Saturday, August 27, 2022

Cubaan Scam Makhluk2 Ghaib

 

Disebabkan semalam saya mendapat satu mimpi yang agak melucukan, saya suka untuk berkongsi satu mimpi lain lebih kurang 25 tahun yang lalu (1998/99). Kedua-dua mimpi ini ada beberapa persamaan tetapi yang terdahulu itu lebih berat permainannnya. Jadi kita kongsikan mimpi yang lama itu lebih dahulu.


MIMPI 25 TAHUN YANG LALU


Sebelum berkahwin, saya ada menyewa sebuah rumah papan. Dalam mimpi itu, saya sedang duduk bersila di rumah sewa itu. Di tengah rumah ada dinding papan yang berlubang2 sedikit. Boleh nampak cahaya di sebelah sana ruangan. Di ruangan itu sefaham saya ada beberapa orang, mungkin dalam 10 orang yang sedang duduk juga. Saya tidak nampak mereka melainkan sedikit cahaya dan bayang2 yang silih berganti hasil bergeraknya mereka pada lubang2 kecil di dinding kayu itu.


Saya pun bertanya, "Siapa ni?"


Yang di sebalik dinding menjawab, "Rasulullah." (Selepas itu dialah yang bertindak selaku jurucakap bagi kumpulan itu sehinggalah ke akhir mimpi. Yang lain2 tidak bersuara)


Ketika itu saya berasa agak geli hati tapi disorok di dalam hati sahajalah. Nasib baiklah mursyid saya pernah beritahu bahawa hal2 semacam ini akan berlaku nanti apabila kita tiba pada maqam2 tertentu dalam jalan keRUHanian ini, cuma tak tahu bila masanya. Tak sangka pada malam itu sudah sampai waktunya.


Saya pun agak terkejut lalu bertanya lagi, "Nabi Muhammad? Muhammad ibni Abdillah?" Dia mengiyakan. Dia juga memberitahu bahawa bersama-samanya ialah (Syeikh) Abdul Qadir (al-Jilani), (Nabi) Khidhir, (Syaikh) Abdus Samad (al-Falimbani), dan beberapa nama lain yang ketika itu saya tidak kenal mereka menyebabkan saya tidak mengingati nama-nama itu. Namun sefaham saya yang lain-lain itu juga nama kepada wali2 Allah atau ulama2 besar.


Kemudian yang mengaku sebagai Rasulullah itu bercerita tentang tasawuf tinggi (yang sesekali terselit maklumat yang salah pun), beberapa ramalan tentang peristiwa yang bakal berlaku dalam beberapa tahun akan datang (banyak yang tak berlaku pun kemudiannya) dan beberapa perkara lagi yang kebanyakannya saya tidak ingat. Lama juga "majlis penerangan"nya sampai naik jemulah saya di dalam mimpi itu.


Pada satu kesempatan, saya potong kata-katanya lalu bertanya, "Sebenarnya tuan2 ni dari mana?"


Terus dia senyap. Agak lama juga. Yang terdengar hanyalah pergerakan badan dan pakaian mereka. Kemudian barulah si tukang cakap bercerita...


Sebenarnya mereka berasal dari Sri Lanka (entah betul entah tidak, layankan sahajalah) tapi sudah lama berhijrah ke Tanah Melayu. Sudah ratusan tahun. Si tukang cakap itu pun termasuk yang berhijrah ketika itu. Maksudnya usianya sudah ratusan tahunlah (mungkin juga sudah lebih seribu tahun). Dan daripada bicara agama, majlis penerangan semakin terarah kepada bicara dunia persilatan pula.


Saya pun merobek2 sedikit dinding kayu yang berlubang itu lalu mendekatkan mulut. Kata saya, "Tak mengapalah. Tuan2 baliklah."


Mimpi pun tamat......


Esoknya saya terus maklumkan kepada guru saya. Si mursyid tertawa mendengar cerita saya. Katanya, "Miker dah lulus le tu." Kemudian barulah dibuka pengalamannya. Sebelum ini dia hanya bercakap secara umum sahaja.


Dia juga pernah bertemu Nabi Muhammad (Rasulullah) yang sebenar di dalam mimpi. Selain itu dia juga pernah didatangi oleh yang mengaku "Nabi Muhammad (Rasulullah)" yang bukan di dalam mimpi sahaja, bahkan secara terang-terangan pun pernah. Lalu terus dia bercerita pengalaman bertemu secara berhadapan itu.


Menurutnya, (guru saya ini wajahnya memang serius, susah kelihatan tersenyum tapi sebenarnya boleh melawak dan kuat mengusik orang) dia menyakat mahluk yang mengaku sebagai Rasulullah itu dengan pelbagai soalan.


Contohlah (saya sudah tidak ingat susunannya, lebih kuranglah) :

"Anta Muhammad bin Abdillah bin Abu Mutalib.... (sampai beberapa keturunan ke atas)?" Makhluk itu mengiyakan.

Ditanya lagi akan nama2 semua isterinya.

Kemudian ditanya lagi nama anak cucu, sahabat yang empat, peristiwa hijrah, israk mikraj dan macam-macam. Sampai kelelahan si makhluk menjawab. Bertubi-tubi soalan untuk mengesahkan dirinya benar2 Rasulullah saw.


Ringkas kata, iya belaka. Memang sungguh2 Rasulullah sawlah lagaknya. Tapi di dalam soalan2 itu ada terselit hal2 yang tidak benar berkaitan Rasulullah, tapi diiyakan juga oleh si makhluk. Makin jelaslah.


Setelah puas melayan, guru saya memberitahu yang dia "menjurus dengan zikrullah secara ma'rifat" (tanpa pergerakan anggota badan) ke arah makhluk itu. Terus makhluk itu berdesup lari. Nak kata terbang, tak terbang. Nak kata berlari pun bukan berlari. Macam kilat (sekilas pandangan sahaja) ke sebelah kiri dan menghilang. (Jika di zaman kita sekarang ini mungkinlah macam The Flash)


Kata mursyid, "Takkan le Rasulullah cabot kene jurus dengan zikir!"


MIMPI MALAM SEMALAM


Saya berada di sebuah rumah dengan dinding kayu yang terobek2 sedikit. Lebih kurang sama macam dalam mimpi yang lama itu. Di sebalik dinding juga ada sekumpulan makhluk. Cuma kali ini tidak ada pengakuan sebagai Rasulullah dan dakwaan hadirnya wali2 Allah di situ. Tukang cakapnya bercerita tentang ilmu tasawuf tinggi dan beberapa hal lain yang saya tidak ingat. Tapi hati saya terdetik - ini macam mimpi yang lama dulu tu! Sudah suku abad berlaku, kini seakan berulang kembali.


Macam hendak panjang sahaja "majlis penerangannya", lalu kali ini sahaya potong teruslah. Tak mahulah tunggu lama-lama macam dalam mimpi pertama dulu. Dalam mimpi pertama dulu, rasanya berjam2 saya mendengar celotehnya. Kali ini cukuplah.


Lalu saya berkata, "Tuan2 ni golongan jin......." (Saya biarkan ayat tergantung).


Sama juga, lama mereka berdiam. Mengiyakan tidak, menafikan pun tidak. Kemudian tanpa diminta, si tukang cakap pun mengendurkan suaranya lalu bercerita... sebenarnya mereka berasal dari Jepun (bahagian ini yang membuatkan saya terasa lucu. Dulu dari Sri Lanka, kali ini dari Jepun pulak). Siap beritahu tahun lagi iaitu mereka berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1831. Lagi lebar senyum saya.


Dia pun cuba bercerita tentang ma'rifah, hakikat, ramalan2 dan sebagainya. Diubah-ubahnya content cerita untuk detect bahagian mana yang membuatkan saya tertarik. Mungkin kerana saya kelihatan tidak berminat, dia pun hentikan semua cerita itu lalu bertanya, "Ilmu apa yang ustaz hendak? Semua kami boleh bagi."


Sama juga macam dalam mimpi pertama, saya merobek2 sedikit lubang2 pada dinding untuk membesarkannya. Kemudian saya dekatkan mulut ke dinding dan berkata, "Tak payahlah." Majlis pun bersurai.


Tamat mimpi terbaru.


PENUTUP


Modus operandi lebih kurang sama cuma alur cerita yang berlainan versi. Agaknya mereka ini pun mendapat latihan daripada pihak yang sama untuk scam manusia. Agaknyalah. Mesti banyak kejayaan mereka dan sudah ramai yang terkena. Wallahua'lam.


27/8/22


No comments: