BAB LIMA – Mencari Busur Panah Sakti
Jam menunjukkan hampir pukul lapan. Kabus tebal yang menyelimuti Bukit Larut sampai ke Taman Tasik Taiping sudah menghilang. Jernih mata melihat pemandangan pagi bersulam cahaya mentari berlapik kehijaun alam. Air di tasik pun begitu tenang tanpa riak-riak buaian angin, seolah-olah masih nyenyak tidur. Hanya sesekali tercipta buak air kecil di permukaan tasik apabila ikan-ikan mencium ruang udara di atasnya.
Satu laluan di tengah-tengah salah sebuah tasik di Taman Tasik Taiping.
Di padang rumput kelihatan sekumpulan lelaki dan wanita bangsa Cina mempraktikkan tai chi. Di gelanggang simen pula dua orang remaja kejar mengejar bermain kasut roda. Di tepi-tepi jalan raya ramai orang tidak kira tua muda ber’jogging’. Macam-macam ada.
Pagi itu mereka ada misi. Seakan-akan misi Indiana Jones, Alan Quatermain ataupun hero National Treasure, mungkin. Sudah agak lama mereka menunggu hari cerah dan kabus beredar. Sejak pukul tujuh pagi lagi Khairi Fatwa, Piyan dan Seman terpacak di tepi tasik teratai. Terasa lambat benar masa berlalu. Al-Ma’thurat Khairi sudah habis dibaca. Aurad ruqyah Piyan sudah selesai. Manzil si Seman pun sudah lama tamat. Mereka bersedia untuk bergerak sekarang.
Tasik Teratai di Taman Tasik Taiping.
Terbayang di fikiran Seman peristiwa malam semalam. Khairi menunjukkan kebolehannya mentafsir tari bunga silat Merak Bersanding.......
“Kenapa tari awal Sembah Merak Bersanding ni macam kuntau Cina? Macam kung fu ...? Ni bukan gaya silat ni...,” Khairi bercakap sendirian, lambat-lambat. Seman hanya memerhati.
“Boleh jadi ada kaitan dengan Cina,” sambungnya.
“Gerak seterusnya bertukar-tukar antara kelek kiri kelek kanan... seolah-olah ada dua pihak... dua orang sedang berbalas-balas pukulan...”
“Cina... dua orang... bertentang....... pergaduhan kongsi gelap Cina! Ghee Hin dan Hai San! Maksudnya di Perak, di Larut.”
“Lepaih tu gaya silat Melayu... sesuatu yang luas, rendah, beralun....... tasik. Hmmm...”
“Kemudian gaya kembang ke atas... bunga... ya, bunga... bunga teratai. Tasik teratai! Tasik teratai di Taman Tasik Taiping, salah satu lokasi Perang Larut yang melibatkan puak Ghee Hin dan Hai San.”
“Wajah diangkat... tangan melepasi kepala... pandang atas bawah berulang kali... gaya gemawan....... maksudnya berdiri di tasik teratai, menghadap sesuatu yang tinggi.. Bukit Larut! Berdiri di tasik teratai menghadap ke Bukit Larut!”
“Kelek ke kiri... jemari mengipas... maksudnya berjalan... maksudnya melangkah ke kiri...”
“Sesuatu yang ditutup rapat... terkunci... ke sebelah kiri dari tasik teratai...”
“Apa yang tertutup rapat, terkunci, dan terletak di sebelah kiri tasik teratai? Penjara... ya, penjara Taiping!”
“Kelek kanan... berjalan laju... maksudnya berjalan agak jauh mungkin...”
“Tari tangan di kawasan kepala... ke depan... maksudnya kena fokus, kena lihat, kena tumpu...”
Selepas itu gaya-gaya seterusnya gagal ditangkap oleh minda Khairi. Bingung dia dibuatnya. Jadi keputusannya, esok pagi mereka akan ke tasik teratai di Taman Tasik Taiping......
Itulah yang berlaku setakat malam tadi. Dan pada pagi ini ketiga-tiga orang pemuda sudah berada di tepi tasik teratai.
Khairi, Piyan dan Seman berdiri sebaris menghadap ke arah Bukit Larut. Teruja rasanya mereka hendak berhadapan dengan pengalaman yang bakal ditempuhi hari itu. Apalah agaknya yang menanti mereka?
Mereka bergerak bersama-sama ke kiri dari tasik teratai, iaitu menghala ke penjara Taiping. Padang rumput di kanan dan kiri mereka dulunya merupakan padang golf tapi kini tidak lagi. Padang golf yang lebih selesa di buka di Kampung Bukit Jana. Di Taman Tasik Taiping tidak dibenarkan lagi untuk sukan golf.
Satu sudut di Taman Tasik Taiping.
Mereka tiba di simpang empat penjara. Dari situ mereka mengambil simpang ke kanan, bersesuaian dengan maksud gerak tari silat Merak Bersanding dalam silat Pendita Megat. Sambil berjalan, mata masing-masing liar memandang ke sana ke mari, kalau-kalau ternampak sesuatu yang istimewa.
Simpang empat Penjara Taiping.
Beberapa lama mereka berjalan, ternampaklah sesuatu yang putih besar nun di kejauhan, di kaki Bukit Larut. Ia memang akan menarik mata sesiapa sahaja untuk melihatnya.
“Tu dia!” kata mereka hampir serentak.
@@@@@@@@@@
Selepas meninggalkan Melaka, Sidi Arab sebenarnya menuju ke lembah asal panah sakti. Walaupun dia tidak tahu pihak mana yang mencuri busurnya, dia mesti mendapatkan anak panah di lembah itu terlebih dahulu. Sangat mudarat sekiranya busur dan anak panah itu berada dalam tangan orang-orang yang tidak sepatutnya. Dia yakin, kisah kembalinya anak panah itu ke lembah asalnya selepas ia dilepaskan, pasti akan tersebar juga.
Sidi Arab berasa gembira melihat anak panah itu masih ada. Dengan segera dia menukarkannya dengan sebatang anak panah biasa. Anak panah palsu itulah yang dibawa pulang oleh orang-orang Siam kepada Raja Bubunya. Sebab itulah panahan Raja Bubunya tidak mendatangkan kesan.
Di sekeliling lembah itu terdapat beberapa tulisan purba yang dipahat pada batu.Sebelum pergi, Sidi Arab meninggalkan petunjuk kepada anak panah itu berupa pahatan rangkaian kata dalam bahasa Melayu di salah satu batu tersebut. Harapannya, suatu hari nanti jika diperlukan, orang yang baik-baik akan dapat mencarinya. Pahatannya dalam tulisan jawi lama itu berbunyi :
Kota Ganggayu sesudah kota,
Sang Kelembai melihat dari awanan,
Di bawahnya naga bertapa,
Bagai pungguk merindukan bulan.
Sidi Arab pun membawa anak panah itu bersama-samanya lalu disembunyikan di suatu tempat di Nusantara. Di mana ya? .......
Kita berbalik kepada Khairi, Piyan dan Seman yang sedang berusaha mencari busur panah sakti.
@@@@@@@@@@
“Subhanallah... cantik betoi ayaq teghejun ni!” jerit Seman. Suaranya hampir-hampir tenggelam dalam bunyi deruan air terjun di kaki Bukit Larut itu. Gumpalan-gumpalan air berbuih putih galak menghempaskan diri ke baru-batu besar dan kecil. Percikannya berhamburan ke udara dan bertempias ke serata arah.
Ketika air bukit banyak, dari jauh air terjun di belakang MRSM di kaki Bukit Larut ini kelihatan berkemutih seakan-akan salju lembut. Gambar ini diambil ketika air bukit berkurangan.
“Aaaa aaaaa aaaa!” Piyan melaung ala-ala Tarzan. Khairi tersengih melihat gelagat teman baiknya itu.
“Woi Piyan! Hang bang ka apa? Waktu Lohoq lambat lagi nak masuk!” usik Seman dari jauh.
“Apa diaaa? Tak dengaq! Lain kali cakap tu pakai la ‘microphone’ ka... ‘saxophone’ ka! Baghu la ‘clear’!” Piyan membalas usikan Seman. Padahal memang dia dapat mendengar dengan jelas kata-kata Seman tadi.
Khairi melontarkan pandangannya ke arah Taman Tasik Taiping di bawah sana. Oleh kerana air terjun besar ini terletak agak tinggi, jelas kelihatan sebahagian kawasan Taman Tasik Taiping. Dilihatnya dua ekor helang berlegar-legar di udara. Salah seekornya menjunam laju ke bumi... hilang di sebalik pokok-pokok besar... muncul semula di udara... dengan tangan kosong.
“Seman! Khairi! Jom kita sembang kat sana! Kat sini bising la!” ajak Piyan sambil bergerak ke satu arah. Mereka berdua bergerak mengikutnya.
Piyan mengambil posisi duduk di atas sebatang pohon tumbang. Seman mencangkung di atas batang kayu itu manakala Khairi berdiri sambil tangan kanannya bertongkatkan sebatang pohon besar. Bunyi reriang rimba kedengaran di sekitar mereka tetapi tidaklah sebising bunyi air terjun tadi. Tanah hutan itu masih lembab dan agak licin.
“Patut la kan... bunga silat tu bertali arus ke bawah, dan gemalaiii ja tughun dia. Ghupanya nak ceghita pasai ayaq teghejun,” Seman membuka bicara. Dia berganjak ke kanan sedikit apabila terlihat seekor gonggok yang luar biasa besarnya, sepanjang hampir dua kaki menyusur di tepi batang kayu tempat mereka duduk. Gonggok jenis ini memang sesekali ditemui para pengunjung Bukit Larut. Di kawasan ini juga ada satu spesis semut besar, sebesar dan sepanjang ibu jari orang dewasa. Kodoknya pun ada yang besar-besar. Silap-silap terserempak, lari orang dibuatnya kerana terkejut. Bayangkan, kodok setinggi betis orang dewasa tiba-tiba melompat di depan kita, terlompat kita dibuatnya. Kalau sedang buang air tiba-tiba kodok jenis ini melompat masuk ke dalam tandas, terlompat ke silinglah kita.
“Baik, seterusnya ke mana kita?” tanya Piyan. Dia pun menggayakan sambungan bunga Sembah Merak Bersanding.
“Hmmm... gaya tu seolah-olah menyusur ke atas. Kita kena berjalan menyusur sungai ni ka? Jenoh la! Ataupun...” Khairi mendongak memandang pohon-pohon besar rendang. “Ataupun kita kena memanjat kah?”
“Pendita Megat boh kat ataih pokok ka?” agak Seman.
“Boleh jadi,” tingkah Khairi. Bola matanya liar mencari sesuatu yang istimewa.
“Kalau pokok tu dah ditebang oghang?” kata Seman lagi.
“Isy, dak kot! Sebab kawasan ni memang macam ni la daghi dulu lagi,” nafi Piyan.
“Dalam banyak-banyak pokok, pokok besaq sebatang tu ja yang lain macam sikit. Dahan-dahan dia meghentang sungai,” kata Khairi. “Aku nak ‘try’ panjat tengok.”
“Woih, hang beghani ka nak panjat? Tinggi ni. Kalau Hakim tu aku yakin la, pokok petai pun dia ghugaih semacam ja,” kata Piyan.
Khairi menghampiri pokok besar. Dia melihat-lihat sekitar pangkal pokok. Kemudian dengan tangkas dia berpegang dengan lurah-lurah pada batang pokok lalu mula merangkak ke atas. Dia mengambil masa tidak sampai dua minit untuk berada di dahan di tengah-tengah sungai. Dia memerhati sekeliling, agak lama. Lebih kurang lima minit di atas pokok itu, nampaknya Khairi mula mengalah.
“Amacam Khairi?” tanya Seman. Khairi memutar-mutarkan tangannya tanda tidak ada apa-apa. Seman melepaskan nafas berbau kehampaan.
“Ok, aku nak tughun ni!” jerit Khairi. Dia memusingkan badannya ke belakang, mencari arah turun. Sempat dia mengerling air sungai di bawahnya. Tiba-tiba dia berhenti. Diperhatikannya betul-betul ke bawah.
“Awat oi?” pekik Piyan.
“Awaatt awatt! Ambik senapang pi kawat, tak dak seluaq pakai cawat,” Seman pekena Piyan. Piyan tidak menjawab kerana memberi tumpuan kepada Khairi.
Tiba-tiba Khairi terjun ke dalam sungai. Melayang jatuhnya ke arah satu kawasan yang berlubuk lagi hitam airnya, menunjukkan dalamnya air di situ. Bersembur air dan Khairi hilang dari pandangan.
“Ya Allah, Khairi!” pekik Piyan. Dia dan Seman meluru ke arah lubuk.
“Pasai pa dia teghejun? Dia jatuh ka?”
“Dak! Aku nampak dia memang sengaja teghejun! Bukan dia pening ka, pitam ka.”
“Dia teghasuk kot?”
“Aku ghasa dak.”
“Khairi!”
“Khairiii!”
Dua puluh saat kemudian... Khairi muncul di permukaan air. Tercungap-cungap dia. Dia berenang ke tepi dan di tangannya ada... sebatang busur panah.
@@@@@@@@@@
1 comment:
Assalamualaikum ustaz...best tengok gambo tmn tasek...selalu balik kamunting tapi tak ber kesempatan nak gi sana he
Post a Comment