Dalam bidang apa pun, jika kita hendak menjadi antara yang terpilih, kita mestilah mengorbankan banyak masa kita untuknya. Tidak sanggup mengorbankan masa kita? Pendek kata, tak ada harapanlah untuk menjadi antara yang terpilih.
Tanyalah mana-mana ahli sukan, untuk menjadikan diri mereka antara yang terpilih ke peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa, berapa banyak masa yang sudah mereka korbankan untuk sukan yang mereka ceburi itu?
Bolehkah terus-terus sahaja dipilih sebagai wakil negeri dan negara tanpa mereka mengorbankan banyak masa sebelum itu? Tentunya tidak boleh.
Berapa jam sehari mereka peruntukkan untuk sukan yang mereka ceburi itu? Contohnya sukan badminton, bolasepak, bina badan, tinju, lumba basikal dan lain-lain.
10 minit sehari? Setengah jam sehari? 6 jam sehari?
Sudah berapa lama mereka berbuat begitu sebelum berjaya ke peringkat negari, negara dan antarabangsa? Sebulan? Setahun? Lima tahun?
Mana mungkin bercita-cita untuk bermain sebagai wakil negeri dan negara tanpa mengorbankan banyak masa sebelum itu. Angan-angan kosong namanya.
Begitulah juga cita-cita kita untuk ke syurga. Berapa banyak masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan lain-lain yang sudah kita korbankan untuk layak ke syurga?
Cukupkah dengan 10 minit sehari? 1 jam sehari?
Untuk menjadi antara yang terpilih ke syurga, kita mestilah sanggup mengorbankan banyak masa juga untuknya.
Jika tidak, kita seumpama seorang yang berlatih bermain bolasepak sejam sehari, tetapi berangan-angan untuk terpilih bermain di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment