Sunday, May 12, 2024

Apa yang Ahli Tarekat Ghazaliyah Buat Sehari2

 

DATANG PERTANYAAN : Apa yang dibuat oleh pengamal Tarekat Ghazaliyah ni? Apa yang mereka buat dalam sehari2 (*selain daripada urusan2 keduniaan)?


JAWAPANNYA :

Para pengamal Tarekat Ghazaliyah ini dalam kehidupan seharian mereka umumnya akan berusaha untuk :

1. Mengamalkan Zikrullah Harian yang 1000x, yang biasa disebut orang sebagai Zikir Harian Imam al-Ghazali itu. Banyak orang yang mengamalkannya tetapi tidak banyak orang yang tahu bahawa sebenarnya amalan itu berasal daripada Tarekat Ghazaliyah yang diasaskan oleh Imam al-Ghazali. Umumnya, banyak orang sudah mengamalkan Tarekat Ghazaliyah pun sebelum mereka mengetahui atau mengenal Tarekat Ghazaliyah itu sendiri. Maka Tarekat Ghazaliyah bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan umat Islam.

2. Mengamalkan 10 Bacaan Harian yang 10x (maka 100x lah semuanya). Inilah antara amalan penting secara harian oleh Imam al-Ghazali, sebagaimana ada dimuatkannya dalam karyanya kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin.

3. Mempelajari dan mengamalkan isi kandungan kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin.


Inilah 3 AMALAN ASAS yang diamalkan oleh para pengamal Tarekat Ghazaliyah. Inilah yang mereka buat.


Segala amalan yang fardhu dan wajib, hal2 itu memang sudah sedia kena buat sama ada seseorang itu berTarekat Ghazaliyah atau tidak. Tetapi AMALAN2 TAMBAHANNYA. Seseorang ahli Tarekat Ghazaliyah itu HENDAKLAH BERUSAHA UNTUK (ertinya tak semestinya dapat) :


1. Mengkhatamkan Al-Quran sekurang2nya sekali sebulan (sehari sejuzuk) dengan mengambil tahu akan maksudnya secara umum. Bagi yang tidak mahir bahasa Arab, sekurang2nya mengkhatamkan separuh Al-Quran (sehari setengah juzuk) dengan mengambil tahu akan isi kandungannya secara umum. (*Secepat2nya dalam sehari sekali khatam sahaja). Bagi yang tidak lancar membaca Al-Quran, keutamaannya adalah untuk pergi belajar.

2. Mengamalkan zikir2/wirid2 pilihan sendiri pada 3 waktu iaitu waktu pagi, petang dan sebelum tidur.

3. Sentiasa ingat Allah. Bagi yang belum mencapai maqam tersebut, hendaklah berusaha untuk sentiasa atau membanyakkan menyebut nama Kekasih iaitu “Allah” dalam qalbunya. Amalan ini akan membantu mengingati Allah.

4. Sentiasa cinta Allah. Bagi yang belum mencapai maqam ini, memadailah dengan berusaha untuk sentiasa ingat Allah.

5. Sentiasa mengamalkan adab2 sopan lagi sunnah (sentiasa menunjukkan contoh yang baik).

6. Ada menyampaikan dakwah walau sekali sehari, walau kepada satu orang, walau dengan melalui isyarat atau percontohan sahaja. Jika dapat melalui kata2, penulisan atau tindakan, hal itu adalah lebih baik.

7. Sentiasa berfikir yang baik2, bercakap yang baik2, dan berbuat yang baik2 sahaja.

8. Mengerjakan solat2 sunat lebih daripada 10 rakaat setiap hari. (Sebanyak2nya 100 rakaat).

9. Mengerjakan solat fardhu secara berjemaah.

10. Membaca (mewiridkan) kitab Ihya’ Ulumuddin pada setiap hari. Kitab induk ini terdiri daripada 40 kitab di dalamnya. Sekurang2nya setahun sekali khatam. Sangat bagus jika sehari dapat satu kitab (1 per 40). Maka setiap 40 hari akan khatam keseluruhan kitab induk. (Secepat2nya sehari 10 kitab lalu khatam setiap 4 hari).

11. Mendengar pengisian harian daripada mursyid, atau wakilnya. Hal ini sebagaimana pada zaman dahulu kala – bagi pengamal2 yang tinggal berdekatan dengan mursyid atau wakilnya. Pada zaman sekarang, bagi yang tinggal berjauhan, memadailah dengan membaca/mendengar/ menonton pengisian yang mursyid kongsikan melalui media pada setiap hari sebagai ganti kepada pengisian harian secara berhadapan. Jika tidak dibuat, langsung tak adalah pengsisian harian daripada mursyid atau wakilnya. Pengisian harian hendaklah diusahakan agar tidak terputus.

12. Mengadakan majlis ta’lim keluarga harian, 2-3 minit sahaja sehari. Jika berseorangan, ta’lim bersedirian sahaja atau boleh juga dengan kawan2 atau sesiapa yang ada berdekatan.


Maka kita akan melihat secara umumnya seseorang pengamal Tarekat Ghazaliyah itu akan cuba melaksanakan hal2 di atas pada setiap hari. Begitulah amalan harian mereka. Tidak ada amalan yang salah atau pelik2. Bahkan hidup sehari2 akan terasa penuh berisi dan sangat bererti. Wallahua’lam.


12/5/24


No comments: