Timbul satu permasalahan yang sedikit-sebanyak telah
mengganggu ketenangan dan ketenteraman qalbu segelintir ikhwan pada jalan ini. Maka
menjadi tanggungjawablah bagi kami untuk memberikan sedikit pencerahan
tentangnya.
PERSOALAN YANG
DATANG :
Ada orang mengatakan bahawa bercinta dengan Tuhan yakni
Allah itu tidak ada. Sesiapa yang mengatakan ada cinta dengan Tuhan bererti
orang itu tidak faham dengan Tuhan. Malahan jika kita menyatakan yang “kita
mencintai dan merindui Tuhan” dan seumpamanya pun, sebenarnya tidak ada hal
sedemikian dalam agama. Cinta dan rindu itu hanya kepada makhluk sahaja.
Benarkah keyakinan seperti itu?
PENCERAHAN KITA :
Firman Allah SWT : “Dia
(Allah) mencintai mereka DAN mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Maidah : 54)
Jelas, Allah sendiri mengatakan memang ada Dia mencintai
hamba-hamba-Nya dan ada pula hamba-hamba-Nya yang mencintai-Nya. Perkataan “DAN”
pada kata-kata Allah di atas menunjukkan keadaan SALING MENCINTAI.
Maka bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan
Kitabullah, dengan satu ayat ini sahajapun sudah menjawab persoalan di atas.
Namun sebagai pengukuhan dan pengkayaan, di sini kami
suka untuk berkongsi sandaran-sandaran lain agar hati kita mendapat ketenteraman
dan ketenagan yang berlipat ganda dalam permasalahan ini.
Firman Allah SWT : “Orang-orang
yang beriman itu lebih CINTA KEPADA ALLAH.” (Al-Baqarah : 165)
Firman-Nya : “……….
Jika semua itu LEBIH KAMU CINTAI DARIPADA ALLAH dan rasul-Nya dan daripada
berjuang pada jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya.
Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang fasiq.”
(At-Taubah : 24)
Jika orang yang ada juga mencintai Allah, cuma mereka
mencintai yang lain lebih lagi, golongan sebeginipun Allah sudah beri amaran
dengan “Tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya”, apatah lagilah bagi
orang-orang yang tidak mencintai Allah dan orang-orang yang menolak adanya
cinta kepada Allah. Oleh itu, kita mestilah sangat berhati-hati.
Firman Allah SWT : “Katakanlah
(wahai Muhammad) : “Kalau benar ENGKAU MENCINTAI ALLAH, ikutlah aku, nescaya ENGKAU
AKAN DICINTAI OLEH ALLAH dan diampunkan-Nya dosamu.” (Ali-Imran : 34)
Perhatikanlah perkataan-perkataan berhuruf besar dalam Kalam
Allah di atas. Renung-renungkanlah dan mohonlah petunjuk.
Semua itu tadi merupakan sandaran-sandaran daripada Kitab
Suci Al-Quran. Mari kita kayakan lagi dengan kata-kata kekasih-Nya pula yakni
Rasulullah saw.
Sabda Rasululah saw : “TIDAK BERIMAN seseorang daripada kamu sebelum ALLAH dan rasul-Nya LEBIH
DICINTAINYA berbanding yang lain-lain.” (Bukhari, Muslim)
“Tidak beriman” itu ditujukan oleh Rasulullah saw kepada golongan
yang ada mencintai Allah tetapi mereka mencintai yang lain lebih lagi. Bagaimana
agaknya kepada mereka yang tidak mencintai Allah atau yang menafikan adanya
cinta kepada Allah? Na’uzibillah!
Seorang Arab desa
datang kepada Nabi saw lalu bertanya : “Ya Rasulullah! Bilakah Qiamat?”
Nabi saw menjawab
: “Apa yang telah engkau sediakan untuk menghadapi Qiamat itu?”
Arab desa itu menjawab
: “Tidaklah aku sediakan untuk Qiamat itu dengan banyaknya solat dan puasa. Cuma
AKU MENCINTAI ALLAH dan rasul-Nya.”
Lalu Rasulullah
saw bersabda : “Manusia itu (akan) bersama-sama dengan yang dicintainya.” (Bukhari, Muslim)
Sangat jelas kepada kita, memang wujud CINTA ALLAH.
Di samping itu, sangat penting untuk kita perhatikan
dalam hadith ini pada bahagian kata-kata orang itu bahawa : “AKU MENCINTAI
ALLAH.” Bukankah jelas kepada kita bahawa Rasulullah saw mengiktiraf kata-kata
yang sebegini? Sekiranya kata-kata ini salah atau tidak wujud dalam agama,
mustahil baginda akan mendiamkan hal yang salah atau tidak wujud itu, melainkan
sudah pasti baginda akan menegur dan membetulkannya.
Sabda Rasulullah saw : “Sesiapa yang membanyakkan zikir kepada Allah nescaya dia DICINTAI OLEH
ALLAH.” (Ibnu Majah)
Seorang lelaki
berkata kepada Rasulullah saw : “Sesungguhnya AKU MENCINTAI ALLAH TAALA.”
Nabi saw menjawab
: “Bersedialah untuk menghadapi cubaan (kerana mencintai Allah itu perlukan
pengorbanan).” (Turmizi)
Perhatikan! Orang ini juga mengatakan : “AKU MENCINTAI
ALLAH” bahkan dengan disaksikan oleh Rasulullah saw sendiri.
Abu Razin Al-‘Uqaili
bertanya kepada Rasulullah saw : “Wahai Rasulullah! Apakah IMAN itu?”
Rasulullah saw
menjawab : “(Iman itu ialah) ALLAH dan Rasul-Nya LEBIH ENGKAU CINTAI daripada
yang lain-lain.” (Ahmad)
Demikianlah sebahagian daripada sumber-sumber As-Sunnah.
Seterusnya, bagi kita dalam Tariqah Ghazaliyyah ini khususnya
(dan umumnya untuk seluruh umat), kita lihat pula kalam Hujjatul Islam Imam
Al-Ghazali.
Berkata Imam Al-Ghazali : “Ketahuilah, sesungguhnya umat itu bersepakat bahawa MENCINTAI ALLAH
dan rasul-Nya itu adalah WAJIB.” (Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Cinta Allah)
Berkata Imam Al-Ghazali : “Sesungguhnya maqam MENCINTAI ALLAH merupakan matlamat/tujuan paling
jauh (paling akhir) daripada maqam-maqam yang ingin dicapai dan merupakan darjat
tertinggi daripada darjat-darjat. Tidak ada selepas maqam cinta suatu maqam pun
lagi kecuali buah (hasil) daripada buah-buahannya dan ikutan (kesan) daripada
pengikut-pengikutnya.” (Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Cinta Allah)
Kata Imam Al-Ghazali juga : “Ketahuilah, orang yang menolak hakikat kecintaan kepada Allah Taala,
maka tidak boleh tidak dia MENOLAK juga akan hakikat RINDU KEPADA ALLAH.”
(Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Cinta Allah)
Jadi, tidak hairanlah mengapa golongan yang menafikan
cinta kepada Allah turut akan menafikan rindu kepada Allah. Bagi mereka, tidak
ada cinta dan rindu kepada Allah.
Kata Imam Al-Ghazali : “KESEMPURNAAN kemanusiaan terletak di sini, iaitu KEICNTAAN KEPADA
ALLAH TAALA mestilah menakluk qalbu manusia dan menguasai qalbu itu sepenuhnya.”
(Kimiya’ as’-Sa’adah – Bab Cinta Allah)
Kalian tidkak mahu berusaha mencapai kesempurnaan?
Kata Imam Al-Ghazali lagi : “Ada aliran teologi yang menyangkal bahawa manusia boleh mencintai
suatu wujud yang merupakan bukan dari jenisnya sendiri.” (Kimiya’ as’-Sa’adah
– Bab Cinta Allah)
Nah! Kan sama hujah mereka? Oleh kerana kita dan Allah
berbeza wujud, maka mana mungkin ada cinta dan rindu. Cinta dan rindu itu hanya
untuk sesama makhluk. Begitulah anggapan mereka. Sebenarnya golongan sebegini
sudah lama wujud dalam dunia ini. Para pewaris mereka tetap ada sehingalah ke
ahri ini. Sebab itulah Imam Al-Ghazali menolak fahaman mereka dalam kitabnya.
Sambung Imam Al-Ghazali lagi dalam kitab yang sama : “Orang-orang yang berpendapat seperti itu sesungguhnya
MEREKA TIDAK TAHU APAKAH AGAMA ITU sebenarnya.” (Kimiya’ as’-Sa’adah – Bab Cinta
Allah)
Jika mereka mengatakan kepada kita yang mengakui adanya
cinta dan rindu Allah ini sebagai “tidak faham dengan Tuhan”, maka kita tidak
perlu menjawab apa-apa, kerana Imam Al-Ghazali sendiri sudah sedia menjawabnya
sejak lebih 1000 tahun yang lalu bahawa… merekalah yang tidak tahu agama.
Semoga dengan penjelasan ringkas ini dapatlah menjadi
asbab kepada ketenangan dan ketenteraman pada qalbu ikhwan sekelian tentang
permasalahan ini.
Sekiranya ikhwan sekalian mahukan huraian yang lebih
mendalam, pelajarilah Kitab Cinta Allah dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin dan
Bab Cinta Allah dalam kitab Kimiya’ as-Saa’dah karangan pendahulu kita iaitu
Imam Al-Ghazali.
Wallahua’lam.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
21 Mac 2018
No comments:
Post a Comment