Tuesday, December 13, 2011

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 4

BAB EMPAT – Ibrahim Yaakob dan Pendita Megat

Khairi Fatwa tersenyum melihat kuah laksa dalam pinggan Piyan. Hampir hitam coklat warnanya dek penangan otak udang ataupun disebut sebahagian orang sebagai petis, sampaikan warna hijau dan merah cabai melaka pun tenggelam. Suka betul Piyan ni dengan otak udang. Nasib baiklah otaknya pun tidak ‘otak udang’.

Khairi ingat lagi, dulu kalau diajak makan laksa, si Piyan ni tak mahu mengikut pun, memang tak minat langsung. Suatu hari, Seman membelanja mereka makan laksa di warung Pak Mat yang terletak di jalan masuk Taman Assamara. Piyan pun cuba-cuba makan sekali. Tengah-tengah makan, dilihatnya orang lain pakat masukkan sesudu dua cecair pekat kehitaman dalam botol di meja masing-masing. Pada hari itulah buat pertama kalinya dia mengenal otak udang. Piyan memasukkan sesudu otak udang ke dalam kuah laksanya. Sedap. Ditambahnya lagi. Lagi sedap. Ditambahnya lagi. Sampailah ke hari ini Piyan memang hantu laksa tapi dengan satu syarat, mesti ada otak udangnya.

“Tambah satu lagi Haq,” pesan Piyan. Pak Lat Laksa ni bapa kepada Haq Blues. Setiap petang Haq menolong bapanya berniaga. Maju juga laksa Pak Lat ni.

“Aku pun sama Haq,” kata Seman pula.

Sedang mereka makan, melintas Hira. Baru pulang dari sekolah. Lewat pulangnya hari itu, sudah hampir pukul enam petang. Biasanya ada aktiviti sukan.

“Hira, makan laksa Hira,” tegur Khairi. Hira tersenyum sambil melambai tangan tanda menolak. Dia terus melewati mereka lalu masuk ke simpang menghala ke rumahnya. Rumahnya terletak di sekitar tempat Pak Lat berniaga itu juga.

“Fuiyoo, beghani hang tegoq awek no!” kata Seman kehairanan. “Aku dengan Piyan sekali pun tak peghenah cakap dengan Hira tu.”

“Alah, kan dia sekampung dengan kita? Kita tegoq setakat bertegoq sapa ja, apalah salahnya. Kita cakap satu ayat, dia balaih satu ayat, cukup la. Bukan kita nak mengorat nak menyenyeh nak melawak dengan dia. Kalau nak bersembang berpanjang-panjang memang tak boleh laa. Kita bukan ada apa-apa hubungan dengan dia,” ujar Khairi.

“Possible, possible,” jawab Seman terangguk-angguk. “Satu ayat balaih satu ayat... ok gak tu kan? Kalau dah berbalaih tiga empat ayat...”

“Tu melampau dah tu! Lain la kalau ada urusan penting. Saja-saja nak menyembang, nanti setan masuk daun woo,” balas Khairi.

“Betoi, betoi dan betoi,” sampuk Piyan.

“Eeleh... hang ya la, penakut dengan pompuan. Nampak pompuan pun laghi,” kritik Seman. Piyan tertawa sahaja menerima lekehan Leman.

Selesai makan, mereka berbasikal ke pinggir Taman Sri Pinang. Taman Sri Pinang ini sudah bertahun terbengkalai walaupun rumah-rumahnya kelihatan hampir siap. Di pinggir Taman Sri Pinang ada tempat yang sesuai untuk melepak pada waktu petang. Dari situ boleh melihat dengan jelas ke arah jalan raya Taiping-Air Kuning. Kadang-kadang pemuda Kampung Potong Pinang datang bermain sepak raga bulat di situ. Ada juga yang membawa gitar tong.

Pada petang itu hanya ada Khairi, Piyan dan Seman.

@@@@@@@@@@

Ulang tayang...

Awal tahun-tahun 1940-an, Jepun mula menurunkan perisik dan tenteranya ke Asia Tenggara. Negara Thai terselamat daripada menjadi ganyangan Jepun setelah mereka bersetuju mematuhi beberapa syarat yang diajukan oleh tentera Jepun. Salah satu hal yang dipersetujui ialah... penyerahan busur panah Sidi Arab!

Bagaimana orang Jepun boleh tahu tentang panah Sidi Arab? Tentunya daripada maklumat yang dibawa pulang oleh Jube Yanaiki beberapa abad sebelum itu. Dalam usaha untuk menakluki Asia Tenggara, semua maklumat sejarah Asia Tenggar dikaji oleh perisikan Jepun. Dari situ mereka terjumpa maklumat lama tentang panah Sidi Arab. Pemerintah tentera Jepun sangat berminat untuk mendapatkan panah sakti itu. Pastinya ada manfaat besar untuk ketenteraan. Busur itu pun dibawa ke Tanah Melayu dan ditempatkan di sebuah kem sebelum dipindahkan ke Jepun.

Sebelum dan ketika kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu, sebahagian orang Melayu menyokong dan bekerjasama dengan mereka. Hal ini kerana orang Melayu sudah muak dijajah beratus tahun oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Portugis, Belanda dan British. Orang Melayu mahu mencuba nasib dengan kuasa dari Timur pula. Mana tahu, untung-untung nasib mereka lebih baik daripada sebelumnya.

Salah satu organisasi yang gigih membantu tentera Jepun ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaakob. Pada peringkat awal penguasaan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu, Ibrahim Yaakob bebas keluar masuk kem tentera Jepun. Kemudiannya apabila Jepun mula bersikap zalim, KMM dan Ibrahim Yaakob mula mengkritik tentera Jepun. Akhirnya dia dan tokoh-tokoh lain ditangkap dan dipenjarakan.

Pada satu kesempatan ketika Ibrahim masih bebas keluar masuk kem tentera Jepun, dia pernah melihat busur panah sakti itu beberapa kali. Dia yang memang mahir akan sejarah Nusantara dengan segera dapat mengecam busur itu sebagai busur Sidi Arab. Dia boleh membayangkan bagaimana bahayanya senjata sakti itu jika terlepas ke tangan orang yang tidak beriman.

Atas dasar itu, Ibrahim Haji Yaakob mencari seorang pendekar Melayu yang dipercayainya dan mengamanahkan kepada pendekar itu untuk mendapatkan busur sakti. Pendekar yang dikenali sebagai Pendita Megat berjaya menyelinap masuk ke dalam kem dan mencuri busur sakti Sidi Arab itu. Malangnya busur itu gagal diserahkan kepada Ibrahim Haji Yaakob kerana Ibrahim baru ditangkap oleh tentera Jepun.

Pendita Megat terpaksa menyorokkan busur itu di satu tempat rahsia. Petunjuk untuk mendapatkan busur itu diwariskannya dengan satu cara yang tidak terfikirkan oleh orang lain, iaitu melalui salah satu bunga silatnya.

@@@@@@@@@@

“Memang canggih la cagha Pendita Megat simpan petunjuk tentang busur tu,” ujar Piyan sambil mengurut dagunya yang berjanggut nipis. “Tapi... kat mana kita nak caghi bunga silat tu? Silat apa...?”

“Haaaa...... Piyan, hang ada pi belajaq silat dengan Abang Chik kan?” tanya Seman.

“Ada la sat haghi tu. Tak habih pun.”

“Yang hang pi belajaq sekali dengan Long ka?” tanya Khairi.

“Hm,” Piyan mengiayakan.

“Kalau hang nak tau, Abang Chik tu cucu kepada Pendita Megat. Dan Abang Chik tu la pewaris silat Tok Megat tu,” serlah Seman.

“Oih, betoi la...! Hang sebut ‘Tok Megat’ tu baghu aku peghasan. Memang dia dok habaq gughu dia tu tok dia senighi, nama dia Tok Megat,” balas Piyan. Antara kisah yang masih segar dalam ingatan Piyan ialah cerita Abang Chik tentang kekuatan tangan Tok Megat. Jika didepangkan tangannya ke tepi, orang dewasa boleh bergayut pada tangannya tanpa tangannya melentur sedikit pun. Entah betul entah tidak.

“Dalam banyak-banyak bunga yang Abang Chik ajaq, ada dak yang ghasa-ghasa berkait dengan busur panah Sidi Arab?” tanya Khairi. Matanya bersinat-sinar galak kerana teruja.

“Aduh, ni yang aku pening ni! Macam mana aku nak ‘detect’ bunga yang mana satu?” keluah Piyan seraya mengurut rambut panjangnya dengan kedua belah tangannya ke arah belakang.

Mereka semua terdiam buat seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sunyi sepi. Bak kata Nan Che Arah, semut terkentut pun boleh terdengar.

“Piyan, dalam silat Abang Chik tu ada berapa jenih bunga sembah?” cetus Khairi.

“Ada tiga.”

“Hang ingat dak nama-nama bunga tu?”

“Ingat. Sembah Puteri Gantih, Sembah Rimau Sumatera, Sembah Merak Bersanding.”

“Cuba hang tunjuk kat kami tiga-tiga bunga.”

Piyan turun tanpa berkasut ke halaman rumahnya yang berpasir. Halaman depan rumahnya antara yang terluas di kampung itu. Dia pun membacakan Al-Fatihah lalu terus menggayakan bunga-bunga sembahnya. Gaya Rimau Sumatera lasak bukan main. Berhambur debu dan pasir menjadi alas gulingan Piyan. Tari Puteri Gantih pula lemah lembut dan penuh muslihat. Sementara Merak Bersanding cantik menawan lagaknya.

Piyan duduk kembali di sebelah Khairi dan Seman. Mereka terdiam semula. Semut berdehem pun boleh didengar. Mereka cuba mencari perkaitan antara nama-nama tari silat itu dengan kisah panah sakti Sidi Arab, begitu juga dengan gaya-gayanya.

“Dah dekat pukoi sebelaih malam dah ni. Apa kata kita pi semayang sunat kat surau... kita doa minta Allah bagi petunjuk?” suara Khairi memecah kesunyian.

“Aku ‘on’ aja,” balas Seman.

“Kalau macam tu, jom!” sambung Piyan. Mereka bertiga pun bangun dan berjalan masuk ke surau melalui pintu kecil berhadapan dengan dewan orang ramai.

12 minit kemudian mereka berkumpul kembali di rumah Piyan, tapi kali ini duduk sebaris di pangkin bawah pokok kelapa. Pangkin itu sekadar sekeping papan besar yang dilapik bata. Agak bernyamuk tetapi budak-budak bertiga itu sudah biasa. Nyamuk-nyamuk pun sudah kenal mereka.

“Awat hang senyum soghang-soghang Khairi?” sapa Seman, pelik melihat gelagat temannya.

“Sembah Merak Bersanding!” tegas Khairi.

“Apa dia?”

“Sembah Merak Bersandinglah yang mengandungi petunjuk kepada panah Sidi Ali.”

“Sidi Arab la!”

“Eh, Sidi Arab! Mana pulak mai Sidi Ali!”

“Macam mana hang tau?” tanya Piyan.

“Burung merak kan cantik? Ia bermaksud sesuatu yang bernilai tinggi. ‘Time’ bughung merak kembangkan ekornya, kan nampak macam busur panah, macam huruf ‘D’? Lepaih tu, perkataan ‘bersanding’ membawak maksud dua benda. Mana boleh dikata bersanding kalau soghang-soghang, mesti la kena dua oghang. Yang tu pulak maksudnya ada dua benda la, iaitu busur dan anak panah,” terang Khairi satu-persatu.

“Subhanallah... ligat betoi otak hang. Aku tak terpikiaq langsung,” balas Seman sambil tangan kanannya menggaru-garu kepala. Tangan kirinya menggaru-garu bahagian punggung.

“Ok Piyan, cepat! Hang ulang tayang ulang goyang bunga sembah Merak Bersanding tadi,” perintah Khairi. Piyan pun dengan pantasnya terus bersilat. Pecah peluh lagi nampaknya Piyan.

“Sekali lagi Piyan. Kali ni untuk satu-satu geghak, hang beghenti,” arah Khairi lagi.

“Dah tiga kali aku buat persembahan khas untuk hampa ni. Masuk kali ke empat... hampa kena bayaq dua puluh ghinggit soghang. Amacam? Setuju?” usik Piyan.

“Seettt!” kata Khairi dan Seman serentak. Kemudian mereka sama-sama tertawa.

@@@@@@@@@@


No comments: