Tuesday, December 13, 2011

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 3

BAB TIGA – Kisah Lima dan Tujuh Samurai

Hujan lebat petang semalam membuatkan air sungai Batu Hampar berhampiran kaki Bukit Larut ini naik tinggi. Air dalam begini memang sedap untuk bermandi-manda, terjun junam 90 darjah pun tangan tidak mencecah dasar sungai. Tambahan pula keruhnya sudah hilang, menjadikannya jernih kehitam-hitaman. Sejuknya tidak terkatakan lagilah. San Mak Yah yang baru tiga kali terjun pun sudah ‘surrender’ buat sementara waktu. Dia duduk bertinggung memeluk kedua-dua belah kakinya di atas batu besar yang terhampar itu. Tangan dan belakangnya terketar-ketar menahan kesejukan.


Jambatan masuk ke kawasan perkelahan Batu Hampar, atau lebih dikenali sebagai Burmese Pool.


Seman buat terjun tiruk. Lurus cantik badannya masuk ke dalam air. Diikuti dengan Mi Kelantan. Lama juga Mi Kelantan ghaib di dalam air, barulah dia timbul semula di sebelah sana. Piyan juga melangkah ke lokasi terjun popular itu tetapi berdiri dengan membelakangi air. Dengan sepenuh tenaga Piyan melonjak ke belakang, membuat pusingan 180 darjah di udara sebelum berdebur masuk ke dalam air. Lipatannya kali ini kurang cantik kerana sebelum habis pusingan 180 darjah, tubuhnya sudah menyentuh air. Mungkin tenaganya sudah berkurangan kerana sudah tujuh kali dia buat ‘lipat belakang’ sebegitu.


Pemandangan dari atas jambatan. Kawasannya luas dan panjang, sampailah ke hujung sana.


Khairi masih belum terjun. Bajunya pun belum ditukar. Dia asyik memerhati sahaja gelagat para pengunjung Batu Hampar dari batu tertinggi di tepi sungai itu. Tingginya lebih kurang dua belas kaki dari gigi air. Kadang-kadang ada budak-budak yang berani buat terjunan dari batu itu, malah ada yang terjun junam. Bahaya memang bahaya. Selain tinggi, ruang terjunan agak terhad dan jauh dari kaki batu itu.


Inilah kawasan kolamnya. Dalam dan luas. Dari sinilah asalnya nama Burmese Pool.


Di sebelah Khairi ialah Hakim. Dia sedang menikmati nasi lemak ikan masin yang mereka beli di pasar pagi pekan Pokok Asam dalam perjalanan tadi. Aroma nasi lemak, sambal tumis dan ikan masin membuatkan Hakim tidak ‘tahan daulat’. Kalau dibalut pula dengan daun pisang... fuhhh! Selepas terjun sekali ke dalam air, dia terus mendapatkan nasi lemak dan menikmatinya.


Gambar kawasan 'kolam' dari atas. Di sinilah Khairi dan teman-temannya berkubang. Di sebalik rimbunan pokok di sebarang sungai ini, dapat dilihat bahagian bawah batu besar tinggi tempat Khairi duduk.


“Piyan!” jerit Seman sambil berenang ke arah Piyan Tok Uban. “Satgi balik kita semayang Zohor kat Masjid Hanafi nak?”

“Aku ok ja. Elok jugak tu. Kat situ boleh hang sambung ceghita semalam, pasai panah Sidi Arab tu,” balas Piyan.

“Ok, aku nak bagi tau Khairi sekali.”


"Kolam' ini dicurahi oleh air terjun yang agak landai melalui di atas sebuah hamparan batu yang besar. Sebab itulah ia dikenali juga sebagai Batu Hampar. Kita boleh menggelongsor di atas batu besar itu mengikut aliran air lalu masuk terus ke dalam kolam.


Selepas puas berkubang selama lebih sejam setengah, mereka pun berbasikal pulang. Di simpang empat tasik teratai Taman Tasik Taiping, mereka berpecah dengan Mi Kelantan, Hakim dan San Mak Yah yang mahu terus pulang ke kampung melalui Kampung Tupai.

Tiba di Masjid Hanafi yang menjadi markas jemaah Tabligh bagi Taiping dan sekitarnya, mereka terserempak dengan Pak Said dan anak-anaknya. Dari jauh lagi dia sudah mempamerkan senyuman. Mereka bersalaman dan berbual-bual ringkas.


Masjid Hanafi.


Sebelum masuk ke tempat mengambil wudhuk, Khairi sempat melemparkan pandangannya ke sebelah kanan masjid. Ada taman permainan kecil dan satu lot lagi ke sana berdiri sebuah gereja berwarna putih. Amannya hidup di bumi Malaysia ini fikir Khairi. Masjid dan gereja boleh duduk bersebelahan. Memanglah, biasanya jika orang Islam yang memerintah, nasib penganut agama lain lebih terbela. Khairi terkenangkan nasib umat Islam di Burma, Xinjiang, Kashmir....... ditindas semahu-mahunya...


Gereja berhampiran Masjid Hanafi


@@@@@@@@@@

Awal tahun-tahun 1940-an, Jepun mula menurunkan perisik dan tenteranya ke Asia Tenggara. Negara Thai terselamat daripada menjadi ganyangan Jepun setelah mereka bersetuju mematuhi beberapa syarat yang diajukan oleh tentera Jepun. Salah satu hal yang dipersetujui ialah... penyerahan busur panah Sidi Arab!

Bagaimana orang Jepun boleh tahu tentang panah Sidi Arab?

Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi pernah diutuskan ke Siam untuk membeli gajah bagi pihak Kesultanan Melaka. Serentak dengan kehadiran mereka, satu rombongan dari Jepun masuk menghadap Maharaja Siam. Hang Kasturi dan Hang Jebat tertawa sesama mereka melihat lagak lima samurai Jepun yang masuk menghadap. Orangnya katik-katik, memakai seakan kain kembang dan senjata mereka ialah dua bilah pedang setiap seorang. Yang paling menggelikan hati mereka ialah pedang panjang yang meleret sampai ke bumi.

Tingkah-laku Kasturi dan Jebat diperasan oleh para samurai itu. Salah seorang samurai itu tahu berbahasa Melayu. Dia mengapi-apikan rakan-rakannya dengan menambah-nambah cerita kononnya pahlawan Melayu berdua itu memperlekehkan mereka dengan dahsyatnya. Ketua samurai naik angin lalu meminta kebenaran Maharaja Siam untuk beradu dengan pahlawan-pahlawan Melayu dari Melaka.

Hang Tuah yang tahu berbahasa Siam dan Jepun cuba menjernihkan keadaan tetapi gagal. Para samurai itu betul-betul sudah ‘naik syeikh’ dan menghina Melaka dan bangsa Melayu. Hang Jebat sudah mengisar kerisnya tetapi Tuah tetap bertahan. Namun selepas ketua samurai menghina agama Islam, Hang Tuah tidak tertahan lagi. Dia bersetuju untuk bertarung.

Belum sempat apa-apa, Jebat sudah menyerbu ke arah salah seorang samurai. Kasturi terpaksa masuk campur kerana khuatir akan keselamatan Jebat. Mereka sudah dapat lawan seorang satu, tinggal tiga orang untuk Hang Tuah.

Jebat dan Kasturi bertarung bersungguh-sungguh. Sekejap sahaja kedua-dua orang lawan mereka berlumuran darah lalu menghembuskan nafas terakhir. Hang Tuah lain caranya. Dia membalas penghinaan mereka dengan cara menghadapi mereka secara main-main sahaja. Ditorehnya hidung, dipotongnya telinga, ditikamnya ibu jari kaki dan sebagainya. Selang tidak berapa lama, ketiga-tiga samurai tidak dapat bertahan lagi lalu rebah-rempah melarikan diri.

Katanya salah seorang samurai yang melarikan diri itu berpatah balik kemudiannya. Dia memohon maaf kepada Hang Tuah lalu menyatakan hasratnya untuk berguru ilmu kependekaran Melayu. Hang Tuah setuju mengambilnya sebagai murid dengan syarat dia mahu memeluk agama Islam. Samurai itu menyatakan kesanggupannya. Di kemudian hari si samurai menggabungkan ilmu beladiri Jepun dengan ilmu beladiri Melayu dan membentuk perguruan silatnya sendiri.

Beberapa puluh tahun kemudian, anak kepada salah seorang samurai itu yang bernama Jube Yanaiki bersama-sama enam orang pendekar lagi belayar dari Jepun menuju Melaka. Hajat mereka tidak lain untuk berhadapan dengan Hang Tuah dan rakan-rakannya bagi membalas dendam dan menebus maruah.

Sebelum pergi ke Melaka, mereka singgah di Siam. Kecewanya mereka kerana pihak Siam memberitahu yang Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi sudah lama meninggal dunia. Hang Tuah dan Hang Jebat meninggal kerana sakit tua, Hang Kasturi pula dibunuh oleh Hang Tuah sebelum itu kerana didakwa menderhaka terhadap sultan Melaka. Negeri Melaka sendiri baru jatuh ke tangan Benggali Putih di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque. Hasrat mereka untuk bergeruh di Melaka dibatalkan.

Tujuh samurai Jepun menjadi tamu kehormat Maharaja Siam selama lebih kurang dua minggu. Secara kebetulan ketika berada di sana mereka terdengar orang bercerita tentang panah Sidi Arab. Cerita itu sangat menarik hati mereka. Secara diam-diam, mereka membuat penyelidikan dan siasatan dengan sepenuh hati. Ternyata mereka sangat mahir mencari dan mentafsir sebarang maklumat.

Akhirnya, mereka berazam hendak pergi mencari anak panah Sidi Arab. Mereka akan ke lembah di India. Dari sana mereka akan mencari petunjuk untuk menjejaki anak panah itu. Mengikut rancangannya, selepas berjaya mendapatkan anak panah sakti itu, mereka akan berusaha pula untuk mencuri busur sakti daripada Maharaja Siam. Mencuri busur itu bukanlah kerja yang sukar buat mereka kerana masing-masing punya ilmu ninja yang tinggi.

Mereka pun belayar ke India.

@@@@@@@@@@

Kota Ganggayu sesudah kota,

Sang Kelembai melihat dari awanan,

Di bawahnya naga bertapa,

Bagai pungguk merindukan bulan.

“Apa bendanya ni Seman?” Khairi memecahkan kesunyian malam di tangga rumah Tok Uban yang terletak bersebelahan Surau Asy-Syakirin. Kertas yang dihulurkan Leman sebentar tadi masih direnungnya dalam-dalam.

“Maih aku tengok pulak,” pinta Piyan. Buku “Hazad Diin” karya Sayyid Qutb di tangannya diletakkan betul-betul di bendul pintu.

“Ni la dia petunjuk untuk kita caghi anak panah Sidi Arab,” tegas Seman.

Terdengar bunyi basikal dari rumah sebelah. Mereka bertiga melayangkan pandangan ke arah yang sama. Kelihatan Shah Badrul menyorong basikalnya. Dia terperasan tiga pemuda di tangga rumah Tok Uban.

“Wou, Abang Piyan! Buat apa tu?” sapanya.

‘Besa laa... lepak-lepak makan angin malam,” balas Piyan. “Nak pi mana Shah?” sambung Piyan.

“Pi Pokok Asam sat, nak caghi burger laa. Aaa... Abang Piyan ada nampak Brahim lalu dak?”

“Tak dak pun.”

“Okeh, takpa takpa! Jalan dulu!”

“Baik!”

Shah mengayuh ke arah rumah Brahim. Keriut basikalnya kedengaran sayup-sayup.

“Hah, Seman! Apa tunggu lagi? Sambung la hikayat hang!” kata Khairi.

@@@@@@@@@@

Tujuh samurai diketuai Jube Yanaiki yang cekap lagi pintar itu berjaya tiba ke lembah asal panah sakti selepas tujuh bulan mereka mengembara ke serata India mencari maklumat. Mereka terlibat dengan beberapa pertarungan, tidak dapat dielakkan. Salah seorang dari mereka terbunuh dalam pertempuran dengan satu puak orang asli India. Seorang lagi samurai yang beragama Buddha jatuh cinta pula dengan seorang gadis tempatan. Dia menyatakan hasratnya untuk berkahwin dan menetap di India. Permintaanya diberkenankan oleh Jube. Tinggallah samurai berlima.

Tiba di lembah itu, mereka bermukim selama tiga bulan lagi untuk mentafsir segala maklumat yang mereka ada. Selepas sepuluh bulan di India, hasil siasatan mereka menunjukkan panah yang asal memang sudah diambil orang. Orang itu telah meletakkan pula anak panah lain sebagai ganti di lembah itu. Anak panah sakti dibawa pergi oleh orang itu. Orang itu tidak lain ialah.......

@@@@@@@@@@

“Di lembah tu... ada banyak tulisan yang terpahat pada batu-batu. Yang Jube dengan oghang-oghang dia pelik, kenapa ada satu tulisan dalam bahasa Melayu. Tulisan tu ala-ala pantun la pulak.”

“Yang kita baca sat tadi tu ka?” Khairi mencelah.

“Hang memang gred A punya otak Khairi,” sahut Seman. Katanya lagi, “Oghang-oghang Jepun ni yakin... kalimah-kalimah tu mesti ada kaitan dengan anak panah sakti.”

“.... dan berkait dengan oghang yang ambik anak panah yang asai tu,” Khairi mencelah lagi.

“Otak hang Khairi memang gred A ‘plus’,” sambung Piyan. Mereka sama-sama tertawa.

“Lima orang samurai yang tinggai lagi tu, depa ‘round’ satu Alam Melayu caghi anak panah sakti, dengan berbekaikan rangkaian kata-kata tadi tu la. Lima taon pusing, hapah pun tarak. Satu samurai lagi k.o. kena taun di Jawa, tinggai lagi empat. Jube Yanaiki ‘and the gang’ pun angkat bungkoih balik Jepun,” cerita Seman.

“Sia-sia la perjalanan depa,” tingkah Piyan.

“Dak kot! Paling-paling kughang pun depa tetap bawak balik rangkaian kata tu,” balas Khairi.

“Aku kena bagi ‘A darab’ la kat hang Khairi. Tajam betoi otak hang,” kata Seman sambil menepuk paha Khairi. “Hang pa nak tau dak sapa yang ambik anak panah sakti tu?”

“Ghasa-ghasanya aku tau,” sahut Piyan.

“Sapa dia?” tanya Khairi.

@@@@@@@@@@

No comments: