Wednesday, April 20, 2022

Lailatul Qadar 2021 yang Lalu

 

Datang satu persoalan tentang hal yang sudah lama berlalu, beberapa bulan yang lalu iaitu tentang malam Al-Qadar. Oleh kerana ditanyakan pandangan sahaya, maka dijawab dengan pandangan sahayalah, tanpa menafikan pandangan2 lain menurut pengetahuan dan pengalaman masing2.


Berdasarkan rasa (bukan rasa2) qalbu sahaya, malam Al-Qadr (2021) yang lalu berlaku pada malam ke-24.


Bukankah itu malam genap?


Itu tidak menjadi masalah kerana tarikh permulaan puasa di sekitar Nusantara ini pun ada 3 tarikh yang berbeza (*Pada tahun ini 2022 ada sekurang2nya 4 hari permulaan puasa. Di Malaysia umumnya bermula pada hari Ahad tetapi di Indonesia ada yang mula pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad). Contohnya, ada orang dan wilayah yang mula hari ini, ada yang mula esok, dan ada yang mula lusa. Jadi, sebenar2 malam genap dan ganjilnya hanya Allah sahajalah yang Maha Tahu.


Adakah petanda2 lain selain daripada pengALAMan qalbu?


Sekadar sokongan SAMPINGANlah, sama ada berkait atau tidak, tidaklah menjadi hal kerana bukan tanda2 ini yang mengesahkannya. Ahli2 sufi ada jalan2 mereka yang tersendiri.


Baiklah. Ada 5 perkara petanda-petanda sampingan :


i. Pada malam itu hujan turun selepas maghrib sehingga menjelang subuh. Seakan2 tidak berhenti tetapi turunnya tenang, tiada angin, tidak lebat dan tidak rintik-rintik.


ii. Sahaya bermimpi arwah opah sahaya dan arwah ibu mentua sahaya datang. Mulanya mereka tenang-tenang sahaja di dalam rumah. Kemudian mereka tergesa-gesa bersiap-siap ke hadapan pintu dan membuka pintu seluas-luasnya seolah-olah sedang menantikan sesuatu yang sangat penting. Di luar sana kelihatan langit bercahaya.


iii. Ketika matahari terbit esok paginya, cahayanya tidak terik, pudar-pudar sahaja bola mataharinya di sebelah timur tetapi langit dan alam cerah cantik.


iv. Tiba di tempat kerja, sahaya mendongak ke atas kepala. Terpesona sebentar melihat awan berbentuk kalimah Allah yang sangat besar. Rasanya yang terbesar yang sahaya pernah lihat sendiri, yang pernah orang ceritakan, dan yang pernah sahaya lihat gambar atau tonton video berkaitan. Punyalah besar, seakan-akan penuh bahagian tengah langit. Tulisan itu menghadap matahari yang sedang naik. Kemudian awan itu beransur-ansur berpecah. Sahaya tak sempat nak beritahu sesiapa. Waktu itu baru nak ambil gambar, tapi sebahagian awannya sudah berpecah. Gambar itu pernah sahaya kongsikan di FB dalam bulan Ramahan atau Syawal (2021) yang lalu, kalau tak salah.


v. Yang kelima ini sahaya sudah lupa. Puas cuba diingat-ingat, tak dapat juga. Masa lepas berlaku dulu, ingatlah. Ini sudah banyak bulan, tak ingat dah.


Begitulah pandangan sahaya. Wallahualam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

8/10/21


*Penulisan ini dibuat pada 8/10/21 tetapi rasanya belum dimuatkan ke blog Debunga Teratai Syurgawi

No comments: