Friday, August 29, 2025

Nota Live Streaming : Beramal Secara Terbuka atau Sembunyi?

 

BERAMAL SECARA TERANG-TERANGAN ATAU SECARA DIAM-DIAM?

(Nota live streaming Tele : Ilmu2 Imam Al-Ghazali 17/8/25)

 

“Sekiranya kamu memberikan sedekah secara terang, itu bagus (kerana ia menjadi contoh bagi orang lain). Dan jika engkau sembunyikan memberinya kepada orang-orang miskin, itu lebih baik untukmu.” (Al-Baqarah : 271)

 

Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang melakukan sunnah (contoh ikutan) yang baik lalu dikerjakannya (oleh orang lain), nescaya mendapat pahalanya dan pahala orang yang mencontohinya.” (Muslim)

 

Bagi amal yang umumnya tidak dapat dibuat secara diam2 tanpa diketahui oleh orang lain seperti mengerjakan haji, berjihad dan solat Jumaat, maka yang lebih utama adalah menyegerakannya dan melakukannya sebaik mungkin agar dapat menaikkan semangat orang-orang lain. Namun jangan ada riya’.

 

Amalan bersedekah boleh dirahsiakan dan boleh dizahirkan. Sekiranya menzahirkan sedekah itu membuatkan si penerima tidak berasa senang, walaupun perlakuan itu mungkin dapat menjadi contoh kepada orang lain, maka hendaklah sedekah itu tidak dizahirkan. Hal ini kerana membuatkan orang berasa tidak senang itu berdosa.

 

Dikatakan bahawa beramal secara tidak terang-terangan itu berlipat kali ganda pahalanya berbanding  beramal secara terang-terangan. Tetapi amal terang-terangan tanpa riya’, lalu amal itu menjadi contoh kepada orang lain, adalah lebih berkali ganda lagi. Sebab itulah para nabi itu umumnya diperintahkan agar menzahirkan amal-amal mereka.

 

Apabila kita melakukan kebaikan atau menambah kebaikan untuk mendapat perhatian orang, itulah riya’.

 

Ada yang menunjuk-nunjuk di masjid pada hari Jumaat kerana pada hari itu ramai orang. Padahal pada hari-hari lain ibadahnya tidaklah sebegitu hebat.

 

Ada yang berbuat riya’ apabila menangis dalam ibadahnya di hadapan orang lain.

 

Kadang-kadang murid melakukan riya’ apabila mahu mendapatkan tempat di sisi gurunya. Jelas amalannya itu bukan kerana Allah, tetapi kerana makhluk.

 

Begitu juga dengan anak-anak yang melakukan riya’ dalam melayani ibu bapanya. Tujuannya adalah untuk mendapatkan tempat di hati ibu bapanya.

 

Marilah kita menjauhkan daripada sifat gila kemegahan dan gila harta.

No comments: