Saturday, March 17, 2018

Rombongan Rerama Sayap Bercahaya


Pada malam Jumaat lalu, saya masuk tidur lebih kurang pada pukul 3 pagi. Dalam tidur itu saya bermimpi berada dalam satu majlis di pondok Ustaz Sidek Nor.

Majlis itu berlangsung pada waktu malam. Ratusan orang duduk berhimpun di kawasan lapang sambil mengalunkan zikir beramai-ramai.

Ustaz Sidek Nor sendiri berada dalam kalangan hadirin yang duduk dan menghadap ke hadapan. Dia seolah-olah peserta sahaja dalam majlis tersebut. Maksudnya di bahagian hadapan sekali terdapat beberapa orang penting yang saya tidak tahu siapakah mereka.

Saya sendiri sebagaimana selalunya di alam nyata, lebih suka berada di hujung-hujung, pada bahagian belakang keramaian, pada posisi melukut di tepi gantang sahaja. Sambil turut sama berzikir, saya memerhati para hadirin dan alam sekitar.

Tiba-tiba datang banyak rama-rama terbang berkejar-kejaran di sekitar hadirin dan kawasan itu. Semua rama-rama itu ada lakaran garisan cantik pada sayap mereka dan sama coraknya pada semua rerama. Garisan tebal itu mengikut bentuk sayap si rama-rama.  Bahagian yang berlakar itu mengeluarkan cahaya sendiri seolah-olah berlampu. Sangat cantik pemandangan pada waktu itu.

Pada bahagian yang saya lukis garisan putih itulah yang mengeluarkan cahaya, cuma lebih tebal sedikit.

Terus tercetus di hati saya (dalam mimpi itulah) bahawa rombongan rama-rama itu ialah para malaikat. Ketika itu juga terdengar orang-orang yang berada berhampiran saya berkata sesama sendiri bahawa rama-rama itu memang rombongan malaikat.

Rupa-rupanya kejadian itu merupakan kejadian kedua. Menurut mereka, sebelum ini sudah pernah diadakan majlis yang sama di situ dan berlaku hal yang sama juga, iaitu majlis itu diserikan dengan rombongan rama-rama bercahaya yang berterbangan.

Saya seakan-akan tidak percaya melihat keanehan itu lalu cuba memastikan benarkah saya berada di pondok Ustaz Sidek Nor. Saya melihat sekeliling dan nampak bangunan masjid/surau pondok itu dan memang tertulis besar pada dindingnya dalam tulisan jawi – Maahad Tahfiz Qiam. Sahih.

Orang ramai pun meneruskan zikir sambil sesekali melihat rama-rama sayap bercahaya itu berterbangan….. sehinggalah berakhir mimpi saya itu. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
17 Mac 2018

No comments: