Sunday, December 4, 2022

Lagi Mimpi Harimau Belang

 

Jumaat 2 November 2022. Malam semalam Allah mendatangkan satu mimpi kepada saya. Saya sedang berdiri di bahagian belakang sebuah kawasan perumahan dua tingkat. Bersama-sama saya ialah salah seorang anak saya. Terdapat juga beberapa orang anak kecil lain sedang duduk mencangkung.


Kami dalam satu baris sedang menghadap ke kawasan kebun sawit di belakang kawasan perumahan tersebut. Kebun sawit itu berpagar dengan kawat duri dan bertiang kayu setinggi lebih kurang 4 kaki. Terdapat satu papan tanda buatan sendiri di pagar itu yang antaranya tertulis "Awas! Kawasan Babi Hutan!"


Tiba-tiba muncul seekor harimau belang yang besar melintas di dalam kebun sawit itu. Kami semua terkejut dan terdiam. Di belakangnya muncul lagi seekor demi seekor harimau belang yang kecil sedikit daripada ketuanya tadi (tapi masih besar juga kerana semuanya harimau dewasa). Lima ekor semuanya. Semua harimau itu tidak menoleh pun ke arah kami. Mereka dalam 'mode' kenyang dan belum berminat mencari mangsa. Mereka hanya mahu bersiar-siar.


Memikirkan keselamatan anak-anak kecil, saya pun menjerkah si harimau dengan harapan dapat membuatkan mereka terkejut lalu berjalan lebih pantas, tapi usaha itu tidak berkesan. Semua buat tak tahu sahaja. Nasib baiklah mereka tidak berpaling dan menerkam ke arah kami. Jarak antara kami lebih kurang 15 meter sahaja dan pagar kebun itu pula rendah. Dalam 4-5 kali lompat, sudah boleh sampai ke hadapan kami.


Saya pun membawa anak-anak kecil itu pergi lalu memberitahu kepada orang ramai bahawa ada 5 ekor harimau berada di sekitar kawasan perumahan itu. Orang ramai pun berpusu-pusulah pergi mencari si harimau. Mereka pergi bukan dengan tujuan untuk memburu atau mengusir tetapi lebih kepada tertarik hendak melihat. Beratus-ratus orang lelaki wanita pelbagai bangsa dan agama pergi.


Di hujung taman perumahan itu bukan kawasan kebun lagi, luas pemadangannya pagar-pagarnya lebih baik. Ada pagar daripada jaring besi dan ada tembok batu. Ada yang setinggi 5-6 kaki dan ada yang lebih tinggi lagi. Sekali imbas nampak macam selamat tetapi saya sedar masih ada banyak ruang dan cara untuk harimau2 itu masuk sekiranya mereka mahu masuk.


Oleh itu saya pun tidak jemu-jemu bersuara dan menghalang orang ramai daripada terus ke hadapan lagi. Namun orang ramai tidak mengendahkannya pun. TAMAT MIMPI


3/12/22


*Ingat lagi tak penulisan sahaya tentang tafsir mimpi harimau belang sebulan yang lalu (4/11/22)?

http://alexanderwathern.blogspot.com/2022/11/tafsir-mimpi-harimau-belang.html?m=1


No comments: