Sunday, December 28, 2025

Sedar Makrifah Hanya di Akhirat?

 

TIADALAH GUNANYA SEDAR AKAN MA’RIFAH HANYA SETELAH TIBA DI AKHIRAT

 

Orang2 yang terbuka mata hatinya, di dunia ini lagi mereka sudah nampak akan sangat jauhnya perbezaan2 ini dan betapa besarnya kerugian2 yang dialami di akhirat nanti. Walaupun mereka belum mati dan belum ke akhirat, tapi mereka sudah nampak sejak dari sini lagi. Mereka sudah dapat kesedaran lalu mereka pun buatlah tindakan dan perubahan.

 

Tapi bagi kebanyakan orang, sedar mereka hanyalah apabila sudah sampai di akhirat. Waktu itu baru sedar. Tahu mungkin sudah sedia tahu, faham mungkin sudah sedia faham, tapi sedar…hanya setelah tiba di akhirat. Di sana barulah sedar betapa pentingnya ma’rifah ni untuk diusahakan masa hidup di dunia dulu. Sebab ketika itu sudah mula nampak alangkah jauhnya perbezaan.

 

Tapi, sedar di sana tidak boleh hendak diusahakan lagi, tidak boleh hendak dibuat perubahan, tidak boleh hendak mujahadah lagi, dan tidak boleh hendak berguru belajar sudah. Semua itu hanya boleh dibuat masa masih hidup di dunia inilah. Cuma, kebanyakan orang mensia2kan peluang yang ada masa hidup di dunia ini.

 

Maka, kita yang masih hidup ini, tidak cukup dengan tahu sahaja tentang ma’rifah, jangan berhenti setakat faham sahaja, melainkan kena sampai sedar. Hendak tahu yang kita ini sudah sedar atau tidak, tengok pada tindakan. Lagi kuat bertindak, ertinya lagi kuatlah kesedaran tentang pentingnya ma’rifatullah (mengenal Allah).

 

-          Catatan daripada Pengajian Kitab Induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-300 pada 20 Disember 2025. Syarahan KEAJAIBAN QALBU siri ke-22 oleh Paklong Abu Zulfiqar

 

 

No comments: