TERPEDAYANYA SEBAHAGIAN AHLI-AHLI IBADAH (‘ABID)
(antara yang disentuh dalam live streaming ke-11 pada 16/8/25)
1. Orang2 yang rajin mengerjakan yang sunat2 tetapi tertinggal yang wajib2.
2. Asyik berasa air wudhuknya tidak cukup-cukup lalu berlebihan dalam menggunakan air. Ada yang mengambil wudhuk dalam masa yang lama.
3. Mengambil masa lama untuk berniat solat kerana terkena was-was.
4. Ada yang was-was pada takbiratul ihram sehingga terubah bunyi takbirnya kerana terlebih berhati-hati.
5. Lancar niat dan takbir tetapi lalai dalam keseluruhan solat. Disangkanya memadailah permulaan niat dan takbir yang khusyuk untuk menampung keseluruhan kelalaiannya dalam solatnya.
6. Terkena kerasnya bisikan syaitan yang membuatkan dia terlebih berhati2 dalam bacaan hinggakan bunyi sebutan bacaannya sudah jadi lain macam. Ada yang terlebih memberi perhatian kepada bunyi2 bacaan sehinggakan penghayatan solatnya entah ke mana.
7. Terpedaya dengan jumlah khataman Al-Quran hinggakan mereka terkejar-kejar membaca untuk cepat menghabiskannya. Ada yang dapat khatamkan Al-Quran hanya dalam masa sehari semalam, malangnya dia tidak sempat untuk mengambil tahu makna bacaannya. Al-Quran diturunkan bukanlah untuk dibunyikan bacaannya sahaja tetapi juga untuk diketahui isi kandungannya.
8. Ada yang rajin berpuasa sunat tetapi dalam puasanya itu mereka tidak pula berpuasa akan lidahnya (kata-katanya), matanya, tangannya, pendengarannya dan hatinya.
9. Ada yang terpedaya dengan haji dan umrah. Mereka sibuk ke sana tetapi tidak meninggalkan kezaliman diri, tidak membayar hutang, tidak meminta kerelaan ibu bapa, dan tidak peduli halalnya wang mereka ke sana. Ada yang mendahulukan naik haji berbanding ibu bapanya yang hidup dalam ketidakcukupan.
10. Ada yang menyeru kepada amar ma’ruf dan nahi munkar kepada orang-orang lain tetapi tidak kepada diri mereka sendiri.
11. Ada yang zuhud pada harta, pakaian, makanan, dan tempat tinggal, tetapi tidak pada kemasyhuran.
12. Ada orang yang banyak solat sunatnya dan bacaan Al-Qurannya, tetapi tidak belajar dan tidak mengamalkan ilmu tasawuf. Disangkanya amalan-amalan zahirnya akan dapat menyelamatkan dirinya walaupun dia meremehkan amalan-amalan batinnya. Kata Imam Al-Ghazali, seberat biji sawi taqwa seseorang (amalan hati) adalah lebih utama berbanding berbukit-bukit amalan anggota badan.
13. Ada orang yang gigih melakukan ibadah2 sunat tetapi kurang kegigihannya kepada ibadah2 fardhu. Ia berasa lazat akan ibadah-ibadah sunat tetapi kurang lazat pada ibadah-ibadah fardhu.
14. Ada orang yang menyibukkan diri dengan mazhab fekah dan soal-soal khilafiyyah sedangkan hatinya banyak berpenyakit. Sepatutnya dia lebih menyibukkan dirinya dengan ilmu dan amal untuk hatinya sekalipun dia mahu aktif dalam mazhab dan khilafiyyah.
…live streaming di channel TG : Ilmu2 Imam Al-Ghazali
No comments:
Post a Comment