Sunday, March 18, 2018

Mengapa Ilmu-ilmu Agama Sangat Penting?


Allah swt berfirman : “Katakanlah : Adakah sama antara orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?” (Fathir : 28)

Tentulah tidak sama, baik di dunia mahupun di akhirat.

Pada ayat yang lain dinyatakan : “Contoh-contoh itu kami buat untuk manusia dan tidak ada yang mengerti melainkan orang-orang yang berilmu.” (Al-’Ankabut : 43)

Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk memperoleh kebaikan nescaya dianugerahi-Nya pemahaman dalam agama dan diilhami-Nya petunjuk.” (Bukhari, Muslim)

Nabi saw bersabda : “Orang berilmu (ulama) itu pewaris para nabi.” (Abu Daud, Turmizi)

Sudah kita maklumi bahawa tidak ada pangkat yang lebih atas daripada pangkat kenabian dan tidak ada kemuliaan yang lebih atas daripada kemuliaan mewarisi pangkat tersebut.

Nabi saw bersabda : “Kelebihan orang ‘alim (berilmu) berbanding orang ‘abid (banyak beribadah) adalah seperti kelebihan aku berbanding orang yang paling rendah dalam kalangan para sahabatku.” (Turmizi)

Nabi saw bersabda : “Kelebihan orang ‘alim berbanding orang ‘abid adalah seperti kelebihan bulan pada malam purnama berbanding bintang-bintang lain.” (Abu Daud, Turmizi)



Saiyidina Ali bin Abi Talib ra berkata kepada Kumail : “Wahai Kumail! Ilmu adalah lebih baik daripada harta. (Hal ini kerana) Ilmu menjaga engkau sedangkan harta dijaga oleh engkau. Ilmu itu penghukum sedangkan harta itu terhukum. Harta berkurang apabila dibelanjakan sedangkan ilmu itu bertambah apabila dibelanjakan.”

Kata Ibnu Abbas ra : “(Nabi) Sulaiman bin Daud disuruh memilih antara ilmu, harta dan kerajaan. Dia memilih ilmu lalu dianugerahkan kepadanya harta dan kerajaan bersama-sama ilmu itu.”

Fathul Mausuli bertanya : Bukankah orang yang sakit itu apabila tidak mahu makan dan minum akan mati?”
Orang di sekelilingnya menjawab : “Benar.”
Lalu sambung Fathul Mausuli : “Begitu jugalah dengan hati. Apabila (hati itu) tidak mahu mahu kepada hikmah dan ilmu dalam masa tiga hari, maka matilah hati itu.”

Memang benar kata-kata ini kerana sesungguhnya makanan hati itu ialah ilmu dan hikmah. Dengan dua hal inilah hati dapat hidup sebagaimana tubuh badan itu hidup dengan makanan.

Orang yang tidak berilmu, hatinya akan sakit dan kematian hatinya itu adalah suatu kemestian. Namun dia tidak menyedari hal itu kerana kecintaan dan kesibukannya dengan dunia menghilangkan perasaan itu, sebagaimana ketakutan yang kuat kadang-kadang menghilangkan kepedihan luka (yang sedang dialami) buat seketika walaupun luka itu masih ada.

Apabila mati itu telah menghilangkan kesibukan duniawi, barulah dia berasa rugi besar sedangkan ketika itu sudah tidak bermanafaat lagi baginya. Keadaan tersebut samalah seperti yang dirasakan oleh orang yang telah aman daripada ketakutan atau telah sembuh mabuknya dengan luka-luka yang diperolehinya sewaktu sedang mabuk atau ketakutan.

Berkata Al-Hasan : “Ditimbang tinta para ulama dan darah parah syuhada’, maka beratlah timbangan tinta para ulama berbading darah para syuhada’.”

Kata Ibnu Mas’ud ra : “Engkau mestilah berilmu sebelum ilmu itu diangkat. Diangkatnya ilmu adalah dengan kematian para perawinya. Demi Tuhan yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya orang-orang yang syahi dalam perang sabil lebih suka dibangkitkan oleh Allah nanti sebagai ulama kerana melihat kemuliaan ulama itu.”

Kata Ibnu Abbas ra : “Bertukar-tukar fikiran tentang ilmu pada sebahagian malam adalah lebih aku sukai daripada melakukan ibadah pada malam itu.” Begitu juga menurut Abu Hurairah ra dan Ahmad bin Hanbal.

Al-Hasan mentafsirkan firman Allah Taala : “Rabb kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.” (Al-Baqarah : 201) bahawa kebaikan di dunia itu ialah ilmu dan ibadah, sedangkan kebaikan di akhirat ialah jannah.

Kata Az-Zuhri : “Ilmu itu jantan dan tidak mencintainya selain lelaki yang jantan.”


- Ringkasan kitab Ihya' 'Ulumuddin : Kitab Ilmu

No comments: