Friday, April 1, 2011

Nukilan Dr. Hamka pada Pendahuluan Tafsir Al-Azhar

Saya suka membaca Tafsir Al-Azhar karya Dr. Hamka sekalipun ada bahagian-bahagian tertentu yang saya tidak sependapat dengannya. Pada saya, hasil usahanya itu memang hebat. Siapa pernah menyangka, seorang berbangsa Melayu dapat menyiapkan 30 juzuk tafsir Al-Quran dengan baik?

Dengan rendah hati Dr. Hamka menulis pada pendahuluan kitab tafsirnya iaitu Tafsir Al-Azhar:

“Ilmu-ilmu yang dijadikan syarat oleh ulama-ulama itu Alhamdulillah telah penulis ketahui ala kadarnya, tetapi penulis tidaklah mengakui bahawa penulis sudah sangat alim dalam segala ilmu itu.” Ms 3

“Jangankan bahasa Arab dengan segala nahwu dan sharafnya, sedangkan bahasa Indonesia sendiri (bahasa asal dan harian Dr. Hamka sendiri), tempat Al-Quran ini akan diterjemah dan ditafsirkan (menjadi Tafsir Al-Azhar), tidaklah penulis “tafsir” ini termasuk ahli bahasa yang sangat terkemuka, meskipun telah menulis lebih daripada 100 buku besar dan kecil di dalam bahasa Indonesia.” Ms 3-4

“Ayat-ayat yang seperti ini (tentang alam) jauh lebih banyak (dalam Al-Quran) daripada ayat-ayat mengenai hukum dan Fiqh. Sedang(kan) penulis “Tafsir” ini tidaklah seorang keluaran Sekolah Tinggi Pertanian, tidak ada keahlian dalam Ilmu Alam.” Ms 4

“Di dalam Al-Quran berkali-kali disebut juga soal atom, sedang penulis “tafsir” ini bukanlah seorang ahli atom. Maka kalau syarat ini hendak dipenuhi juga, pastilah “Tafsir” ini tidak jadi dikerjakan.” Ms 4

“Lantaran itu tidaklah salah kalau penulis Tafsir Al-Azhar ini tidak ahli mendalam dalam segala macam segi ilmu Islam yang masyhur. Sebab dalam sejarah Islam sendiri demikian juga halnya. Ulama yang takhassus (spesialisasi) dalam Hadis, lemahlah dia dalam Ijtihad dan Fiqh. Ulama-ulama yang dapat mengistimbathkan hukum dari Al-Quran dan Hadis, kerapkali tidak kuat menghafal, yang kuat menghafal kerapkali tidak kuat memikir. Al Ghazali indah uraian dan kupasannya, tetapi sangat lemah beliau dalam soal menyaring Hadis. “ Ms 5

Menurut Dr. Hamka, penulis-penulis tafsir zaman silam tidak terlepas daripada kecenderungan masing-masing yang mempengaruhi tafsir mereka. Antaranya:

1. Tafsir Razi – cenderung membela Mazhab Syafie.

2. Tafsir al-Kasyaf oleh Zamakhsyari – cenderung membela fahaman Mu’tazilah.

3. Tafsir Ruhul Ma’ani oleh Imam Al-Alusi – cenderung membela Mazhab Hanafi dan mengkritik Mazhab Syafie yang ditinggalkannya. Ms 6

“Tafsir (Fi Zilalil Quran oleh Sayyid Qutb) ini, yang tammat ditafsirkan ketigapuluh juzu’nya, saya pandang adalah satu “Tafsir” yang sangat munasabah buat zaman ini. Meskipun dalam hal riwayat dia belum dapat mengatasi (Tafsir) Al-Manar (oleh Rashid Ridha), namun dalam dirayat dia telah mencocoki (menyesuaikan dengan) fikiran setelah Perang Dunia ke-11, yang kita namai zaman atom. Maka “Tafsir” karangan Saiyid Quthub) ini sangat banyak mempengaruhi saya.”

Dr. Hamka mengarang Tafsir Al-Azhar ini setiap Subuh dari akhir tahun 1958 sehinggalah awal tahun 1964, tapi masih belum siap juga. Dengan kuasa Tuhan, dia ditangkap dan dipenjarakan. Peluang beruzlah dan berkhalwat itulah yang digunakannya untuk menyiapkan tafsir ini.

3 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah...

Ize9 said...

10Alhamdulillah saudara, saya juga adalah peminat Bapak HAMKA dan telah membeli naskah besar beliau TAfsir Al-Azhar lebih dari 20 tahun yang lalu namun masih lagi membaca kerana tertarik dengan cara dan gaya beliau menafsir yang lebih sesuai dengan pembaca melayu/nusantara. Seperti pernah kata Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam ceramah beliau, walaupun ada isu tentang karya Bapak Hamka dalam khususnya novel roman beliau, namun jasa Bapak HAMKA dalam mewasiatkan tafsir ini kepada umat alam melayu, tersangat besar nilainya. Semuga Allah menggantikan jasa beliau tersebut dengan kedudukan yang tinggi di Syurga, InsyaAllah.

Ize9 said...

10Alhamdulillah saudara, saya juga adalah peminat Bapak HAMKA dan telah membeli naskah besar beliau TAfsir Al-Azhar lebih dari 20 tahun yang lalu namun masih lagi membaca kerana tertarik dengan cara dan gaya beliau menafsir yang lebih sesuai dengan pembaca melayu/nusantara. Seperti pernah kata Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam ceramah beliau, walaupun ada isu tentang karya Bapak Hamka dalam khususnya novel roman beliau, namun jasa Bapak HAMKA dalam mewasiatkan tafsir ini kepada umat alam melayu, tersangat besar nilainya. Semuga Allah menggantikan jasa beliau tersebut dengan kedudukan yang tinggi di Syurga, InsyaAllah.