TERCELANYA ‘UJUB
(Nota live streaming 30/8/25)
‘Ujub ertinya berasa kagum, hebat, luar biasa, hairan dan takjub akan kelebihan diri sendiri.
Allah SWT berfirman : “Janganlah engkau berasakan dirimu (kononnya orang yang suci).” (An-Najm : 32)
“Dan sekiranya tiadalah kemurahan Allah dan kasih sayang-Nya kepada kamu, buat selamanyalah tiada seorang pun daripada kamu yang bersih suci (daripada dosa).” (An-Nur : 21)
Sebenarnya segala kebaikan kita selama hari ini datangnya daripada Allah. Oleh itu, janganlah kita berasa ‘ujub dengan segala amal hati dan amal fizikal kita.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu hapuskan pahala sedekahmu dengan kebanggaan (mengungkit-ungkit) dan cercaan.” (Al-Baqarah : 264)
Perasaan bangga itu datang kerana ia membesar-besarkan amalnya termasuklah pemberiannya, berasa kagum akan pemebriannyanya dan girang berlebihan tentang pemberiannya itu. Itulah ‘ujub.
Allah SWT berfirman : “Dan pada Perang Hunain, kerana kamu berasa ‘ujub dengan banyaknya jumlah (tentera) kamu, tapi jumlah banyak itu tidak membantu kamu sedikitpun, dan bumi yang masih luas terbentang itu dirasakan sempit oleh kamu. Kemudian, kamu berundur ke belakang.” (At-Taubah : 25)
Dalam Perang Hunain, sebahagian pejuang Islam terlebih yakin untuk menang memandangkan jumlah mereka yang besar, iaitu antara 10,000 ke 12,000 orang. Perasaan ‘ujub ini membuatkan tentera Islam pada awalnya terpukul hebat sehingga terpaksa berundur. Setelah perasaan ‘ujub itu hilang daripada hati para sahabat tersebut, barulah tentera Islam berjaya mengalahkan musuh mereka.
Sama seperti takabbur, ‘ujub juga berlaku kerana ada lebih ilmu, kerana lebih amal, kerana lebih dari segi keturunan, kerana keelokan rupa paras, kerana kekayaan, kerana bengis dan kuat dirinya, dan kerana ramai orang di bawah pengaruhnya.
Salah satu punca kepada binasanya umat-umat terdahulu adalah kerana banyak pihak yang ‘ujub dengan pandangan masing-masing.
Semoga Allah jauhkan kita daripada bersikap takabbur dan ‘ujub.
*Petikan live streaming di channel Tgrm : ILMU2 IMAM AL-GHAZALI
No comments:
Post a Comment