BAB 15 – Serang-menyerang
“Kita mesti hormati dan sayangi guru-guru kita, lebih-lebih lagi guru-guru agama,” ujar Ustaz Abu kepada isteri dan anak-anaknya. Malam itu majlis usrah keluarga mereka. Sesekali dalam seminggu Ustaz Abu peruntukkan satu malam khusus untuk liqa’ dan tarbiyyah keluarganya. Pada malam-malam lain, dia hanya mengadakan majlis taklim ringkas kerana dia pun ada usrah lain yang perlu dikendalikan, baik usrah dewasa mahupun usrah remaja. Selain itu, dia juga mengajarkan kitab di masjid dan surau.
“Manusia ialah makhluk yang paaaling mulia di bumi Allah ini, dan yang paaaling mulia pada diri manusia ialah hatinya,” sambung Ustaz Abu. “Hati yang dimaksudkan di sini bukanlah daging hati ataupun daging jantung kita ini, tapi... hati yang kita tidak boleh nampak, yang berkait dengan ruh, fikiran, perasaan, jiwa, akal dan lain-lain itu.”
“Guru-guru agama... melakukan kerja yang paaaling mulia. Kerana apa? Kerana mereka mentarbiyyah perkara yang paaaling mulia pada makhluk yang paaaling mulia. Apa dia yang paling mulia pada makhluk yang paling mulia?”
“Hati,” jawab Syakirah, yakin.
“Alhamdulillah, syukur! Betul jawapan kakak. Begitulah lebih kurang huraian Imam Al-Ghazali dalam kitaaab...? Kitab apa yang abi ajar di surau tu dik?”
“Kitab Ehyalumuden,” jawab Zulfaqar.
“Ihya’ ‘Ulumiddinnn,”pintas kakaknya membetulkan.
“Oleh itu, jasa guru-guru kita khususnya yang menurunkan ilmu agama kepada kita... hendaklah kita kenang dan hargai. Terima kasih guru... Maafkan salah silap saya guru... Halalkan segala ilmumu guru... Doakan saya guru...” sambung Ustaz Abu lagi. “Adakah sebegini adab kita dengan guru-guru pentarbiyyah hati kita?”
“Kadang kala, dari sudut-sudut tertentu... guru-guru agama kita lebih besar jasanya kepada kita berbanding ibu bapa kita sendiri.”
“Macam mana boleh jadi begitu abi?” tanya Syakirah.
“Kebanyakan ibu bapa, lebih mengambil berat dan risau akan keselesaan hidup anak-anak mereka di dunia. Kalau boleh... mereka hendak beri apa sahaja yang terbaik untuk anak-anak mereka di dunia ini. Pada hal hidup di dunia saaangatlah sekejap, sekadar tujuh puluh lapan puluh tahun. Tetapi itulah yang ibu bapa risaukan sangat-sangat. Pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan anak-anak mereka mendapat yang terbaik di dunia yang sangat sekejap ini. Sebaliknya, guru agama pula... dia lebih mengambil berat dan risau akan keselesaan hidup anak-anak muridnya di akhirat, yang berjuta-juta tahun itu, yang selama-lamanya itu. Mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mencerahkan peluang anak-anak didik mereka mendapat keselesaan hidup di akhirat.”
Ustaz Abu mencapai terjemahan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin di atas meja kecil di sebelah kanannya. Dia menyelak beberapa halaman. Dia berhenti pada halaman 213, kemudian dia membaca : “Kerana itu, hak seorang guru adalah lebih besar besar daripada hak ibu bapa. Ibu bapa menjadi sebab lahirnya anak itu dan dapat hidup di dunia yang fana ini. Sedangkan guru menjadi sebab anak itu memperoleh hidup kekal. Kalau tidak adalah guru, maka apa yang diperoleh si anak itu daripada orang tuanya, dapat membawanya kepada kebinasaan terus-menerus.”
“Guru yang dimaksudkan di sini... ialah guru yang mentarbiyyah hati menunju ke arah Tuhan, khususnya guru-guru agama.”
“Susah di dunia tapi selesa di akhirat, adalah jauhhh lebih baik daripada selesa di dunia tapi susah di akhirat.”
“Sungguhpun begitu, kita mestilah berusaha agar dapat hidup selesa di dunia dan selesa di akhirat. Jangan pula kita membuang terus dunia.” Ustaz Abu menarik nafas panjang, dalam-dalam, lalu dilepaskannya perlahan-lahan.
“Untung le kami abi, ummi. Sebab... abi dengan ummi ialah ibu bapa kami. Dan... abi dan ummi juga guru rohani kami,” celah Syakirah.
“Alhamdulillah,” balas Ustaz Abu lalu mencium dahi Syakirah, dan kemudiannya dahi Zulfaqar.
Ustaz Abu mengalihkan perhatiannya kepada isterinya Sarina. “Kenapa Rina?”
“Entahlah bang. Rasa sakit sangat dalam dada di. Bukan sakit...tapi... peeedih sangat, macam kena sayat dengan pisau,” jawab Sarina. Tangan kanannya masih mengurut-urut bahagian dada.
“Pedih macam mana?” tanya Ustaz Abu lagi. Berkerut sedikit dahinya.
“Tak tahu le nak cakap bang, tapi...pedih le.”
“Sejak bila pedihnya?”
“Masa maghrib tadi dah mula rasa pedih dah. Saya doakan segelas air, saya minumle. Tapi makin lama makin pedih pulak. Sekarang ni pedih sangat rasanya.”
Ustaz Abu terdiam sebentar, berfikir. “Rina ada hidang makan minum ke kepada pompuan dua orang tadi?”
“Ada. Air kopi dengan bihun sup.”
“Rina makan sekali ke?”
“Tak, minum je.”
“Abang rasa Rina kena racun ni,” kata Ustaz Abu. Wajahnya serius.
“Kena santau ke bang?”
“Boleh jadi. Kita berhentilah usrah kita malam ni. Syakirah, tolong ambil minyak penawar racun kat dalam beg rawatan abi. Zul, buah kelapa muda yang abi petik pagi tadi ada lagi tak?”
“Tak ada. Adik dengan kakak habiskan petang tadi sebijik. Sebijik lagi kami hantar ke rumah opah,” jawab Zulfaqar.
“Macam nilah Rina. Malam ni abang ruqyah minyak penawar racun, Rina minum satu sudu. Lepas tu sapu di dada, leher dan belakang badan. InsyaAllah esok abang buatkan penawar santau dengan air kelapa muda.”
“Syakirah. Syakirah ada wudhuk lagi tak?” Syakirah mengangguk. “Syakirah buat solat sunat dua rakaat, dan doakan minta keluarga kita, terutamanya ummi selamat daripada segala bahaya.”
“Baik abi.” Syakirah terus mengambil tindanan sejadah yang digunakan untuk melapik Al-Quran ketika usrah tadi. Diambilnya sehelai. Dibentangkannya di ruang tamu lalu terus mengangkat takbir.
Ustaz Abu meletakkan botol minyak penawar racun ramuan Tabib Haji Ismail itu di hadapannya. Dia membacakan ayat-ayat suci Al-Quran selama lebih kurang lima minit. Kemudian minyak itu diserahkan kepada Sarina.
“Kenapa abi? Siapa yang racun ummi?” tanya Zulfaqar. Perlahan sahaja suaranya.
“Makcik-makcik yang datang tengah hari tadi,” sampuk kakaknya yang baru selesai berdoa.
“Isy, apa le kakak ni? Kita tak tahu lagi siapa yang buat. Belum ada bukti. Cuma, ada kemungkinan mereka yang buat,” balas Ustaz Abu.
“Adik nampak makcik tu tadi,” kata Zulfaqar pula.
“Bila?” tanya Ustaz Abu, kehairanan.
“Masa kita usrah tadi.”
“Masa kita usrah tadi?” serentak pertanyaan keluar dari mulut Ustaz Abu dan Syakirah.
“Iyeee. Adik nampak dia keluar dari bilik ummi. Lepas tu dia berjalan pergi ke dapur.”
“Eh, hang ni biaq betoi pakcik oi! Makcik-makcik tu dah lama balik tengah hari tadi oi!” kata Syakirah, memperkonon adiknya.
“Betul le! Adik nampak! Dia tutup kepala dia dengan kain batik.”
“Adik nampak dia melintas dari bilik ibu ke dapur?” tanya Ustaz Abu lagi.
“Betul bi,” jawab anak kecil itu.
Ustaz Abi termenung seketika. Pelik, fikirnya. Mereka berusrah dekat benar dengan pintu bilik tidur, tapi hanya Zulfaqar sahaja yang nampak.
“Rina.”
“Ye bang?”
“Tadi ada pompuan-pompuan tu sentuh anak-anak tak?”
“Zulfaqar ada le. Dia kan terlebih ramah? Kakak dia pemalu, duduk jauh.”
“Apa yang diorang buat?”
“Salah sorang tu usap-usap kepala Zulfaqar ni. Banyak kali jugak dia buat macam tu.”
“Syakirah,abi nak minta tolong lagi le. Kakak ambilkan air kosong saju jag, lepas tu kakak bacakan ayat-ayat ruqyah. Abi nak ruqyah adik kejap.”
Ustaz Abu tidak ada banyak masa. Lagi pula dia memang agak letih malam itu. Dia membenteng dirinya dengan salam ke atas para nabi Ulul Azmi, kemudian dia meletakkan tangannya di atas ubun-ubun Zulfaqar. Dia terus mulakan dengan ayat-ayat pembakar daripada Al-Quran, diakhiri dengan Selawat Ibrahimiyyah dan Selawat Syifa’. Tidak ada sebarang reaksi daripada Zulfaqar.
“Sekejap lagi adik minum sikit air yang kakak buat ye,” pesan Ustaz Abu kepada anak lelakinya itu.
Ustaz Abu bangun dan berdiri di tengah-tengah rumah. Dia menyuarakan tiga kali ancaman, setiap satunya berselang dalam tempoh masa tertentu. Sambungnya lagi, “Baiklah, aku sudah beri amaran sebanyak tiga kali. Jika selepas ini aku dapat tahu kamu semua masih di sini, jangan salahkan aku atas apa yang terjadi.” Terus Ustaz Abu melaungkan azan tetapi tidaklah kuat.
Sarina memerhati sahaja perlakuan Ustaz Abu dari tempat duduknya. Habis azan, mulut Ustaz Abu terkumat-kamit membacakan sesuatu. Kemudian Ustaz Abu melepaskan jentikan jari telunjuknya ke udara. Dua kali dia berbuat demikian. Syakirah tahu, Ustaz Abu secara ma’rifat sedang memberi amaran awal kepada para penyihir terbabit.
@@@@@@@@@@
“Addooooiiiii!” terpacul keluar dari mulut Hashina. Kedua-dua belah tangannya memegang bahagian hidungnya.
“Hah, awatnya tu?” tanya kakaknya dari dalam bilik.
“Sakit betoi la hidung oghang, macam nak patah batang hidung!” jawab Hashina. Air matanya bercucuran turun.
“Awatnya hang ni? Hang teghantuk apa?” suara Hashima yang berdiri di muka pintu bilik.
“Tak tau la kak oi. Tiba-tiba ja.”
“Jangan-jangannn....” Hashima menduga-duga...
“Pasai apa kak?” tanya Hashina sambil mengesat air mata dan air liurnya dengan tisu.
“Hah, hang kenapa pulak?” jerkah Hashima ke sebelah kirinya. Tidak ada orang di situ.
...............................................
“Ooo... celaka punya Ustat Abu Zulfaqar! Beghani dia main pukoi-pukoi daghi jauh pulak!” kata Hashima penuh geram. “Oi, Shina! Hang mesti tak pasang ‘bodyguard’ tadi. Betoi dak? Aaapa la hang ni? Ada ‘bodyguard’ tak pasang betoi-betoi! Hang tau dak, Ustat Abu yang seghang kita tadi. Dia bagi amaran la kononnya tu, supaya kita jangan kacau dia lagi. Peeraaah!”
Celotehnya di sambung lagi. Tadi tu baru muqaddimahnya. “Nasib baik aku aku dah pasang Si Koyeng ni. Kalau dak, kemik hidung aku dijentik Ustat Abu. Hang pun Koyeng, kena jentik hidung pun boleh tumbang ka?”
...........................................
“Hahahaha! Padan muka hang!”
“Koyeng kata apa kak?”
“Koyeng ni kata, jentik telunjuk Ustat Abu tu mai besaq batang pokok pinang! Patut la kawan terpelanting! Hahahaha.” Hashina turut tersengih mendengar penjelasan kakaknya.
“Jah Kemuah hang pi mana Shina?” tanya Hashima.
“Laa...kakak jugak yang sughoh saya hantaq pi mengacau kat ghumah Ustat Abu?”
“Adoii... lupa la pulak aku! Patut la hang tak dak ‘bodyguard’. Hang pun ... kalau dah tau macam tu, awat tak pasang yang lain?” Hashina diam sahaja.
“Hah, dah balik pulak! Oi, Jah! Shina hantaq hang pi sana, awat hang balik ni?”
......................................................
“Eeleh... Pak Abu tu bagi amaran kosong ja pun, hang dah laghi balik?” bebel Hashima lagi. “Bongok la hang ni!”
“Ni Jah... Tok Cuat apa ceghita?” tanya Hashima ke arah ruang kosong di depannya.
...................................
“Paaatut la tak dak habaq beghita. Ghupa-ghupanya Ustat Abu dah pemati duit syiling tempat Tok Cuat tu menumpang,” kata Hashima kepada adiknya. “Dah tu bukan gheti nak balik. Pi meghayau la tu. Aku nak panggey dia balik. Lepaih tu, aku nak tambat kat pokok jambu belakang ghumah tu. Biaq dia bekawan dengan keghengga. Bengap punya jin! Oi, Jah Kemuah! Lebih baik hang pegi balik ghumah Ustat Abu. Satgi aku luku... berlubuk kot kepala hang!” Marah betul Hashima.
Hashima berjalan ke arah ruang tamu. Ada dua orang remaja lelaki dan dua orang remaja perempuan. Tiba di sofa satu, Hashima menghempaskan tubuhnya.
“Apa hal mahaguru? Riuh aje dengar?” tanya salah seorang remaja lelaki, takut-takut.
“Tak ada apa-apa!” jawabnya, mencuka. Anak-anak ‘usrah’nya tidak lagi berani bersuara.
@@@@@@@@@@
2 comments:
ada sambungan lagi tak?? mcm tak habis lagi je cerita ni..best!!!
Ada. Memang belum habis lagi. InsyaAllah akan disiapkan.
Post a Comment