Tuesday, December 13, 2011

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 2

BAB DUA – Asal-usul Panah Sakti

Kedai Che Pa terletak di pasar pekan Pokok Asam. Letaknya lebih kurang satu kilometer dari Kampung Potong Pinang. Walaupun hanya sebuah kedai kopi kecil, tapi punya pengunjung setia sejak pagi sampailah ke tengah malam. Dindingnya hanyalah batang-batang besi berjarak lebih kurang sejengkal antara satu sama lain. Dari paras pinggang ke bawah, berdinding batu.

Seman menaiki basikal yang diubahsuainya seakan-akan basikal Chopper yang popular di akhir tahun-tahun 70-an. Mereka mengayuh perlahan-lahan sambil berbual-bual ringan. Sesekali terasa angin berhembus agak keras walaupun hari tidak menunjukkan tanda-tanda hendak hujan. Ketika mereka melintasi rumah Seman, Seman memberhentikan basikalnya secara tiba-tiba.

“Woih, aku ghasa nak tebeghak la pulak! Hang tunggu sat no?”

“Cheh, kurang sopan betoi! Pi lah cepat!”

Sementara menunggu Seman menyelesaikan ‘projek’nya, Khairi mundar-mandir di tepi jalan. Sesekali dia berjalan sampai ke bawah pokok mempelam di rusuk kiri rumah Seman. Sudah agak lama juga dia tidak menjejakkan kaki di halaman rumah Seman. Ketika masih kecil dulu, tepi rumah Seman merupakan salah satu jalan yang selalu digunakannya pada setiap awal pagi menuju ke sekolah.

Dilemparkan pula pandangannya ke arah rumah di seberang jalan. Rumah yang agak meriah lampu-lampunya. Itulah rumah Pak Ghani, tukang masak terkenal di daerah ini. Khairi cukup suka masakan Pak Ghani dan kru-krunya. Kalau dapat tahu hidangan sesebuah kenduri kahwin itu dibuat oleh Pak Ghani, ‘gerenti’ Khairi tidak melepaskan peluang menghadirinya. Kari dagingnya, masak hitamnya, ayam masak merahnya ... Allah... lazat sehingga menjilat pangkal ketiak kata orang Papua New Guinea! Tapi Khairi tetap mematuhi nasihat Ustaz Abu agar jangan makan sampai terasa kenyang. Ketika masih terasa hendak makan lagi, berhenti. Jangan sampai berasa puas apabila makan.

“Fuhhh... lega aih!” Seman bersuara agak kuat dari arah tangga rumahnya.

Mereka bergerak kembali.

@@@@@@@@@@

Menurut Sidi Arab, kantong anak panahnya berisi dua puluh satu bilah anak panah pada satu-satu masa. Dalam dua puluh satu anak panah itu, hanya sebatang sahaja anak panah sebenar kepada busur saktinya. Maksudnya pasangan busur itu hanyalah sebatang anak panah. Jika anak panah yang sebatang itu dikenakan pada busurnya dan dimaksudkan kepada sesiapa sahaja di dunia ini, panahan itu akan kena, tidak kira di mana orang itu berada. Masalahnya, apabila anak panah yang sebatang itu dilepaskan, ia akan ghaib dan muncul di tempat asalnya.

Di manakah tempat asal busur dan anak panah itu?

Busur dan anak panah itu sebenarnya pernah digunakan oleh Arjuna. Kedua-duanya dikatakan milik seorang utusan Tuhan yang diutuskan ke benua India, jauh lebih lama daripada zaman Arjuna. Busur dan anak panah sebatang itu diberikan kepada Arjuna oleh Dewa Varuna, dewa lautan. Pada penghujung umur Arjuna, senjata itu dikembalikan ke laut agar ia tidak disalahgunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Ketika kerajaan Islam memerintah India, seorang ulama sufi bernama Syeikh Abdul Rahman mendapat mimpi yang meminta dia pergi mendapatkan busur dan anak panah itu di tepi sebuah lautan yang hampir kering. Senjata itu hendaklah disembunyikannya di lokasi yang sesuai agar tidak ditemui oleh orang-orang jahat. Akhirnya dia mengambil keputusan meletakkannya di sebuah lembah di utara India.

Cerita tentang senjata misteri itu diturunkan secara rahsia dari satu generasi ke satu generasi Syeikh Abdul Rahman, sampailah ke telinga salah seorang keturunannya iaitu datuk kepada Sidi Arab. Datuknya berusaha keras dan berjaya menemui senjata rahsia itu. Apabila datuknya sudah tua, senjata itu dihadiahkan kepada cucunya yang terpilih lagi soleh iaitu Sidi Arab. Sidi Arab membawa senjata itu ke mana-mana. Oleh kerana rupa senjata itu tidak menarik dan cerita tentangnya pun tidak diketahui orang, Sidi Arab bebas membawanya dengan selamat.

Sudah beberapa kali Sidi Arab menggunakan panah itu pada jalan yang benar, menyebabkan sudah banyak kali juga dia terpaksa pergi ke India bagi mendapatkan kembali anak panahnya. Sekali dilepaskan anak panah sebatang itu, sekali terpaksa pergi ke lembah di India. Sekarang anak panah itu berada di India, kerana sudah dilepaskan oleh Sidi Arab ketika menyerang Cau Pandan tempoh hari.

Sidi Arab pun belayar meninggalkan Melaka, membuang dirinya. Sehinggalah ke akhir hayatnya Sidi Arab tidak tahu yang kehilangannya busurnya adalah angkara Siam.

@@@@@@@@@@

“Dah sembang dengan Bandi dah?” tanya Seman.

“Beres,” sahut Khairi, pendek.

Bandi duduk berseorangan selang dua meja dari mereka. Katanya sedang menunggu Haq Blues, seorang lagi pemuda Kampung Potong Pinang. Bandi memang ‘simple’ habis dari segi pemakaiannya. Dengan baju Pagoda putih, seluar sukan dan kasut selipar. Di Kampung Potong Pinang, dialah otai dalam goreng-menggoreng gitar. Tahap hangit, tahap hangus, tahap rentung... semua dia sapu. Atas sikit daripadanya ialah Sin Scrambler. Dia punya goreng dan lain-lain skil memang mantap. Bawah sikit daripadanya ialah Piyan Tok Uban.

“Wokeh, sambung cerita Man,” kata Khairi sambil bibirnya mengapit batang straw lalu menghirup kopi tongkat ali ais yang dipesannya tadi. Sebelum ini Khairi memang tidak minat minum kopi tongkat ali ais. Entah bagaimana pada suatu hari Man Glamour membelanjanya minum kopi tongkat ali ais, terus dia terpikat dengan kelemakan dan kemanisan kopi tongkat ali ais. Kalau ke kedai Che Pa sahaja, kopi tongkat ali aislah pilihannya.

“Kan Cau Pandan dapat curi busur Sidi Arab tu? Sampai kat Siam, dia persembahkan la kat Raja Bubunya. Raja Bubunya pun apa lagi... menge’test’ la. Dia panah dua tiga orang musuh dia daghi jauh.”

“Habih tu, apa jadi?”

“Hmph, apa pun tarak! Mana nak jadi... kan anak panah dia tak dak? Orang Siam tak tau kata anak panah yang boleh pukoi daghi jauh tu ada sebatang ja.”

“Lepaih tu?”

“Lepaih tu dia peghintahkan busur panah tu dibakaq. Depa takut kalau-kalau dapat kat oghang lain. Nanti oghang lain cuba, boleh menjadi pulak, naya la Siam.”

“Ya la. Kalau oghang lain dapat dan tau pulak cagha nak mengaktifkan dia, habih la.”

“Aaa.... Akob! Akob! Teh tarik satu lagi!” Leman membuat pesanan sambil tangan kanannya mengangkat tangan separas kepala.

@@@@@@@@@@

Selang tiga bulan kemudian, cerita yang disampaikan Sidi Arab di Melaka tentang hal ehwal busur dan anak panah itu tersebar sampai ke Siam. Raja Bubunya sangat menyesal kerana terlalu cepat memusnahkan busur Sidi Arab. Tapi sekurang-kurangnya dia berasa lega memandangkan tidak ada sesiapa lagi yang dapat menggunakan panah sakti itu, terutamanya terhadap dirinya sendiri. Hebohlah di seluruh selatan Siam tentang sejarah dan asal-usul panah sakti Sidi Arab itu.

Imbas kembali... pembakaran busur sakti dibuat di pekarangan istana Raja Bubunya dengan disaksikan oleh raja dan beberapa orang pembesarnya. Dua hari kemudian salah seorang pembesarnya bernama Awi Taucu tergerak hati untuk pergi melihat kesan-kesan pembakaran. Setibanya dia di situ, dia sangat terperanjat apabila mendapati busur itu langsung tidak terjejas. Keadaannya langsung tidak terusik. Ternyatalah busur sakti itu tidak lut api. Senyap-senyap Awi Taucu menyorokkan busur itu lalu membawanya keluar dari kawasan istana.

Dengan senjata sakti di tangannya, Awi Taucu mula merancang sesuatu ke atas kerajaan Siam. Dia yang sudah lama mendendami Raja Bubunya merancang untuk merampas kuasa. Dia yakin raja pasti akan menurut segala kemahuannya jika busur dan anak panah sakti itu berada di tangannya, kerana dia boleh membunuh raja pada bila-bila masa dari jarak jauh. Masalahnya sekarang... bagaimana hendak mendapatkan anak panah sakti itu di India?

Awi Taucu mengerahkan sepuluh orang pilihannya menyamar sebagai sami dan pergi ke India. Selepas melalui pelbagai cabaran yang hebat-hebat lagi ganjil-ganjil, empat bulan selepas itu mereka berjaya tiba di lembah yang dikatakan tempat anak panah sakti. Selepas sesat selama lima hari di lembah itu dan hampir-hampir kehabisan air dan makanan, bertemulah mereka dengan anak panah itu lalu bersegera pulang ke Siam.

Gembiranya hati Awi Taucu bukan kepalang. Dia mula mencongak-congak langkah yang bakal diambilnya dalam usaha untuk menduduki takhta Raja Bubunya. Dia bercadang menempatkan tenteranya di sebuah kuil di atas sebuah bukit, yang sesuai dijadikan kubu pertahanan. Kemudian dia akan mengutus surat kepada Raja Bubunya menuntut agar Raja Bubunya menyerahkan takhta kerajaan kepadanya. Jika tidak, dia akan melepaskan anak panah sakti dari jauh untuk membunuh Raja Bubunya.

Sedang Awi Taucu berangan-angan, sepasukan pengawal peribadi Raja Bubunya yang diketuai oleh Cau Santan memecah masuk ke istananya, membunuh tiga orang pengawal peribadi dan menangkap Awi Taucu. Semuanya berlaku begitu pantas sehinggakan Awi Taucu yang dalam kebingungan dapat diberkas dengan mudah. Busur dan anak panah saktinya dirampas.

Sebenarnya ada utusan dari sebuah kerajaan di India yang masuk menghadap Raja Bubunya. Para utusan itu memberitahu tentang kehadiran sepuluh orang sami dari Siam ke sana. Raja Bubunya berasa pelik kerana setahunya tidak ada sebarang rombongan penting dari Siam diutus ke India. Dia pun membuat siasatan. Dengan bantuan para utusan dari India, salah seorang perajurit yang menyamar sebagai sami ke India sebelum itu berjaya ditangkap dan dihadapkan kepada Raja Bubunya. Perajurit itu dipaksa menceritakan segala-galanya. Ganjaran emas yang sangat tinggi, lapan kali lebih tinggi daripada bayaran Awi Taucu membuatkan dia bercerita dari alif hingga ya.

Awi Taucu diseret ke hadapan Raja Bubunya. Dia tidak dapat berhelah lagi lalu dihukum bunuh dengan cara dikelar dari atas tubuh hingga ke bawah. Raja Bubunya juga hendak membunuh anak lelaki Awi Taucu iaitu Awi Cokia yang sedang bertugas sebagai panglima di perbatasan Siam-Burma. Inilah masanya untuk Raja Bubunya mencuba kesaktian panah Sidi Arab. Dia pun melepaskan anak panahnya ke arah sempadan dengan meniatkan Awi Cokia sebagai sasarannya. Matikah Awi Cokia?

Ternyata anak panah itu jatuh tidak jauh dari istana, tidak ghaib sebagaimana yang diceritakan orang. Cau Santan pun memeriksa anak panah itu. Setelah ditelitinya, ternyata anak panah itu ialah anak panah biasa yang matanya daripada besi murahan dan batangnya pula daripada kayu yang tidak kukuh. Di manakah anak panah sebenar?

Raja Siam mengutus satu rombongan yang agak besar ke India untuk mencari anak panah sakti kalau-kalau ia muncul di lembah asalnya. Hasilnya... hampa. Tidak ada sebarang anak panah di sana.

Oleh kerana busur itu tidak dapat dimusnahkan, Raja Bubunya pun menyimpannya dalam sebuah peti besi bersalut emas tulen dan diletakkan di tempat rahsia di istananya. Bersemadilah busur itu di sana dalam tempoh yang sangat lama.

@@@@@@@@@@

“Macam tu pulak? Habih tu, mana pi anak panah yang betoi?”

“Woi Khairi, hang dengaq la temberang Seman tu! Satgi hang pun jadi berong sekampung!” usik Haq Blues.

“Niiih Haq... kami nak buat filem ni. Hang tok sah dok dengaq, satgi habih modai kami hang cughi,” jawab Seman sambil tersengih.

“Piiira mabook! Kencing deghaaiihh!” balas Haq lalu tertawa. Haq ini kurus tinggi orangnya. Biasanya berambut panjang keriting. Selalu mengenakan ‘key’ berwarna merah di kepalanya.

“Anak panah yang asli... ada pada seseoghang.”

“Sapa dia?”

“Nanti dulu... tak ‘suspen’ la habaq awai-awai! Yang penting sekaghang... busur dan anak panah tu ada dekat-dekat dengan kawasan kita ni!” ucap Seman semakin berbisik.

“Hah, betoi ka? Hang buat lawak antarabenua ka ni?”

“Daaak, betoi! Dan yang paling penting sekaghang... aku... nak ajak hang dengan Piyan... pi caghi panah sakti tu,” ujar Seman bersungguh-sungguh.

“Hah?” mulut Khairi semakin ternganga. Hampir terfana dibuatnya mendengar cita-cita Seman. Lagu “Ice Ice Baby” yang memekak dari peti muzik kedai Che Pa itu sudah tidak terdengar pada telinganya lagi, kerana terlalu terkejut.

@@@@@@@@@@

You might also like:

No comments: