Sunday, March 27, 2022

Hidup Orang Kampung Dulu2

 

Orang kampung dulu-dulu...umumnya...

Tanahnya tanah sendiri, tiada hutang.

Rumahnya rumah sendiri, tiada ansuran bulanan.

Tidak kaya wang ringgit tetapi sempurna hidupnya.


Jauh daripada pencemaran udara, bunyi, air, budaya.

Udaranya bersih, lapang disedut.

Airnya jernih, nampak anak-anak ikan.

Bunyi-bunyiannya merdu, suara alam semulajadi.

Budayanya budaya Melayu, berteraskan Islam.


Bahan makanan semulajadi

di sekeliling rumah banyak ada.

Pucuk2, ulam2, herba2, buah2.

Haiwan ternak - ayam itik, lembu kerbau kambing.

Haiwan bebas - beburung, ikan, ayam hutan.

Pelbagai.

Bahan ubat-ubatan pun

banyak yang dekat2 sahaja -

di tepi2 rumah, di sekitar kampung.


Tiada masalah denggi atau AIDS.

Masalah kencing manis, darah tinggi, jantung,

seolah2 tiada.


Banyak rumah yang tidak berkunci pun.

Tiada pagar, tiada berpengawal.

Pergilah rumah siapa pun,

terasa macam rumah kita juga.

Pak long orang, kita pakat panggil pak long juga.

Mak tam orang, kita pakat panggil mak tam juga.

Semua macam satu keluarga.

Pokok buah-buahan orang, seolah-olah milik semua.

Kaitlah, panjatlah, makanlah.


Kanak-kanak bebas bermain.

Keluar pagi pulang petang pun tak mengapa.

Makan minum di rumah sesiapa sahaja.

Makan apa yang ada sekadarnya.

Ibu bapa kurang risau akan keselamatan mereka.


Ibu bapa kerjanya tak lama.

Petang dan malam mereka ada sahaja di rumah.

Banyak masa berkualiti dengan keluarga.

Perhubungan ahli keluarga erat terasa.


Hidup tidak di dalam lingkaran wayar2 elektrik.

Kalau ada pun gelombang radio sahaja.


Waktu maghrib terdengar suara mengaji.

Hampir setiap rumah mengalunkannya.

Suara azan tanpa pembesar suara

terdengar ke mana-mana

kerana kenderaan bermotor, mesin dan peralatan

belum banyak ada.


Malamnya dingin, rumah2 berlubang angin.

Tiada bunyi pendingin hawa,

hanya bunyi2an alam sekitarnya.

Tidur berkelambu pun tidak panas.

Siangnya juga kurang panas

walau tengah hari di dalam rumah.

Bumbungnya dedaun,

di sekeliling rumah pula banyak pohon.


Kenduri-kendara, berkhatan, perkahwinan, kematian,

pakat turun belaka, gotong-royong sudah tentu.

Banyak kerja2 sukarela, tiada upah diminta.


Itulah suasana yang dirindukan

oleh sebahagian orang.


Mac 2022

No comments: