahkan hal itu
bermaksud mereka sudah mencapai maqam rohani yang tinggi, atau kerana mereka
ada jalan atau maqam kerohanian yang berbeza.
Maka bagi orang-orang yang sejalan dan semaqam seperti mereka,
tidaklah bersolat fardhu sebagaimana arus perdana lagi. Tetapi, orang-orang
yang tidak sejalan atau yang belum mencapai level mereka, memang kena mengerjakan
solat fardhu arus perdana. Begitukah situasi yang dimaksudkan?
ARIP : LEBIH KURANG begitulah.
USTAZ : Kalau orang rohani tinggi zaman sekarang ni sahaja pun
sudah begitu banyak yang tidak kena bersolat cara arus perdana, maka sudah
tentulah zaman Rasulullah dan para sahabat dulu, yang kita akui tadi sebagai LEBIH
BAGUS KEROHANIAN MEREKA berbanding zaman sekarang, adalah lebih ramai lagi yang
tidak mengerjakan solat sebagaimana arus perdana.
Dan sudah tentulah ramai yang tidak mengerjakan solat juga, kerana
level rohani sudah tinggi, dan sudah tentulah ramai yang mengerjakan solat
dengan CARA SELAIN cara arus perdana. Betul tak?
ARIP : Ya.
USTAZ : Mengapa?
ARIP : Kerana… orang-orang pada zaman itu LEBIH TINGGI MAQAM
KEROHANIAN mereka berbanding orang-orang sekarang dan lebih ramai lagi
wali-wali Allah yang utama. Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan
Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar, Huzaifah ibnu Yamani, Abu Hurairah, Abu
Zaar dan lain-lain?
USTAZ : Tepat sekali! Jadi, mereka yang lebih tinggi level
kerohanian mereka berbanding kita ni, ADA TAK YANG TIDAK MENGERJAKAN SOLAT
FARDHU SEBAGAIMANA CARA SOLAT ARUS PERDANA?
ARIP : Err.. itu tak dapat le kita nak pastikan waktu ini. Nak
kena selidik le dulu ustaz.
USTAZ : Kalau orang zaman sekarang yang maqam rohani tak setinggi
para sahabat pun ramai yang tidak solat atau bersolat tapi cara lain solatnya,
takkanlah PARA SAHABAT yang maqam rohani JAUH LEBIH TINGGI tiba-tiba kena turun
level lalu mengerjakan solat macam arus perdana? Dah tentulah mereka LEBIH LAGI
TIDAK SOLAT ARUS PERDANA atau LEBIH LAGI BERSOLAT FARDHU CARA LAIN. Tak gitu?
ARIP : Hmmm.. betul jugak ye! MEREKA LEBIH HEBAT level berbanding
kita. Dah tentu mereka lebih lagi tak buat solat arus perdana!
USTAZ : Bagus! Maka, persoalan yang mesti kita hadamkan sekarang… adakah para sahabat, yakni mereka yang
bermaqam rohani lebih tinggi daripada kita itu, TIDAK SOLAT FARDHU sebagaimana
solat ARUS PERDANA?
ARIP : Mestilah ada, sebab mereka lagi otai, lagi jeneral, lagi
sifu daripada orang-orang rohani zaman sekarang.
USTAZ : Benarkah begitu?
ARIP : Rasanya tentulah! TAKKAN KITA LEBIH DARIPADA MEREKA? Confirm
mereka lebih daripada kita! So, tentu ramai sahabat yang tak buat solat fardhu
arus perdana!
USTAZ : Macam mana kalau tak ada?
ARIP : Tak ada? Eh, takkan kot? Mestilah ada! Kan ke maqam
kerohanian mereka lebih dahsyat lagi?
USTAZ : Baiklah. Sekarang pelan-pelan kita buka.
ARIP : Baik ustaz. Teruskan.
BUKTI-BUKTI
USTAZ : Setakat yang kita tahulah, dalam kita dok belajar agama,
mengaji hadith, mengkaji sirah dan sebagainya, pada zaman Nabi dan sahabat tu, APABILA
MEREKA SOLAT FARDHU BERJEMAAH DI MASJID, mereka solat macam arus perdana ke,
atau duduk sahaja ke, ataupun solat cara lain?
ARIP : Kalau solat fardhu berjemaah di masjid, cara ARUS PERDANA
lah.
USTAZ : Ya! Tak pernah kita jumpa sandaran yang mengatakan
Rasulullah dan para sahabat pergi solat fardhu berjemaah di masjid… TAPI TIDAK
BERSOLAT MACAM SOLAT ARUS PERDANA. Tak pernah juga kita jumpa kata Rasululah dan
sahabat-sahabatnya pakat duduk atau berdiri beramai-ramai untuk solat fardhu di
masjid… lalu solat berjemaah guna niat, atau solat berjemaah fana Zat, atau
solat maqam wali, atau solat daim berimam berjemaah, atau solat batin berjemaah
ke, atau apa namalah pun. Faham kot ye apa yang saya maksudkan ni?
(beberapa orang kelihatan mengangguk-angguk)
Jadi, yang kita dok tau selama hari ni, mereka bersolat fardhu di masjid
CARA ARUS PERDANA pada setiap 5 WAKTU. Betul kan?
ARIP : …………………………….. Betul
tu betul ustaz, tapi… boleh jadi sahabat-sahabat yang melalui “jalan itu” atau
yang dah sampai maqam itu, mereka tak pergi ke masjid dah. Mungkin mereka tidak
bersolat, atau mereka bersolat cara lain di tempat lain. Contohnya di rumah
masing-masing ke, sambil-sambil berniaga ke, sambil beruzlah ke…
USTAZ : Baiklah. Betul ke
ada antara sahabat-sahabat Nabi saw yang
tidak solat fardhu berjemaah di masjid?
Sebenarnya, semua sahabat Nabi saw melaksanakan solat fardhu
berjemaah di masjid, yakni solat sebagaimana cara arus perdana, kecuali
sahabat-sahabat yang tinggal jauh, yang jatuh sakit, yang cedera teruk dalam
peperangan dan sebagainya yang berupa masalah-masalah yang menghalang kehadiran
mereka.
Semua sahabat yang tiada kekangan termasuklah semua sahabat yang
bermaqam rohani tertinggi, yang kita hari ini tidak sepadan pun dengan maqam
mereka, mereka solat fardhu berjemaah 5 waktu mengikut cara ARUS PERDANA di masjid.
ARIP : Betul ke ni ustaz? Ustaz ada sandaran tak untuk menguatkan
kata-kata ustaz tu?
USTAZ : Insya-Allah ada! Sekejap lagi kita tengok sama-sama.
Tetapi sebelum itu, ada sesuatu yang mesti kita luruskan terlebih
dahulu iaitu… sembang-sembang kita ini tidak khusus untuk membicarakan tentang
tuntutan solat fardhu berjemaah di masjid, tetapi lebih fokus kepada TATACARA
SOLAT ARUS PERDANA, kerana permasalahannya pada bahagian itu.
Dan kita telah bersetuju tadi bahawa solat fardhu berjemaah DI
MASJID itu adalah SOLAT ARUS PERDANA, bukannya tak solat ataupun solat cara
selain arus perdana.
ARIP : Faham ustaz.
ANTARA
SANDARAN KITA
USTAZ : Ok. Sekarang saya kongsikan sebuah hadith.
Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya
solat yang paling berat bagi ORANG MUNAFIK ialah solat fardhu Isya’ dan solat
Subuh. Seandainya mereka tahu keutamaan (maqam) yang ada pada kedua solat
tersebut, sudah tentu mereka AKAN MENDATANGINYA walau dengan MERANGKAK. Sungguh,
aku bertekad untuk menyuruh orang melaksanakan solat lalu solat ditegakkan, dan
aku suruh orang lain yang mengimami orang-orang bersolat itu, sementara aku sendiri akan pergi bersama
beberapa orang untuk membawa kayu untuk MEMBAKAR
RUMAH orang yang TIDAK HADIR SOLAT BERJEMAAH.” (Bukhari, Muslim).
Ada beberapa kalimah penting dalam hadith ini:
1.
“munafik”.
Maksudnya yang tidak datang solat berjemaah arus perdana itu hanya orang-orang
munafik. Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saiyidina Ali, Huzaifah dan lain-lain
itu termasuk ke? Tentulah tidak termasuk! Takkan mereka munafik? Maka fahamlah kita bahawa sahabat-sahabat
utama yang jauh lebih tinggi kerohanian mereka daripada kita itu semuanya mengerjakan
solat sebagaimana arus perdana. Jika tidak, mereka termasuk dalam golongan
munafik.
2.
“sudah
tentu mereka akan mendatanginya”. Datang ke mana? Ke masjid.
3.
“walaupun
dengan merangkak”. Ini menunjukkan perbuatan bergerak dari satu
tempat ke satu tempat. Maka kalimah ini menguatkan lagi tentang hadir ke
masjid.
4.
“mengimami”. Ini
bermaksud solat fardhu berjemaahlah. Solat itu pula SOLAT ARUS PERDANA,
sebagaimana yang kita persetujui sebelum ini. Takkanlah solat-solat cara lain
tu ada imam ada jemaah yang semua kena berdiri bersama-sama dan buat di masjid?
Dan yang paling penting ialah …..sekiranya boleh, Rasululah saw mahu mengajak beberapa orang
sahabat untuk membakar rumah-rumah orang YANG TIDAK DATANG solat berjemaah di
masjid. Dan kita sedia maklum, solat fardhu berjemaah di masjid adalah dalam
tatacara SOLAT ARUS PERDANA.
Ringkasnya di sini, Rasulullah hendak membakar rumah orang-orang YANG
TIDAK MELAKUKAN solat arus perdana. Adakah Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina
Uthman, Saiyidina Ali, Sa’ad bin Abi Waqqas, Abu Hurairah dan lain-lain tidak
datang?
Sudah tentu mereka datang! Mustahil Rasululah hendak membakar
rumah-rumah sahabat-sahabat yang maqam kerohanian tinggi. Ertinya, semua
sahabat sama ada yang utama mahupun yang biasa, mereka mengerjakan solat arus
perdana di masjid. Yang tidak datang hanyalah orang-orang munafik, sedangkan mereka
bukan orang munafik.
Kalau mengikut fahaman golongan yang tidak mengerjakan SOLAT ARUS
PERDANA itu, bukankah sepatutnya para sahabatlah yang lebih lagi tidak solat
arus perdana, atau kalau bersolat pun, solat dengan cara lain? Kan maqam
kerohanian para sahabat lagi hebat?
Tetapi berdasarkan hadis ini, mengapa mereka semua solat
sebagaimana solat fardhu ARUS PERDANA kecuali orang-orang munafik?
Merekakah yang tidak betul ataupun kita yang tidak betul?
Bagaimana kita yang iman senipis kulit bawang ini, yang maqam kerohaniannya
lebih rendah ini boleh tidak melaksanakan solat arus perdana?
Adakah kita lebih hebat daripada para sahabat?
Ataupun… sebenarnya kita sedang berada dalam kalangan para munafik
tetapi kita sangkakan diri kita bermaqam kerohanian tinggi? Na’uzhubillah.
PERBAHASAN
ARIP : ………. Boleh jadi para
sahabat tu nak tunjukkan contoh kot ustaz?
USTAZ : Kalau nak tunjukkan
contoh, tak perlulah semua hadir. Katakanlah ada 700 orang maqam kerohanian
tinggi di sekitar Masjid Nabawi ketika itu, cukuplah 300 orang sahaja yang
hadir. Tapi, sebaliknya semua hadir, kecuali para munafiqin!
Lagi pula, bukankah boleh dibuat giliran jika benar mahu
menunjukkan contoh? Tapi tak ada pula Rasululah gilir-gilirkan
sahabat-sahabatnya untuk melaksanakan solat arus perdana!
Selain itu, berdasarkan hadis di atas juga, memang tidak ada
sahabat yang maqam kerohanian tinggi tidak hadir kecuali orang-orang munafik.
Takkanlah sahabat-sahabat yang bermaqam kerohanian tinggi ada yang tidak hadir
lalu termasuk dalam kalangan munafik itu?
ARIP : Kalau begini bagaimana pula ustaz…. Memanglah semua sahabat
termasuklah yang berkerohanian tinggi hadir mengerjakan solat arus perdana,
tetapi selepas itu di tempat-tempat lain mereka kerjakan pula solat mengikut
cara lain?
USTAZ : Katakanlah bahawa hal itu memang berlaku. Adakah hal itu
membuktikan ada sahabat-sahabat Nabi saw yang berkerohanian tinggi yang tidak mengerjakan
solat fardhu 5 waktu mengikut tatacara arus perdana?
ARIP : Hmmm… betul jugak. Tidak menjadi bukti jugak dalam hal ni.
USTAZ : Ya, sudah tentulah. Sama ada mereka punya tatacara solat
lain di tempat lain atau tidak, semua mereka tidak meninggalkan solat fardhu
arus perdana. Bagaimana kita yang kerdil ini pula boleh meninggalkannya?
(Apabila suasana senyap agak lama, ustaz menyambung…)
Apa kata Nabi? “Kalaulah
bukan kerana ada wanita dan kanak-kanak (di rumah mereka yang tidak datang
bersolat berjemaah arus perdana di masjid), sudah tentu aku akan menyuruh solat
Isya’ ditegakkan (oleh sahabat-sahabatnya) lalu aku sendiri bersama pemuda akan
pergi membakar rumah mereka yang tidak datang (solat arus perdana) di masjid
dengan api.” (Ahmad)
Takkanlah Rasulullah saw hendak membakar rumah orang-orang
berkerohanian tinggi, kuat al-yaqin, super ma’rifah dan sebagainya tu?
Maksudnya, semua yang berkerohanian tinggi memang ke masjid dan
mengerjakan solat ARUS PERDANA.
Ibnu Mas’ud mengatakan : “Aku
telah melihat bahwa orang yang meninggalkan solat jemaah HANYALAH ORANG MUNAFIK,
yang mana ia adalah munafik tulen. (Muslim)
“hanya orang munafik”. Maksudnya yang berkerohanian tinggi memang
sentiasa datang ke masjid mengerjakan solat ARUS PERDANA. Tidak ada sahabat
nabi yang tidak mengerjakan solat sebagaimana arus perdana.
MA’RIFAT
TINGGI
ARIP : Tapi ustaz, orang-orang yang mengajarkan ilmu ini orang-orang
ma’rifat tinggi ustaz.
USTAZ : Mahu ikut para sahabat yang lebih tinggi ma’rifat atau
mahu ikut orang-orang itu?
ARIP : Aduh, ustaz! Tak aci la main soalan macam ni. He he.
USTAZ : Heh he. Baiklah. Patah balik kepada awal-awal bicara kita
tadi. Benarkah mereka ma’rifat tinggi? Ataupun kita yang menyangkakan mereka
berma’rifat tinggi? Atau pun mereka yang mendakwa diri mereka berma’rifat tinggi?
Kalau benar dia berma’rifat tinggi, sudah pasti dia tidak akan
meninggalkan solat fardhu arus perdana sebagaimana Rasululah saw dan para
sahabat.
Allah SWT berfirman : “DAN
dirikanlah solat DAN keluarkanlah zakat DAN rukuklah bersama orang-orang yang
rukuk.” (Al-Baqarah : 43)
Ayat ini AYAT PERINTAH. Hukumnya wajib. Bilakah masanya kita wajib
kena rukuk BERSAMA-SAMA orang-orang yang rukuk? Bukan ketika solat fardhu
berjemaah ARUS PERDANA kah?
ARIP : Hmmmm… nampak gayanya begitulah.
USTAZ : Kamu tahu kisah Azazil si Iblis?
ARIP : Ya. Tahu jugaK sedikit-sebanyak.
USTAZ : Dia ada ma’rifat tak?
ARIP : Ada jugak. Kalau tak, takkan sampai dia boleh jadi orang
kenamaan dalam kalangan para malaikat.
USTAZ : Mengapa dia yang
tinggi juga ma’rifat ketika itu tiba-tiba dilaknat selama-lamanya oleh Allah?
ARIP : Kerana dia tidak mahu sujud beramai-ramai bersama-sama para
malaikat kepada Adam.
“Melainkan
Iblis, dia enggan turut bersama mereka yang sujud.” (Al-Hijr
: 31)
USTAZ : Benar. Banyak lagi ayat-ayat berkaitan :
“Lalu
mereka (para malaikat) bersujud kecuali Iblis, dia berasal daripada golongan
jin, lalu dia menderhakai perintah Tuhannya.” (Al-Kahfi : 50)
ARIP : “Lalu mereka (para
malaikat) sujud kecuali Iblis, dia tidak mahu sujud.” (Taha : 116)
USTAZ : “Maka mereka (para
malaikat bersujud) kecuali Iblis.” (Al-Isra; : 61)
ARIP : “Lalu mereka (para
malaikat) bersujud kecuali Iblis, dia tidaklah termasuk dalam mereka yang
bersujud.” (Al-A’raf : 11)
ADI : “Lalu bersujudlah
mereka (para malaikat) keculai Iblis.” (Al-Baqarah : 34)
ARIP : Amboih, hang pun power jugak no! Diam-diam ubi rupanya!
ADI : Aku tak power, Allah yang power.
ARIP : Oo, hang balas balik kat aku no?
(Mereka tertawa kecil)
USTAZ : Yah! Betul belaka tu! Jadi, cuba kita renung-renungkan…. kalau
ma’rifat tinggi tetapi tidak mahu sujud beramai-ramai kepada Adam sahaja sudah
dilaknat selama-lamanya, bagaimana dengan orang yang merasakan dirinya ma’rifat
tinggi tetapi tidak mahu sujud beramai-ramai kepada Allah?
ARIP : Allahu Akbar! Ustaz! Tidak pernah terfikir oleh saya!
JUMPA LAGI
USTAZ : Macam ni lah Arip. Saya yakin masih banyak hal yang kamu
nak kongsi sebenarnya, cuma buat masa sekarang ni mungkin kamu tak ingat. Sebab
dilaog kita ni pun memang tak dirancang. Kita tahu, ada lagi hujah-hujah
golongan tu yang kita biasa dengar, biasa baca, biasa tonton…. Apa kata kalau
untuk malam ini, kita berhenti setakat ni je dulu. Balik rumah nanti, kamu cuba
kumpul-kumpul tengok alasan-alasan yang ada, lepas tu malam esok lepas Isya’
kita sembang-sembang lagi. Jadi, kamu pun akan lebih bersedia, dan saya pun
akan lebih bersedia. Nanti kita akan sama-sama lebih puas hati. Macam mana?
ARIP : Kalau lagu tu ustaz, esok pagi lepas Subuh kita sambung.
ADI : Hoi, gelojoh betul la hang ni! Tak menyempat-nyempat.
ARIP : Ya la! Pagi esok aku dah balik KL. Mana sempat nak jumpa
malam esok.
ADI : Oo… dah tu, macam mana ustaz?
USTAZ : Kalau macam tu… kita cubalah lepas Subuh esok,
insya-Allah. Pakat-pakat doa.
ARIP DAN ADI : Cantik ustaz.
(SUARA LATAR BELAKANG : Nak jadi cerita, pada tengah malam itu juga
Arip terpaksa balik ke KL kerana ada urusan tergempar. Maka pertemuan esoknya tu
tertangguhlah. Tetapi mereka telah bersidang sebulan kemudian sewaktu Arip
pulang bercuti ke kampung.)
bersambung…
No comments:
Post a Comment