Sunday, November 23, 2008

Ke Majlis Perkahwinan Albazrah dan Amni


'Parking' dulu.


Puteri kami sedang menjamu selera. Mmm...nyam nyam!


Putera kami asyik main meniti dan melompat sorang-sorang dia. Kami serba hijau muda hari tu.


Anak-anak buah Albazrah dan Amni sedang bernasyid. Putera kami dok perati je dari pagar

Zaujah ana (berbaju hijau) sedang berbual mesra dengan Albazrah dan Amni di dalam rumah

Perjalanan ke utara kali ini sebenanya untuk menghadiri kenduri perkahwinan Albazrah dan adiknya Amni di Jitra. Rancangan kita, kita yang ikhtiar mengaturnya. Rencana Allah, Dia yang Maha Tahu. Asyik ‘lajak’ punya ‘lajak’ akhirnya dari sehari jadi dua hari satu malam kami di utara. Memang seronok tapi meletihkan.


Sebenarnya kami belum pernah sampai ke Bandar Jitra walaupun sudah tiga kali bermalam di hotel-hotel sekitar Kedah. Melihatkan peta negeri Kedah dan ‘Google Map’ yang dibekalkan oleh Albazrah di blognya, memang mudah perjalanan ke sana. Oleh kerana hari masih awal, kami singgah di Alor Setar ‘menjengok-jengok’ Mydin dan Pekan Rabu. Kami tiba di rumah pengantin pada waktu Zohor. Sekejap saja dapat lokasinya, lagi pula rumah mereka di tengah bandar Jitra.


Sebelum ini kami belum pernah bertemu muka dengan Albazrah ataupun adiknya Amni. Namun kami tertarik dengan nukilan-nukilan Albazrah di blognya yang ringkas tapi meninggalkan kesan yang mendalam, mungkin terkena tempias Syeikh Bediuzzaman Nursi yang diminatinya.


Saya pernah menulis tentang blog Albazrah sebagai tanda penghargaan kepadanya, ketika itu rasanya Albazrah belum pun kenal nama ‘Alexanderwathern’. Satu hari saya membuat satu pos di forum Bicarasufi tentang ‘keseimbangan amalan’ dan Albazrah meninggalkan komen untuk pos tersebut. Saya tidak pernah tahu yang Albazrah ada berforum di sana. Dari situ saya buatkan link ke artikel penghargaan yang saya tulis beberapa lama sebelum itu. Rasanya di situ Bicarasufi.com itulah kali pertama kami berbual di internet melalui tulisan.


Apabila menerima jemputan daripada Albazrah, saya mendapat ‘alamat’ supaya pergi. Saya pun berasa hairan kerana agak jauh juga Jitar dari rumah kami (3 jam lebih), kenal betul pun tidak, saudara-mara pun bukan. Kadang-kadang kenduri kenalan pun kita tak pergi jika sejauh itu. Jika bukan kerana gerak’ yang diterima, tak akan kami sengaja pergi ke sana. Setelah berbincang dengan isteri, kami pun bersetuju untuk pergi.


Di rumah kenduri, kami dilayan baik oleh Puan Mashitah, salah seorang ibu saudara Albazrah dan Amni. Dia memperkenalkan saya kepada bapa pengantin, kemudian membawa kami ke dalam rumah. Sempatlah kami berbual sebentar dengan Albazrah dan Amni serta mengambil beberapa keping gambar. Memang berseri kedua-dua adik-beradik ni dengan tema biru dan ungu (kalau tak silap).


Antara keistimewaan majlis yang berbahagia itu ialah hidangan teh tarik ‘special’. Kemudian majlis dihiasi dengan nyanyian nasyid (ataupun marhaban) oleh anak-anak buah pengantin sendiri. Comel-comel budaknya. Ketika pulang kami dibekalkan pula dengan cenderahati berupa sebuah buku kecil yang berisi puisi-puisi bertemakan keagamaan nukilan Albazrah sendiri. Juga sebuah aurad harian kami iaitu al-Ma’thurat dalam bentuk buku kecil dan comel, boleh masuk dalam beg duit lelaki.


Terima kasih kepada Albazrah, Amni dan pasangan masing-masing iaitu Norkhairun Nizam (Azzarrah) dan Roslan yang tidak sempat kami temui kerana mereka belum tiba ketika kami pulang. Satu lagi yang tak kesampaian ialah untuk bersua muka dengan Tuan Abdullah Tahir Al-Fanshuri, bapa saudara Albazrah dan Amni kerana dia pun datang lewat sedikit.


Semoga perkahwinan ini dapat menjana dakwah agama kita ini dengan lebih hebat lagi daripada sebelumnya. Selamat Pengantin Baru dari kami sekeluarga.


TAMAT.


Ps: Selepas ini catatan perjalanan kami sepanjang makan angin di utara.


Tuesday, October 28, 2008

Merawat Kerasukan Jin


Beberapa orang tertanya-tanya kaedah rawatan yang saya lakukan. Sebenarnya saya bukanlah seorang perawat, cuma apabila tidak ada rotan maka akar pun jadilah. Ikhtiar saya hanyalah dengan doa. Setakat ini ia hanya berkesan kepada jin-jin yang berpangkat bawah daripada Sarjan sahaja. Berikut adalah kaedah rawatan yang saya amalkan:


1. Ikhlaskan hati untuk merawat kerana Allah. Iblis dan syaitan tidak dapat menguasai orang yang ikhlas. Ikhlas akan memudahkan doa dan rawatan kita berhasil.


2. Mula-mula ucapkan 2 kalimah syahadah sama ada di mulut ataupun dalam hati. Syahadah diperbaharui untuk memastikan yang kita sedang diiktiraf Islam di sisi Allah. Boleh jadi sebelum itu kita ada melakukan perbuatan yang menyebabkan kita tidak diiktiraf Islam oleh Allah tanpa kita sedari. Berdoa dan merawat sebagai seorang Islam lebih mudah berhasil (kita tak nafikan ada doa orang bukan Islam yang dikabulkan Tuhan).


3. Kemudian baca selawat ke atas Nabi dan ahli keluarganya, sebaik-baiknya 3 kali. Ini untuk mendapat perlindungan Allah. Sekali kita berselawat kepada Nabi, 10 kali Allah balas selawat untuk kita. Jika Allah sendiri yang memberikan selawat untuk kita maka bagaimana kita boleh gagal?


4. Seterusnya beristighfar 3 kali. Diharapkan dengan beristighfar maka semua dosa-dosa kita akan terhapus. Berdoa dan merawat dalam keadaan sebagai seorang yang tidak berdosa atau kurang dosa lebih mudah dimakbulkan.


5. Baca Bismillahillazi layadurru ma’asmihi syaiun filardhi wa la fissamaai wahuwas sami ul’alim 3 kali agar tidak ada suatu apa pun yang berupaya memudaratkan kita sama ada di bumi ataupun di langit.


Bacan-bacaan awal ini lebih kepada pembersihan diri, dekatkan diri dengan Allah dan sebagai benteng peribadi. Kalau jin itu berpangkat prebet saja, ketika ini pun kadang-kadang dia sudah beredar. Yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal biasanya akan menunjukkan tanda-tanda tidak selesa. Untuk mulakan rawatan:


1. Baca Auzubillahis samiil alimmiminasy syaitanirrajim. Ini untuk menguatkan lagi pelindungan Allah kepada kita dan menggugat jin tersebut.


2. Baca al-Fatihah- ketua segala penawar. Kelebihan-kelebihannya sedia kita maklumi.


3. Baca pula ayat Kursi- untuk menewaskan jin. Fadhilatnya biasa kita ketahui.


4. Disudahi dengan 3 Qul. Al-Ikhlas- untuk mengesakan Tuhan. Untuk menggugat jin jika ia masih belum pergi. Al-Falaq- untuk melawan sihir. Kadang-kadang kedatangan jin itu disertai dengan sihir. An-Nas- untuk mengukuhkan perlindungan kita dengan Allah. Juga untuk melawan campurtangan syaitan dan manusia sekiranya ada.


Hembuskan kepada pesakit. Biasanya di kepala dan tubuh. Sekiranya pesakit mengalami kesakitan di mana-mana bahagian badan seperti leher, kaki, perut, dada, tangan dan sebagainya maka boleh dihembus ke kawasan itu. Berdasarkan pengamalan peribadi, doa dan rawatan yang menggunakan teknik hembusan atau semburan lebih berkesan. Ini kerana dalam nafas kita ada tenaga nafas yang ajaib. Sahabat Nabi juga merawat dengan cara ini. Ia lebih tidak menyelesakan jin tersebut. Amat baik kalau dihembus ke air kosong lalu diberi minum, atau dipercik, atau disapu atau dimandikan kepada pesakit.


Ketidakselesaan jin boleh dikesan jika mata pesakit meliar, ataupun tiba-tiba mengalirkan air mata, ataupun menangis macam kanak-kanak, ataupun mengaduh kesakitan, ataupun menjerit melolong, ataupun berlawan cakap, ataupun pesakit menggelepar, ataupun jin itu menyakitkan mana-mana bahagian tubuh pesakit (contohnya mencekik leher, menggigit sendi) dan sebagainya.


Dalam beberapa kes yang pernah saya lihat (ketika itu saya tidak bertindak sebagai perawat) ada pesakit yang bersilat, berlawan dengan sesuatu yang kita tak nampak dan mencabar perawat dengan makian.


Sekiranya jin itu jenis yang lemah, dia akan keluar. Kalau dia masih berdegil, maka bacakan (biasanya saya akan meneruskan bacaan walaupun dia sudah keluar- sebagai pengukuhan):

Lauanzalna… ( ayat-ayat terakhir surah al-Hasyr)


Sekiranya jin itu bertaraf Koperal ke bawah, maka ketika ini ia akan lari. Ayat-ayat ini amat serasi dengan saya. Doa dan rawatan saya biasanya berhasil apabila sampai ke ayat ini. Tapi ayat-ayat yang serasi tidak sama antara seorang perawat dengan perawat yang lain. Ada perawat yang ayat ‘power’nya ayat Kursi, ada awal surah Nun, ada yang kalimah syahadah dan sebagainya. Untuk saya nampaknya Tuhan berikan ayat ini. Biasanya, kalau sudah dua pusingan ayat ini dibaca dan jin itu masih tidak pergi, maksudnya jin itu berpangkat Sarjan dan ke atas. Jadi pesakit kenalah berikhtiar dengan perawat yang lebih handal. Ayat ini menunjukkan kekuatan ayat-ayat suci al-Quran. Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kerana banyak nama-nama lain Allah di dalamnya.


Boleh ditambah dengan Doa Menghindarkan Syaitan, Salamun ala Sulaimana fil alamin dan Doa Sulaiman. Agak panjang untuk disertakan di sini. Pembaca boleh mendapatkannya dalam buku Doa & Rawatan Penyakit oleh Dr Haron Din & Dr. Amran Kasimin di bahagian 10 Bacaan Asas Pertama. Kepada saya, ayat-ayat yang dimaksudkan memang berkesan.


Sebagai tambahan lagi, saya bacakan juga Ayat 9- petikan beberapa ayat al-Quran.

Seandainya jin itu “main kasar” dan saya pun sudah “naik angin” (sekadar bahasa), maka saya akan bacakan seluruh surah al-Baqarah. Sekiranya dalam keadaan yang amat terdesak, barulah kaedah terakhir ini digunakan.


Begitulah serba ringkas kaedah yang digunakan. Insyaallah kalau ada peluang nanti, saya akan menghuraikan perkara ini dengan lebih tersusun.


* Susunan bacaan di atas tidak saya ikuti dalam semua keadaan.



PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT


Alexanderwathern

NOV 2006


sumber