BAB TUJUH - Petunjuk Dihuraikan
Kota Ganggayu sesudah kota,
Sang Kelembai melihat dari awanan,
Di bawahnya naga bertapa,
Bagai pungguk merindukan bulan.
“Di mana kita boleh dengar cerita tentang Kota Ganggayu ni?” tanya Ustaz Abu.
“Dalam Sejarah Melayu susunan Tun Sri Lanang,” sahut Piyan yang memang minat hal-hal sejarah. Di rumahnya bersusun buku pelbagai bidang. Yang paling banyak adalah yang berkaitan dengan agama dan sejarah. Pantang masuk kedai buku, ada sahaja buku baharu di tangannya.
“Kamu cerita semua yang kamu tahu Piyan,” pinta ustaz.
“Kota Ganggayu ni dikenali juga sebagai Klang Kio dalam bahasa Siam lama. Ada juga orang sebut sebagai Kota Gelanggi. Ia salah sebuah negeri di bawah kekuasaan kerajaan Siam dahulukala. Dipercayai terletak di sempadan negeri Johor dan Pahang hari ini. Kota ini disebut dalam Sejarah Melayu kerana ia dikatakan diserang oleh Raja Suran dari India. Orang-orang asli di sekitar kawasan sempadan Johor-Pahang menceritakan memang dahulu ada sebuah binaan kota hitam di dalam hutan, tetapi kini ia sudah hilang. Dipercayai tertimbus ataupun berada di dalam tasik. Kata orang juga, kota ini pernah digunakan oleh para pejuang Pahang pada zaman penjajahan Inggeris dulu sebagai tempat persembunyian.”
“Betul. Baris pertama dalam rangkap tu mengatakan ‘Kota Ganggayu selepas kota’. Maksudnya... Kota Ganggayu diserang selepas sebuah kota lagi diserang terlebih dahulu.”
“Gangga Negara!” pintas Piyan.
“Ya, sebelum menyerang Ganggayu, tentera Raja Suran mengalahkan kota Gangga Negara. Jadi sekarang kita sudah ada petunjuk pertama iaitu Gangga Negara. Kerajaan Gangga Negara ini sudah lama hilang, tak diketahui di mana kedudukan sebenarnya. Tapi yang pasti, ia berada di sekitar Beruas dan Dinding.”
“Baris kedua ustaz?” celah Seman.
“Isy hang ni, sabaq la! Aku penampaq satgi demam kot empat belaih haghi setengah! Bagi la ustaz habih cakap dulu!” tegas Khairi.
“Sabaaaq sabaq! Pinggang ghamping , pungkoq lebaq!” balas Seman. Ustaz Abu tersengih menyaksikan telatah mereka berdua. Boleh tahan melawak mereka ni.
“Baik. Baris kedua mengatakan ‘Sang Kelembai melihat dari awanan’. Kisah Sang Kelembai ni selalu diperkatakan orang dulu-dulu. Kononnya ia satu makhluk luar biasa. Sesiapa yang disumpahnya akan menjadi batu,” kata Ustaz Abu.
Sambungnya lagi, “Kamu semua tahu tak Gunung Bubu?”
“Tau!” jawab mereka serentak. Gunung Bubu merupakan kemuncak tertinggi yang menjadi penengah kepada kawasan Trong, Bukit Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Manjong dan sekitarnya. Dari mukim Trong ini, ia terletak di sebelah timur laut. Ada dua puncak, yang lebih kecil itu rendah sedikit. Namanya Puntung Berasap.
Gunung Bubu
“Dikatakan Gunung Bubu itu mendapat namanya daripada sebuah bubu yang diletakkan di kemuncaknya. Yang meletakkan bubu itu tidak lain ialah Sang Kelembai, atau disebut orang juga Sang Gedembai” jelas Ustaz Abu.
“Ooo... jadi ‘Sang Kelembai melihat dari awanan’ tu maksudnya... Sang Kelembai melihat dari tempat yang tinggi, iaitu Gunung Bubu,” kata Khairi. Matanya bersinar-sinar keterujaan. Sememangnya ke selatan dari Gunung Bubu itu ialah pekan Beruas.
Gunung Bubu dari arah pekan Trong.
“Di bawahnya naga bertapa...” Ustaz Abu terdiam seketika sebelum menyambung kata, “Di sekitar Beruas dan Gunung Bubu, satu lokasi yang popular dengan lagenda naga bertapa ialah di kawasan inilah, tempat kita berada sekarang.”
“Bukit Naga?” teka Khairi. Fikirannya membayangkan Bukit Naga yang beralun kemuncak-kemuncaknya. Dilihat dari jauh, memang kelihatan seperti belakang naga yang sedang bergerak. Dari Kampung Sungai Kerang, melalui Kampung Sungai Baru, melalui Kampung Sungai Nyior, melalui Kampung Jawa, masuk ke dalam melalui jalan lori kelapa sawit. Lebih satu kilometer ke dalam, sampailah ke kaki Bukit Naga. Dari situ ada jalan terus naik ke atas kerana di salah satu kemuncaknya ada pencawang.
Bukit Naga.
“Ya. Mengikut cerita turun-temurun orang-orang di sini, pada zaman dahulu kononnya ada seekor ular yang sangat besar bertapa di Bukit Naga. Kerana besarnya itu maka ia disebut ‘naga’. Pertapaannya sangat lama, mungkin puluhan tahun. Suatu hari, entah macam mana ular ini menyusur turun menuju ke laut. Kata orang, dia pergi ke laut untuk bertarung dengan seekor lagi naga. Laluan tempat turunnya itu menghasilkan sebatang sungai, iaitu Sungai Baru. Sampai sekarang kampung di tepi sungai itu dikenali sebagai Kampung Sungai Baru,” jelas Ustaz Abu lambat-lambat.
“Ooo, ya ka? Baghu ni la kami tau ni,” kata Piyan.
“Sungai Nyok tu pulak, macam mana boleh dapat nama Sungai Nyior?” tanya Seman.
“Ish hang ni, hang melalut ke mana? Oghang nak selesai ‘puzzle’ panah sakti ni!” rungut Khairi.
“Alamak, sori sori! Pasai asai-usui nama Sungai Nyok, satgi ustat ceghita. Ok ustat, kasi habih ‘puzzle’ kita,” kata Seman sambil menyeringai.
“Baris terakhir berbunyi ‘Bagai pungguk merindukan bulan’ tak kan tak boleh tangkap maksudnya?” duga Ustaz Abu.
“Maksudnya ada dua pihak le tu ustaz, macam pungguk dengan bulan. Jadi, anak panah dengan busurnya le,” balas Khairi.
“Alhamdulillah, syukur! Dah dapat pun!” sambung Ustaz Abu sambil membetulkan sedikit serbannya.
Piyan membuat sifir dalam fikirannya...
“Kota Ganggayu sesudah kota” ... Gangga Negara.
“Sang Kelembai melihat dari awanan” ... Gunung Bubu.
“Di bawahnya naga bertapa” ... Bukit Naga.
“Bagai pungguk merindukan bulan” ... anak panah dan busurnya.
Betapa bergolaknya perasaan ketiga-tiga orang remaja itu ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kalau diikutkan hati, ketika itu juga rasanya hendak bergegas ke Bukit Naga. Malam pun malamlah.
@@@@@@@@@@
Bas awam yang lebih dikenali penduduk setempat sebagai ‘bas blue’ berhenti di hadapan sedikit dari simpang Kampung Sungai Nyior. Turun seorang wanita dengan anak kecilnya. Diikuti oleh Seman, Khairi dan Piyan. Wanita dan anak kecil itu berjalan ke sebelah kanan manakala remaja bertiga bergerak ke sebelah kiri.
Biasanya Khairi dan kawan-kawannya bermotosikal ke mukim Trong ini, tapi kali ini sengaja mereka menaiki kenderaan awam, untuk ‘rasa’ apa yang dirasa oleh Ustaz Abu. Kebetulan pula mereka ada misi khas kali ini, iaitu untuk menawan ‘Dragon Hill’. Dari simpang itu mereka perlu berjalan sejauh lebih kurang tiga kilometer untuk tiba di kaki Bukit Naga.
Kampung Sungai Nyior yang sesekali berkabus pada waktu pagi.
Dalam perjalanan, mereka tidak banyak berbual. Masing-masing melayan fikiran sendiri di samping menyimpan ‘angin’ untuk mendaki dan merapak nanti.
Seman mengimbas kembali cerita Ustaz Abu tentang asal nama Kampung Sungai Nyior... Pada zaman dahulu, sekumpulan penghijrah dari pinggir Sungai Perak tiba di kawasan ini. Ketika mandi di sebatang sungai, badan mereka gatal-gatal. Dalam bahasa orang Sungai Perak, gatal-gatal badan disebut ‘melenyor’. Sungai itu pun dinamakan Sungai Melenyor. Lama-kelamaan sebutannya dipermudahkan menjadi ‘nyor’ sahaja. Orang tempatan yang lebih berloghat Kedah pula menyebutnya ‘Sungai Nyok’. Apabila digunakan dalam urusan rasmi, terus jadi ‘Sungai Nyior’. Orang ramai yang tidak tahu cerita ini tentu menyangkakan Kampung Sungai Nyior ini mendapat namanya daripada sebatang sungai yang banyak buah atau pokok kelapa.
“Kita ambik jalan dalam,” kata Khairi, selaku ketua kumpulan. Bukanlah dia yang mengangkat dirinya sendiri sebagai ketua, tetapi hasil perbincangan mereka bertiga juga, menurut sunnah Rasulullah. Memang kebiasaannya Piyan dan Seman lebih senang Khairi memimpin, walaupun sesekali Khairi memberikan juga mereka peluang memimpin.
Memilih ‘jalan dalam’ bermaksud mereka akan lebih cepat masuk ke dalam ladang kelapa sawit. Di situ ada beberapa buah rumah yang didirikan di atas tanah rizab kerajaan. Sekiranya menggunakan jalan utama, mereka akan tiba di simpang surau Kampung Jawa sebelum membelok ke jalan menuju Bukit Naga.
Jalan yang dilalui oleh Khairi, Piyan dan Seman.
Di sepanjang perjalanan, terdapat beberapa dusun buah-buahan milik orang Melayu dan Cina. Piyan terpandang sebatang pokok durian yang menyayup tinggi. Buahnya tidak banyak.
“Eka, dwi, tri, catur, panca, sas, sapta...,” tutur Piyan seorang diri. Sambil berjalan itu, kepalanya mendongak ke atas.
“Hang baca mentera apa tu Piyan?” tanya Seman kehairanan.
“... asta, nava, dasa...”
“Oi Piyan!” jerkah Seman.
“Haa? Bahasa Sanskrit daa! Ekadasa, dwadasa. Trayodasa, caturdasa, pancadasa ...” sambung Piyan.
“Dia tengah khusyuk bilang buah dughiyan tu Man,” sampuk Khairi.
“Sejak bila pulak oghang tua ni tau bahasa Sanskrit?”
“Alaa... aku tau sampai dua puluh ja,” jawab Piyan, tersenyum.
“Hang dengaq la tu Seman. Entah betoi entah tidak,” sampuk Khairi lagi. Kemudian dia tertawa kecil.
Antara dusun yang mereka lewati.
Perjalanan pendek itu sebenarnya punya banyak pengajaran yang boleh diambil, bagi orang-orang yang mahu mengambil manfaat.. Mereka melihat tupai meniti dan melompat di hujung-hujung ranting, ular tedung selar menyeberangi jalan, bangkai ayam tersangkut di sungai kecil, bunyi tekukur dari hutan-hutan kecil di sebelah kanan, dan yang pasti tidak boleh dilupakan adalah ketika mereka dikejar oleh dua ekor anjing kepunyaan salah seorang tauke lading. Nasib baiklah anjing-anjing itu mengejar separuh jalan.
Pelangi berkembar menaungi mukim Trong.
“Allah... aduhh.. belum panjat bukit lagi dah mengah dah ni. Apahai?” keluh Piyan sebaik-baik sahaja terselamat daripada kejaran anjing. Bunyi nafasnya jelas kedengaran.
“Tu la hang, aku ajak jogging petang-petang tak mau. Asyik dengan bukuuu ja,” balas Seman. Seman seorang pelari jarak jauh yang baik, cuma dia tidak berminat untuk menyertai pertandingan.
Mereka membelok masuk ke sebuah dusun. Dari situ mereka berjalan dalam dua ratus meter lagi lalu tiba di sebuah anak sungai. Mengapa mereka tidak menggunakan jalan bertar ke puncak Bukit Naga? Kerana mereka yakin tidak akan menemui anak panah sakti di situ. Anak panah itu tentunya berada di satu tempat yang istimewa. Jadi semalam mereka sudah mengambil keputusan untuk mengikut laluan turun sang naga yang membentuk Sungai Baru itu. Mereka berharap dapat menemui sesuatu di permulaan anak sungai itu.
@@@@@@@@@@
No comments:
Post a Comment