PERSOALAN :
Salam. Soryy la bermesej-mesej pulak. Saya nak sedikit nasihat. Harap-harap sudi. Memang payah kalau kita nak berubah, tambah lak macam saya, banyak dugaan..Saya nak berhijrah ke arah yang lebih baik. Saya nak bertudung, maksud saya nak pakai tudung walau pun di depan halaman rumah. Suami dari dulu memang suruh. Tapi, ada jiran yang gelak besar tengok saya pakai tudung, siap perli yang pedas lagi. Emm rasa macam dah putus asa je..
Dah tu bila saya berkurung dalam rumah, mereka kata saya tak bercampur. Bila dah bercampur, macam-macam cerita keluar. Tu yang malas., Baru ni saya pi nak join mereka tapi mereka siap perli lagi sebab saya pakai tudung. Kalau tuan di tempat saya, apa nak buat?
JAWAPAN :
Wlksm.
Hendak berubah ke arah yang lebih baik sememangnya ada dugaan-dugaannya. Namun suatu ketika nanti, kejayaan-kejaayan kita melalui dugaan-dugaan itu akan menjadi kenangan yang sangat manis untuk kita imbas kembali. Oleh itu, langkah terbaik ialah dengan menguatkan hati dan melalui dugaan-dugaan yang datang itu dengan bijaksana. InsyaAllah pada masa akan datang, kita akan berasa alangkah indahnya kejayaan kita menempuhi dugaan-dugaan itu.
Dari satu sudut lagi, dugaan-dugaan itu sebenarnya berupa ujian Tuhan kepada kita untuk menjadikan kita berada dalam kalangan orang-orang yang beriman/ mukmin. Kata Tuhan :
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? (Al-Ankabut : 2-3)
Maksudnya, untuk masuk ke dalam golongan orang-orang beriman, kita mestilah melalui ujian terlebih dahulu.
Ujian dan dugaan akan sentiasa ada sepanjang hidup kita, tidak kira sama ada kita hendak berubah ke arah yang lebih baik ataupun tidak. Orang-orang yang tidak mahu berhijrah ke arah kebaikan pun, akan terkena dugaan dan ujian juga. Sama sahaja. Jadi, yang baiknya, teruskanlah berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna di luar rumah, sebagaimana yang anda sedang usahakan sekarang.
Buat jahat pun orang perli, buat baik pun orang perli juga. Keluar rumah bersinglet sahaja pun orang perli, berpurdah pun orang perli. Berseluar pendek orang kutuk, berserban pun orang kutuk juga. Dari situ fahamlah kita, bahawa kita buat baik ke buruk ke, tetap tak terlepas daripada kata-kata orang. Keputusannya, teruskanlah sajalah buat yang baik.
Seterusnya kuatkan semangat, jangan sesekali berputus asa. Sebelum ini pun anda sudah melalui pelbagai dugaan dalam hidup dan semuanya berjaya anda lalui dengan baik, sehinggalah mendapat kehidupan yang bahagia sebagaimana hari ini. Jadi, takkanlah dengan hanya tawa dan perli orang kita hendak mengalah? Saya yakin, anda dengan sokongan suami akan dapat melalui dugaan sebegini dengan jayanya.
Orang tertawa dan memperli kita, insyaAllah tidak lama mana. Apabila mereka sudah selalu melihat anda keluar rumah dengan aurat yang tertutup sempurna, lama-kelamaan ia akan jadi satu pandangan biasa pada mata mereka, dan mereka akan buat tak kisah lagi. Hanya di peringkat permulaan ini sahaja mereka berasa janggal.
Buat masa sekarang, kita bersabar sahaja dulu. Firman Tuhan :
“Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (bersabar) itu akan DIBAYAR PAHALANYA DENGAN TIADA BATAS.” (Az-Zumar: 10)
Amal ibadah yang lain semuanya ada had, tetapi dengan bersabar, kasih sayang dan pahala Allah untuk kita bagaikan air sungai yang sentiasa mengalir. Ia berterusan.
Memanglah kalau bercampur dengan orang sekadar untuk berbual-bual kosong, ia akan mendorong ke arah keluarnya cerita yang macam-macam. Biasanya ia akan jadi majlis membuka aib orang dan mengumpat. Tapi, kita perlu juga bercampur dengan orang sekeliling, kerana jiran-jiran kita pun ada hak-hak mereka yang perlu kita tunaikan menurut ajaran Islam.
Oleh itu, buat masa ini anda teruskan berkumpul dengan jiran-jiran, tetapi kurangkan kekerapannya. Maksudnya (sebagai contoh sahaja), jika sebelum ini setiap petang kita berlonggok beramai-ramai di tepi jalan, kurangkan kepada selang sehari. Selang dua tiga minggu kemudian, kurangkan lagi jadi selang tiga hari pula. Jiran-jiran pun tidaklah terasa sangat kehilangan kita. Teruslah bercampur, cuma kurangkan kekerapannya.
Sebagai menjawab soalannya, sekiranya saya berada di tempat anda, saya akan teruskan menutup aurat dengan sempurna di luar rumah. Jika orang mentertawa atau memperli, antaranya saya akan :
1. larikan topik perbualan, atau
2. buat selamba sahaja, atau
3. diam sahaja, atau
4. atau senyum balik dan lambai tangan tanpa balas apa-apa, ataupun
5. menjawab dengan cara berseloroh/melawak (contohnya : “Ooo korang gelak kat aku ye? Esok aku nak tutup semua , tinggal nampak mata dua bijik je!” sambil tertawa), ataupun
6. katakan : “Suami saya suruh tutup, saya tutup le. Takkan nak lawan cakap suami. Ikut ajelah.” Ini alasan yang sangat baik untuk menutup mulut orang. Orang lain tak boleh hendak pertikai lagi, ataupun
7. Katakan dengan merendah diri : “Alaah... saya baru nak belajar-belajar (agama). Bagi le sokongan sikit. Korang ni le, spoting le.”
8. kalau diri sudah berasa agak kuat, jawab sahaja yang ia perintah Tuhan, wajib ke atas semua wanita.
Semoga dengan jawapan ringkas ini, dapat membantu menguatkan semangat anda untuk berubah ke arah yang lebih baik. Sebelum ini pun sudah baik, tapi kita hendak ke arah yang lebih baik lagi. Mohon doa kepada Allah,minta dia TETAPKAN hati kita untuk terus berada di jalan-Nya.
Abu Zulfiqar
15 Disember 2011
No comments:
Post a Comment