Thursday, March 16, 2023

Suami Lewat Bangun Sahur?

 

Sahaya berjalan mencari orang di dalam sebuah bangunan. Dalam mencari-cari itu suatu ketika langkah sahaya terhenti berhampiran sekumpulan wanita yang sedang begitu rancak bersembang sambil sahaya melihat ke kiri kanan. Kami memang saling mengenal. Mereka sedang bersembang tentang bulan puasa yang akan tiba pada minggu hadapan.


Sahaya terdengar salah seorang daripada mereka berkata, "Hmmm... orang lelaki (suami2) ni kalau waktu sahoq (sahur) tu, selagi makanan tak teridang (terhidang), tak bangun la depa." Oleh kerana kebetulan sahaya berdiri dekat situ, seorang lagi mengusik (sekadar untuk menyapa) sahaya dengan katanya, "Betoi dak ustat?"


"Hah? (Terkejut sebab tak sangka akan terlibat dengan sembang2 mereka)... Iye laahh," balas sahaya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Mereka tertawa kecil mendengar jawapan sahaya. Kemudian sahaya pun bergeraklah ke ruangan lain mencari orang.


Tamat imbas kembali.


Cerita tentang bangun sahur itu memang ada kebenarannya cuma ada juga orang2 yang tidak sebegitu. Sahaya sendiri biasanya memang yang paling awal bangun. Jika waktu subuh masuk pukul 6, saya akan berusaha untuk bangun sekitar jam 4.45 pagi. Begitulah selalunya.


15/3/23

No comments: