Tuesday, August 23, 2022

Membanyakkan Pahala Walau Ketika Sedang Tidur

 

Ada hari2 dan musim2 yang masamu sangat terhad sehinggakan engkau sangat kurang peluang untuk bertemu muka dengan orang2. Maka dakwahmu pun kurang. Tetapi dengan kemajuan teknologi hari ini, ketika engkau sedang tidur, makan atau mandi pun kasih sayang Allah dan pahala daripada-Nya terus berjalan, kerana dakwahmu di media sedang dibaca orang, sedang dilihat orang, sedang didengar orang atau sedang ditonton orang. Inilah amal baikmu yang tidak sempat engkau saksikan dan tidak sempat engkau hitung kerana ia terus berjalan ketika engkau menguruskan hal2 lain dalam hidupmu.


Insya-Allah pada hari akhir nanti, apabila "peti2" amalmu dibawa di "hadapan"-Nya, engkau akan terkejut besar kerana isinya ialah "emas" atau "mata wang jannah" yang jumlahnya berkali2 ganda lebih banyak daripada yang engkau sangkakan. "Rasanya aku buat sikit je. Dari mana datangnya sekian banyak "peti2" ini? Antaranya itulah dakwahmu yang tidak sempat engkau hitung itu.


Namun dengan kemajuan teknologi hari ini juga, ketika engkau sedang tidur, makan atau mandi pun murka Allah dan dosa daripada-Nya terus berjalan, kerana sebaranmu di media yang bertentangan dengan syariat agama itu sedang dibaca orang, sedang dilihat orang, sedang didengar orang atau sedang ditonton orang. Inilah "amal baikmu" yang tidak sempat engkau saksikan dan tidak sempat engkau hitung kerana ia terus berjalan ketika engkau menguruskan hal2 lain dalam hidupmu.


Maka tidak mustahil pada hari akhir nanti, apabila "peti2 " amalmu dibawa di "hadapan"-Nya, engkau akan terkejut besar kerana isinya ialah kemurkaan Allah dan jumlahnya berkali2 ganda daripada yang engkau sangkakan. "Rasanya aku pos sikit je. Dari mana datangnya sekian banyak "peti2" ini? Antaranya itulah sebaranmu yang tidak sempat engkau hitung itu.


Marilah wahai diriku sendiri juga diri2 yang lain untuk memilih jenis yang pertama tadi. Dijauhkan oleh Allah hendaknya daripada menjadi jenis yang kedua.


21/8/22

No comments: