Wednesday, August 24, 2022

Mimpi akan Orang yang Digelar Ulama

 

Pada hujung-hujung tidur malam tadi, sahaya diperlihatkan satu mimpi. Dalam mimpi itu, sahaya memakai pakaian yang biasa sahaya pakai ketika berada di rumah atau ketika melakukan kerja2 di sekitar luar rumah iaitu baju t-shirt lama dan berkain pelekat. (Beginilah selalunya pakaian sehari2 sahaya di dalam dan di sekitar rumah baik ketika mencangkul, menjirus pokok, bercucuk-tanam, tebang pokok pisang, cabut ubi kayu, mengejar biawak, mengutip haiwan perosak dan sebagainya. Jika ada keperluan barulah sahaya berseluar pekerja/jeans dan berkasut but getah)


Sahaya sedang berjalan di dalam satu bangunan besar. Tiba-tiba ada dua orang wanita yang berpakaian ala sebahagian puteri2 zaman silam di alam Melayu ini berjalan laju memotong sahaya sambil berbual rancak. Sahaya terperanjat melihat penampilan mereka. DARI BELAKANG, kelihatan mereka hanya berkemban dengan kain batik mengikut potongan badan, dan dengan sanggul besar yang dihiasi dengan cucuk-cucuk sanggul yang berkilau-kilau. Mereka terus masuk ke dalam satu dewan yang agak besar.


Hati sahaya terdorong untuk menyelidik - apa sebenarnya yang ada di dalam dewan tersebut? Sahaya pun cuba MENJENGUK ke dalam dewan. Kelihatan ramai orang. Muslim belaka. Ketika itu sahaya terus mendapat pemahaman bahawa akan berlangsung satu pertandingan pakaian satu ragam (bukan beragam) ala sebahagian puteri2 zaman silam di alam Melayu ini sebentar lagi. Kelihatanlah dari pintu dewan itu beberapa orang peserta sedang bersiap-siap atau disiapkan oleh orang2 di sekeliling mereka. Penampilan mereka sama sahaja - berkemban kain batik ketat, bersanggul besar dan bercucuk2 sanggul besar berkilauan. Para penonton pun sudah mulai ramai.


Sahaya berasa sayu dengan penganjuran majlis seperti itu. Sahaya terfikir - bagaimanalah majlis seperti itu boleh dianjurkan? Sahaya pun hendak beredar (kerana sahaya tidak mahu terlibat dan sahaya sendiri TIDAK PUNYA KEKUATAN untuk beramar makruf bernahi mungkar DALAM SITUASI SEBEGITU di tempat itu).


Sebelum bergerak, sahaya sempat memandang ke sebelah kanan di dalam dewan. Sahaya sangat terperanjat! Dalam jarak lebih kurang 15 meter dari sahaya, kelihatan dari belakang ada salah seorang peserta sedang disiapkan. Gadis itu berusia sekitar belasan tahun atau awal 20-an. Pakaiannya sudah siap, cuma cucuk2 sanggulnya yang baru separuh. Gadis itu sedang duduk di aats sebuah kerusi dan dikelilingi oleh orang-orangnya (kaum keluarga, kawan-kawan, para penyokong, dan beberapa orang tetamu).


Mengapa sangat terperanjat? Kerana tukang/artis yang menyiapkan si gadis tidak lain ialah seorang yang dikenali ramai kerana terpandang sebagai ilmuwan agama (ulama) OLEH SEBAHAGIAN ORANG. Jika disebutkan namanya, ringkas kata, pakat kenal belaka (tentunya TIDAK AKAN sahaya sentuh). Gadis itu pula ialah anak saudaranya sendiri. Orang itu memakai serban putih, kopiah putih dan jubah putih. Dia tanpa sedikit pun rasa janggal atau bersalah meneruskan kerjanya di tempat itu dan dalam suasana perkumpulan yang sebegitu. Kelihatan dia begitu menghayati kerjanya. Ketika itu dia sedang menusukkan dan menyusun cucuk2 sanggul ke sanggul si gadis sambil diperhatikan oleh orang lain.


Sahaya pun jadi kaku di muka pintu dewan.......


Tamat mimpi.


24/8/22


*Ada mimpi yang terus, ada yang mainan tidur, ada yang gangguan syaitan, ada yang berkaitan keadaan si pemimpi, ada yang dita'bir, ada yang ditakwil dan ada yang ditafsir. Mimpi di atas lebih kepada jenis yang ditakwil dan ditafsir. Maka hal-hal yang terdapat dalam mimpi ini bukanlah gambaran yang sebenar. Ringkasnya, tidak ada sesiapa pun yang dapat mentafsirkan mimpi ini selain sahaya kerana untuk mentafsirkannya memerlukan nama orang tersebut. Wallahua'lam.



No comments: