Malam 15 Ramadhan tahun 2019… saya bermimpi melihat keindahan-keindahan di langit.
Mimpi ini panjang dan bagi saya memang sangat menarik. Terjaga sahaja daripada tidur, saya terus buat catatan dengan harapan agar banyak perkara tidak terlupakan. Malangnya tidak sampai 50 peratus pun yang dapat saya ingat (mungkin 30-40 peratus sahaja). Bakinya masih panjang dan tidak kurang menariknya. Tidak mustahillah sebahagian daripada baki mimpi tersebut akan dapat diingati kembali dari semasa ke semasa. Jadi, saya ingin kongsikan sebahagian daripada sinopsis mimpi tersebut tanpa saya menyatakan ta’bir, takwil dan tafsirnya.
(Kalau tidak salah, mimpi ini ada saya kongsikan secara lisan ketika mengadakan program bahagian kedua (bahagian terakhir) Daurah Kitab Al-Munqiz min adh-Dhalal dan dalam Kuliah Ilmu Alam Imam al-Ghazali pada tahun itu. Wallahua’lam)
Dalam mimpi itu, pada suatu siang, sangat ramai orang termasuklah kanak2 berkumpul dengan hati yang begitu riang ria di sebuah padang (seumpama Dataran Merdeka tetapi bukanlah Dataran Merdeka.). Mereka sedang berlegar2 di padang itu sambil menyaksikan satu binaan yang luar biasa canggih di padang itu. Saya tidak pasti binaan apakah itu tetapi orang ramai leka berkerumun di hadapannya penuh keterujaan (seakan-akan konsert besar-besaran, tetapi tiada konsert pun di situ). Saya memerhatikan situasi tersebut dari seberang jalan tar.
Di sebelah kiri saya berdiri seorang ustaz atau ringkasnya ilmuwan agama. Di sebelahnya pula seorang lelaki biasa.
1. Di belakang lelaki biasa itu berbaris banyak orang2 sepertinya, lelaki dan wanita. Panjang barisannya.
2. Di belakang ilmuwan agama itu pula berbaris agak banyak orang sepertinya, lelaki dan wanita. Barisannya tidaklah sepanjang barisan si lelaki tadi.
3. Di belakang saya pula, pendek sahaja barisannya. Hanya ada beberapa orang.
Dalam mimpi itu, saya tidak tahu sebab-musabab kami berbaris sedemikian. Tiba2 sahaja sudah tersedia sebegitu. Kami bertiga (dan orang2 yang berbaris di belakang kami) hanya berdiri memerhatikan gelagat manusia di padang dan binaan canggih itu, tetapi kami tidak pula tertarik untuk turut serta. Hanya sekadar melihat tanpa berasa berminat.
Dalam suasana riuh-rendah itu, tiba-tiba berlaku perubahan luar biasa pada bahagian tengah langit. Semua yang ada di situ (dan saya kira mungkinlah di serata dunia yang sedang mengalami waktu siang) dapat menyaksikannya kerana perubahan itu sangat besar lagi sangat tinggi.
Banyak gambaran muncul di langit. Hebat-hebat dan indah-indah. Semua orang terpesona melihatnya, disulami dengan perasaan gerun kerana sedemikian hebatnya apabila langit yang besar itu berubah-ubah bentuk dan warnanya.
Saya pun berusaha mengambil gambar dan merakam segala paparan dan formasi yang berlaku di langit itu menggunakan telefon bimbit. Tiba-tiba lelaki biasa di kiri saya (yakni di kiri ilmuwan agama) itu mengambil telefon saya dan cuba merakam, namun dia gagal. Saya pun mengambil telefon itu kembali dan menyambung rakaman.
Kemudian, muncul satu bulatan besar di tengah-tengah langit. Langit seolah2 terbelah (atau lebih tepat lagi tertembuk). Bahagian dalam bulatan itu amat cantik, lebih berwarna-warni dan berubah-ubah warnanya. Saya tidak tahu, apakah bendanya itu (dalam mimpi tersebut). Semua orang pun terpesona lagi asyik melihat bahagian yang indah itu.
Kemudian bulatan yang indah itu beriak atau bergelombang, dari tengah (pusat) bulatan menuju ke tepi-tepinya. Keadaan itu lebih kurang sama seperti air tenang di danau yang tiba-tiba tertitik setitis hujan, maka air di kolam itu akan bergelombang-gelombang kecil dalam bentuk bulatan. Kemudian ia bergelombang macam air di tengah lautan. Begitulah hal yang berlaku pada bulatan besar yang luar biasa indah di langit ketika itu.
Tiba-tiba, berlaku satu letupan besar di tengah padang. Rupa2nya binaan di tengah padang itu meletup dan terbakar. Huru-hara dan hiruk-pikuk orang2 di tengah padang itu berlari ke sana ke mari. Kami bertiga dan orang2 di belakang kami terpinga2 dan masih terus berdiri memerhati.
Kemudian, gelombang di langit terbelah dalam lingkaran bulat itu berubah jadi menggerunkan. Ketika itulah aksi semua orang yang ada di sana terbahagi kepada empat kelompok :
1. Kelompok pertama (paling ramai) – Mereka ialah orang2 di padang. Mereka masih sibuk bergegas ke sana ke mari di padang itu. Mereka sangat terkesan dengan letupan dan nyalaan api pada binaan tadi. Tumpuan mereka lebih kepada situasi di padang berbanding di langit.
2. Kelompok kedua (agak ramai) – Lelaki biasa dan orang2 yang berbaris di belakangnya semua tetap berdiri, tidak bergerak2, seolah2 terpaku tidak tahu hendak buat apa. Mereka terkesan dengan kejadian di padang dan kejadian di langit tapi seolah2 sedang mati akal.
3. Kelompok ketiga (agak sedikit) – Si ustaz dan barisan di belakangnya terus berpecah bertebaran. Masing2 berlari ketakutan tetapi mereka tidak ada sebarang arah. Mereka terus berlari masuk ke serata jalan di dalam bandar/ pekan. Ada yang berlari sambil menjerit2. Mereka berlari dan terus berlari untuk menyelamatkan diri masing2 tetapi tidak ada sesuatu tempat tujuan. Mereka seolah2 sedang hampir hilang akal.
4. Kelompok keempat (paling sedikit) – Sebaik2 sahaya terlihat perubahan terakhir yang berlaku pada langit, saya terus berlari kencang ke satu tempat tujuan. Di dalam mimpi itu, saya tahu mengapa saya terus tuju akan tempat tersebut tetapi di luar mimpi saya sudah lupa. Saya berlari di jalan raya lalu terus susap-sasap di celah2 bangunan, halaman, dan benda2 yang ada di sekitar itu.
Saya pun tiba di satu bangunan yang di dalamnya terdapat ramai ibu2 dan anak2 mereka. Lalu saya pun berkawal di luar dengan berselindung di bawah pokok2 sambil terus memerhati akan bulatan/ belahan langit yang sedang rancak bergolak lagi menyeramkan itu. Otak saya ligat berfikir akan langkah2 seterusnya untuk saya dan orang2 lain selamat.
Apabila saya melihat ke sekeliling, ternyata orang2 yang berdiri di belakang saya tadi pun semua mengambil tindakan yang sama. Saya ternampak mereka di posisi masing2 tapi agak jauh daripada saya. Sedang saya meneliti dan berjaga2 itu... mimpi pun tamat.
@@@@@@@@@
Kepada yang bertanya, inilah mimpinya yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk memberhentikan kesemua pengajian di masjid/ surau dan menolak segala jemputan ceramah, kerana ada bahagian dalam mimpi ini yang ta’wilnya mengisyaratkan yang saya kena berhenti. Selama 4-5 bulan juga saya teragak2 dan tertangguh2 kerana saya memang suka mensyarahkan kitab dan agak suka juga berceramah. Akhirnya pada bulan Oktober 2019, saya pun nekad mengambil keputusan untuk mula minta berhenti semua kuliah umum dan tolak semua permintaan ceramah dsb, sampailah ke hari ini (Mei 2024).
28/5/24
No comments:
Post a Comment