Sunday, August 24, 2025

Nota Live : Sifat Dunia

 

YANG DISENTUH DALAM LIVE STREAMING ke-10 (15 Ogos 2025) :

TERPEDAYA DENGAN DUNIA  : SIFAT DUNIA

 

Kita lihat dunia ini macam tenang tidak bergerak2, padahal ia berjalan dengan sangat pantas (yakni masanya) tapi kita tidak terperasan. Sebab itulah kita tenang2 (relax) sahaja di dunia ini.

 

Dunia ini ibarat seorang perempuan tua yang penuh dengan pelbagai barang perhiasan. Ia sudah mengahwini sekian ramai manusia lalu selepas itu ia menceraikan mereka, malahan membunuh mereka. Kita ini ibarat suami2nya yang masih hidup. Kita kenalah mengambil pengajaran daripada nasib suami2 si dunia itu yang sudah meninggal dunia sebelum2 ini.

 

Nabi SAW bersabda : “Apalah nilainya dunia ini bagiku. Sesungguhnya perumpamaan aku dan dunia adalah seperti seorang yang berkenderaan pada siang musim panas, lalu ditinggikan sepohon kayu baginya. Maka ia berteduh di bawah naungannya sebentar, kemudian ia pergi dan meninggalkan pohon tersebut.” (Turmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim, Ahmad)

 

Hadith ini menceritakan betapa sekejapnya masa hidup kita di dunia ini.

 

Orang yang tercari-cari dunia ibarat seorang yang meminum air laut. Lagi banyak ia minum, lagi kuatlah ia haus. Sehinggalah akhirnya ia mati.

 

Penduduk dunia ini bagaikan penumpang sebuah kapal yang membawa mereka singgah di sebuah pulau. Mereka pun diminta untuk keluar ke pulau itu bagi menyelesaikan keperluan masing2. Mereka juga sudah diperingatkan agar jangan berlama2 di pulau itu agar tidak ditinggalkan oleh kapal. Mereka pun bertebaranlah ke serata pulau itu.

 

1.      Ada yang segera kembali ke kapal setelah menyelesaikan keperluan mereka. Mereka sangat beruntung kerana masih banyak tempat kosong VVIP di dalam kapal, bahkan yang selesa.

 

2.      Ada yang terpesona dengan keindahan di pulau itu. Mereka bersiar-siar melihat keajaiban2 di situ walaupun keperluan mereka sudah selesai. Oleh itu, mereka terlewat pulang ke kapal. Apabila mereka tiba di kapal, tempat yang selesa iaitu tempat2 VVIP sudah pun penuh dengan orang. Mereka pun duduklah di tempat-tempat yang sempit lagi tidak selesa.

 

3.      Ada yang lebih terpesona lagi. Mereka mahu membawa pulang pula barang2 dari pulau itu. Mereka lebih lewat tiba di kapal lalu hanya mendapat tempat yang sempit. Tempat mereka disempitkan lagi dengan barang-barang yang mereka bawa bahkan ada yang terpaksa ditanggung di atas kepala di sepanjang pelayaran seterusnya.

 

4.      Ada yang lebih lewat lagi kerana jauh masuk ke dalam pulau yang indah itu. Apabila mereka tiba di tepi pantai, kapal sudah pun penuh. Tiada tempat lagi untuk mereka. Mereka pun terpaksa ditinggalkan dan akhirnya mati kelaparan di tepi pantai.

 

5.      Ada yang masuk terlalu jauh ke dalam pulau sehingga tidak dapat mendengar panggilan dari kapal. Mereka akan binasa. Ada yang diterkam binatang buas, ada yang sesat, ada yang tenggelam di dalam lumpur, dipatuk ular dan sebagainya.

 

…live streaming di t.me/imamalghazali

No comments: