Sunday, December 21, 2025

Beza Usaha Ulama dan Waliyullah

 

PERBEZAAN ANTARA USAHA PARA ILMUWAN AGAMA (ULAMA) DAN USAHA PARA WALI ALLAH (AULIYA’) DALAM MENDAPATKAN ILMU

 

Bahagian ini bercerita tentang perbezaan antara dua amal iaitu amal para ulama dan amal para wali.

Yakni perbezaan antara dua usaha iaitu usaha para ulama dan usaha para wali.

 

Imam al-Ghazali berkata : “Para ulama (golongan ilmuwan agama, orang2 yang banyak ilmu agama) itu beramal dalam mengusahakan ilmu itu sendiri, dan menarikkan ilmu2 itu kepada qalbu.”

“Manakala wali2 itu beramal (berusaha) pada mencemerlangkan qalbu, mensucikan, membersihkan dan mengilatkannya.”

 

Bagi golongan ilmuwan (ulama), untuk mendapatkan ilmu, mereka belajar, membaca, mengkaji dsb.

Bagi golongan wali2 Allah pula, untuk mendapatkan ilmu, mereka membersihkan dan menggilap qalbu sampai cantik bersinar. Lalu tertariklah ilmu itu kepada qalbu lalu dengan sendirinya jatuh pada qalbu itu.

 

Bagi ilmuwan agama – untuk mencantikkan cermin hati, mereka berusaha melukis, mewarna dan menggambar pada cermin itu.

Bagi para waliyullah pula – untuk mencantikkan cermin hati, mereka membersihkan dan menggilap cermin hati itu. Lalu cermin hati itu menangkap apa yang Allah pancarkan kepadanya. Maka cermin hati itu jadi sangat indah dengan ilmu2 yang ditangkapnya itu.

 

Ibaratnya ada dua orang ahli seni lukis. Satu orang dari alam Inggeris dan satu orang lagi dari alam Melayu.

Mereka diletakkan di dalam sebuah bilik yang dindingnya diperbuat daripada cermin.

Di tengah2 bilik itu ada tirai. Seniman Inggeris diletakkan di sebelah kiri bilik manakala seniman Melayu diletakkan di sebelah kanan bilik. Maksudnya mereka tidak boleh saling melihat.

Kedua2nya dikehendaki melukis cermin dinding supaya jadi cantik. Gunalah sebarang kaedah pun.

 

Seniman Inggeris pun membawa bermacam2 peralatan melukis dan pelbagai jenis warna yang ganjil2. Seniman Melayu pula tidak membawa sebarang peralatan melukis atau warna. Sebaliknya dia membawa alat2 pembersih dan pengilat.

Setelah cukup masanya, kedua2 orang seniman pun keluar lalu tirai pun diangkat. Alangkah cantiknya dinding di sebelah seniman Inggeris tadi. Tetapi alangkah lebih cantiknya dinding di sebelah seniman Melayu tadi. Mengapa terjadi sedemikan? Terjadi sedemikian kerana dinding cermin di sebelah seniman Melayu itu jadi sangat bersih, sangat licin dan sangat berkilau sampaikan ia dapat memberi nilai tambah kepada imej2 yang terpapar padanya. Ia menangkap pemandangan di dinding sebelah kiri lalu terpaparlah imejnya di dindings sebelah kanan. Bahkan lebih cemerlang lagi rupanya.

 

Maka fahamlah kita bahawa cara ilmuwan agama atau ulama2 banyak mendapatkan ilmu adalah melalui cara seniman Inggeris tadi. Manakala cara wali2 Allah mendapatkan ilmu banyak melalui cara seniman Melayu tadi. Begitulah tamsilannya, sekadar untuk menghampirkan pemahaman. 

 

Qalbu ini ibarat cermin atau batu permata baiduri tempat jatuhnya ilmu2 yang dipancarkan oleh Allah SWT daripada lauh mahfudz. Batu baiduri ini jenis menangkap warna2 di sekelilingnya lalu jadilah ia sangat cantik berwarna-warni. Maklumat2 pada al-lauhul mahfudz itu sentiasa terpancar ke arah qalbu tetapi qalbu kita yang lemah untuk menangkapnya.

 

Mengapa ya? Kerana qalbu kita berhabuk, berselut, berlumpur, banyak kotoran2, bersalut debu2 dsb. Itulah sifat2 mazmumah, dosa2 dan maksiat2. Antara sifat2 mazmumah adalah seperti niat tidak ikhlas, kuat dengki, cinta dunia, menolak zuhud, boros, sikap pengecut, sombong atau meninggikan diri, kuat nafsu pada makan minum, kuat nafsu pada pakaian dan perhiasan, suka terburu2 buat keputusan, gelojoh, pemalas, mudah tidak puas hati, sensitif tak kena tempat, selalu berburuk sangka, dsb. Jadilah hatinya tidak bersih. Walau dipancar selama mana pun, hatinya tetap tidak dapat menangkap atau kurang menangkap.

 

Aku belajar sudah lama tapi masih tak dapat banyak. Mengapa ya?

Kerana hatiku masih bersalut tebal dengan lumpur2 dan kotoran2 mazmumah.

 

Apa tindakan kita?

1.      Teruskan menambah ilmu2 melalui lima sungai deria. Dan

2.      Usaha bersihkan hati, jernihkan hati dan kilatkan hati untuk mendapatkan ilmu2 melalui selain lima sungai deria.

 

Air sungai yang jernih ini, apabila kita lihat, kita terasa macam nak masuk ke dalamnya, rasa nak menyelam.

Tapi jika air sungai itu keruh, berwarna teh ais, hitam, banyak berlumut, permukaannya berminyak, banyak sampah sarap – kita pun tak rasa nak masuk. Celup kaki pun tak mau.

Begitulah hati kita.

 

Sekiranya dapat, berusahalah untuk menjadi ulama yang sufi, atau jadilah sufi yang ulama.

Jadilah orang berilmu yang sufi, atau jadilah orang sufi yang berilmu.

Berusahalah untuk menjadi ahli ilmu agama yang ahli tasawuf, atau jadi ahli tasawuf yang juga ahli ilmu agama.

Jika tak dapat juga? Paling kurang pun, belajar dan amalkanlah ilmu2 agama, dan belajar serta amalkanlah ilmu2 tasawuf, setakat mana yang dapat.

 

-          Catatan daripada Pengajian Kitab Induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-299, syarahan Keajaiban Qalbu siri ke-21 pada 13 Disember 2025 oleh Paklong Abu Zulfiqar al-Amsyari

 

 

No comments: