Cacing berada di dalam LAUTAN tanah, tetapi ia tidak menyedarinya. Ikan berada dalam LAUTAN air, tetapi ia tidak menyedarinya. Manusia berada dalam LAUTAN udara, tetapi kita juga tidak menyedarinya. Hanya setelah orang memberi tahu yang kita sedang berada dalam lautan udara, barulah kita menyedarinya, kerana selama ini yang kita tahu hanyalah lautan air, iaitu yang dinamakan laut.
Kita juga sebenarnya sedang berada dalam LAUTAN ruang langit iaitu angkasa lepas, kerana bumi itu sendiri dan ruang di sekelilingnya berada di tengah-tengah lautan angkasa lepas. Kita tidak pernah menyedarinya, kecuali setelah diberitahu oleh seseorang. Langit dan isinya pula berada dalam LAUTAN rahmat dan kasih sayang Allah.
Jadi, LAUTAN itu ada banyak, bukanlah lautan air sahaja. Kita menyedari semua ini setelah minda kita dibuka oleh seseorang. Maksudnya, kita memerlukan guru. Lebih-lebih lagi dalam bidang agama, bidang kerohanian.
Dengan bantuan guru-guru, ruang pemahaman dalam diri kita akan lebih mudah terbuka. Dari itu, carilah guru-guru. Berguru biar banyak, jangan bergantung penuh hanya kepada seorang guru, walaupun kita mungkin akan menghabiskan lebih banyak masa dengan seseorang guru itu. Setiap guru ada kekurangannya kecuali Rasulullah saw. Dengan mengambil ilmu daripada beberapa orang guru, barulah kelemahan seseorang guru itu dapat ditampung oleh guru-guru yang lain.
Selamat mencari guru. Selamat mencari pembimbing. Selamat mencari mursyid. Cuma yang mesti kita ingat selalu... bahawa PADA HAKIKATNYA... ilmu datang daripada Allah, bukan daripada guru. Guru hanyalah tempat laluan.
No comments:
Post a Comment