Tuesday, October 28, 2008

Merawat Kerasukan Jin


Beberapa orang tertanya-tanya kaedah rawatan yang saya lakukan. Sebenarnya saya bukanlah seorang perawat, cuma apabila tidak ada rotan maka akar pun jadilah. Ikhtiar saya hanyalah dengan doa. Setakat ini ia hanya berkesan kepada jin-jin yang berpangkat bawah daripada Sarjan sahaja. Berikut adalah kaedah rawatan yang saya amalkan:


1. Ikhlaskan hati untuk merawat kerana Allah. Iblis dan syaitan tidak dapat menguasai orang yang ikhlas. Ikhlas akan memudahkan doa dan rawatan kita berhasil.


2. Mula-mula ucapkan 2 kalimah syahadah sama ada di mulut ataupun dalam hati. Syahadah diperbaharui untuk memastikan yang kita sedang diiktiraf Islam di sisi Allah. Boleh jadi sebelum itu kita ada melakukan perbuatan yang menyebabkan kita tidak diiktiraf Islam oleh Allah tanpa kita sedari. Berdoa dan merawat sebagai seorang Islam lebih mudah berhasil (kita tak nafikan ada doa orang bukan Islam yang dikabulkan Tuhan).


3. Kemudian baca selawat ke atas Nabi dan ahli keluarganya, sebaik-baiknya 3 kali. Ini untuk mendapat perlindungan Allah. Sekali kita berselawat kepada Nabi, 10 kali Allah balas selawat untuk kita. Jika Allah sendiri yang memberikan selawat untuk kita maka bagaimana kita boleh gagal?


4. Seterusnya beristighfar 3 kali. Diharapkan dengan beristighfar maka semua dosa-dosa kita akan terhapus. Berdoa dan merawat dalam keadaan sebagai seorang yang tidak berdosa atau kurang dosa lebih mudah dimakbulkan.


5. Baca Bismillahillazi layadurru ma’asmihi syaiun filardhi wa la fissamaai wahuwas sami ul’alim 3 kali agar tidak ada suatu apa pun yang berupaya memudaratkan kita sama ada di bumi ataupun di langit.


Bacan-bacaan awal ini lebih kepada pembersihan diri, dekatkan diri dengan Allah dan sebagai benteng peribadi. Kalau jin itu berpangkat prebet saja, ketika ini pun kadang-kadang dia sudah beredar. Yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal biasanya akan menunjukkan tanda-tanda tidak selesa. Untuk mulakan rawatan:


1. Baca Auzubillahis samiil alimmiminasy syaitanirrajim. Ini untuk menguatkan lagi pelindungan Allah kepada kita dan menggugat jin tersebut.


2. Baca al-Fatihah- ketua segala penawar. Kelebihan-kelebihannya sedia kita maklumi.


3. Baca pula ayat Kursi- untuk menewaskan jin. Fadhilatnya biasa kita ketahui.


4. Disudahi dengan 3 Qul. Al-Ikhlas- untuk mengesakan Tuhan. Untuk menggugat jin jika ia masih belum pergi. Al-Falaq- untuk melawan sihir. Kadang-kadang kedatangan jin itu disertai dengan sihir. An-Nas- untuk mengukuhkan perlindungan kita dengan Allah. Juga untuk melawan campurtangan syaitan dan manusia sekiranya ada.


Hembuskan kepada pesakit. Biasanya di kepala dan tubuh. Sekiranya pesakit mengalami kesakitan di mana-mana bahagian badan seperti leher, kaki, perut, dada, tangan dan sebagainya maka boleh dihembus ke kawasan itu. Berdasarkan pengamalan peribadi, doa dan rawatan yang menggunakan teknik hembusan atau semburan lebih berkesan. Ini kerana dalam nafas kita ada tenaga nafas yang ajaib. Sahabat Nabi juga merawat dengan cara ini. Ia lebih tidak menyelesakan jin tersebut. Amat baik kalau dihembus ke air kosong lalu diberi minum, atau dipercik, atau disapu atau dimandikan kepada pesakit.


Ketidakselesaan jin boleh dikesan jika mata pesakit meliar, ataupun tiba-tiba mengalirkan air mata, ataupun menangis macam kanak-kanak, ataupun mengaduh kesakitan, ataupun menjerit melolong, ataupun berlawan cakap, ataupun pesakit menggelepar, ataupun jin itu menyakitkan mana-mana bahagian tubuh pesakit (contohnya mencekik leher, menggigit sendi) dan sebagainya.


Dalam beberapa kes yang pernah saya lihat (ketika itu saya tidak bertindak sebagai perawat) ada pesakit yang bersilat, berlawan dengan sesuatu yang kita tak nampak dan mencabar perawat dengan makian.


Sekiranya jin itu jenis yang lemah, dia akan keluar. Kalau dia masih berdegil, maka bacakan (biasanya saya akan meneruskan bacaan walaupun dia sudah keluar- sebagai pengukuhan):

Lauanzalna… ( ayat-ayat terakhir surah al-Hasyr)


Sekiranya jin itu bertaraf Koperal ke bawah, maka ketika ini ia akan lari. Ayat-ayat ini amat serasi dengan saya. Doa dan rawatan saya biasanya berhasil apabila sampai ke ayat ini. Tapi ayat-ayat yang serasi tidak sama antara seorang perawat dengan perawat yang lain. Ada perawat yang ayat ‘power’nya ayat Kursi, ada awal surah Nun, ada yang kalimah syahadah dan sebagainya. Untuk saya nampaknya Tuhan berikan ayat ini. Biasanya, kalau sudah dua pusingan ayat ini dibaca dan jin itu masih tidak pergi, maksudnya jin itu berpangkat Sarjan dan ke atas. Jadi pesakit kenalah berikhtiar dengan perawat yang lebih handal. Ayat ini menunjukkan kekuatan ayat-ayat suci al-Quran. Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kerana banyak nama-nama lain Allah di dalamnya.


Boleh ditambah dengan Doa Menghindarkan Syaitan, Salamun ala Sulaimana fil alamin dan Doa Sulaiman. Agak panjang untuk disertakan di sini. Pembaca boleh mendapatkannya dalam buku Doa & Rawatan Penyakit oleh Dr Haron Din & Dr. Amran Kasimin di bahagian 10 Bacaan Asas Pertama. Kepada saya, ayat-ayat yang dimaksudkan memang berkesan.


Sebagai tambahan lagi, saya bacakan juga Ayat 9- petikan beberapa ayat al-Quran.

Seandainya jin itu “main kasar” dan saya pun sudah “naik angin” (sekadar bahasa), maka saya akan bacakan seluruh surah al-Baqarah. Sekiranya dalam keadaan yang amat terdesak, barulah kaedah terakhir ini digunakan.


Begitulah serba ringkas kaedah yang digunakan. Insyaallah kalau ada peluang nanti, saya akan menghuraikan perkara ini dengan lebih tersusun.


* Susunan bacaan di atas tidak saya ikuti dalam semua keadaan.



PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT


Alexanderwathern

NOV 2006


sumber


Soal jawab Ringkas: Mazhab

Soalan oleh Zamri:
Boleh tak ceritakan sedikit tentang mazhab?


Jawapan
:


Mazhab maksudnya aliran pemikiran. Ulama telah bersepakat pada asalnya untuk berpegang dengan Al Quran, hadis, ijma dan qias. Tetapi ulama juga menghadapi masalah dalam memahami dalil-dalil yang ada iaitu Al Quran dan hadis untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Maksud sesuatu hadis mungkin berbeza bagi setiap ulama.


Contohnya dalam hal membasuh kepala ketika berwuduk. Ada ulama faham kita kena basuh seluruh kepala. Ada ulama faham kena basuh sebahagian saja. Ada pula ulama yang faham cukuplah dengan mengenakan air kepada beberapa helai rambut sahaja. Kesimpulannya, semua pendapat itu betul. Tak boleh kita hendak menyalahkan mana-mana pendapat.


Pada zaman Rasulullah lagi perbezaan pendapat telah berlaku di kalangan sahabat dan ternyata Nabi Muhammad tidak menyalahkan mana-mana pihak- kedua-duanya betul. Ini berlaku dalam rombongan para sahabat ke Bani Quraizah. Rasulullah berpesan agar ahli rombongan itu menunaikan solat Asar di tempat Bani Quraizah.


Namun perjalanan itu jauh. Jika mereka tiba di sana, waktu Asar telah habis. Di sini para sahabat berpecah kepada dua pendapat. Satu kumpulan menunaikan solat Asar di pertengahan jalan kerana waktu Asar akan habis apabila tiba di sana (seolah-olah mereka menentang perintah Rasulullah supaya solat Asar di sana). Satu kumpulan lagi tetap menunaikan solat Asar di sana walupun ketika itu telah masuk waktu Maghrib (seolah-olah mereka pula menentang perintah Tuhan bahawa solat Asar mestilah dibuat dalam waktu Asar).


Ternyata kedua-dua pihak betul kerana Rasulullah tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sekiranya ada kesalahan, pasti Rasulullah akan membetulkannya, tapi baginda tidak berbuat demikian. Ini memberi panduan kepada kita yang Rasulullah memang ada mengisyaratkan untuk umat Islam selepas zamannya bahawa perbezaan pendapat itu tidaklah semestinya menjadi satu kesalahan.

Aliran mazhab asalnya ada banyak, puluhan malah mungkin ratusan. Pada zaman selepas zaman Rasulullah, boleh dikatakan setiap orang ada mazhab sendiri kerana semuanya faqih-faqih belaka. Namun yang masih hidup hingga ke zaman ini ada empat mazhab yang besar iaitu:


Mazhab Hanafi di asaskan oleh Imam Abu Haniffah
Mazhab Maliki diasaskan oleh Imam Malik
Mazhab Syafie diasaskan oleh Imam Syafie
Mazhab Hambali di asaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal


Satu lagi mazhab yang tak kurang pengaruhnya adalah mazhab yang diasaskan oleh seorang sufi lagi waliyullah bernama Sufyan ath-Thauri. Namun lama-kelamaan ia tidak lagi diamalkan ramai orang sehingga pupus. (*Mazhab-mazhab lain berkembang baik kerana mendapat dokongan pemerintah sedangkan Sufyan sentiasa menjadi buruan pemerintah yang zalim. Tambahan pula hidup kesufiannya yang zuhud menjadikan mazhabnya tidak dapat berkembang dan bertahan lama. Imam Ahmad sendiri memandang Sufyan sebagai lebih faqih daripada dirinya)

Imam Syafie sendiri merupakan anak murid Imam Malik tetapi Imam Syafie masih boleh mengasaskan mazhab yang lain. Adakah mereka menyalahkan antara satu dengan lain? Jawapannya tidak. Kedua-duanya betul.

Imam Syafie mestikan baca doa qunut dalam solat Subuh sedangkan imam yang seorang lagi kata tak perlu. Ketika Imam Syafie pergi ke daerah imam itu, Imam Syafie telah mengimamkan solat Subuh dan dia tidak membacakan qunut. Dia berbuat demikian kerana menghormati pendapat imam tersebut. Lihatlah, sesama imam mujtahid pun masih boleh saling mengiktiraf walaupun berbeza pendapat.


Kata Hassan al Banna:
“Perselisihan pendapat dalam masalah cabang fekah tidak seharusnya menjadi sebab kepada perpecahan agama.”


Mereka ini bertaraf mujtahid, iaitu orang yang mampu berijtihad (* memberi pendapat sendiri) untuk mengeluarkan hukum-hukum agama. Sekiranya ijtihad mereka betul, mereka akan mendapat pahala dan sekiranya ijtihad mereka salah, mereka tidak berdosa (*riwayat lain mengatakan sekiranya ijtihad mereka betul, mereka akan mendapat 2 kali pahala, sekiranya salah akan mendapat 1 kali pahala). Sungguhpun begitu, mereka tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan ijtihad. Mereka sangat berhati-hati. Pernah ditanyakan 40 soalan kepada Imam Syafie tetapi dia hanya menjawab 13 soalan sahaja. Ini menunjukkan sikap tawadhuknya (merendah diri), padahal dia boleh saja memberikan pandangannya (ijtihad). Dia hanya menjawab perkara yang benar-benar dia arif di dalam hal itu.

Bagi kita orang biasa, kita mestilah mengikut mana-mana mazhab, kecualilah kita telah mencapai tahap tinggi yang boleh meneliti dalil-dalilnya. Wajibkah kita bertaqlid (iaitu ikut aliran mana-mana tok guru atau imam)? Jawapannya wajib sehingalah kita ada kemampuan untuk meneliti dalil-dalil hukum.

Contohnya seorang anak kecil belajar solat dengan ayahnya. Maka dia mesti ikut ajaran ayahnya (mesti taqlid dengan ayahnya). Takkanlah tak benarkan dia solat lalu disuruh pergi belajar teliti dalil-dalil hukum dulu, bila dah tahu baru solat. Alamatnya sampai umur 30-40 barulah dia nak bersolat. Ini mengarut.


Kata Hassan al-Banna:

“Seorang muslim yang ilmunya belum sampai ke peringkat nazar (iaitu mampu memahami dalil-dalil hukum) mestilah mengikut salah satu imam dalam Islam


PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT


Alexanderwathern 2005


*Dijawab secara lisan bersama-sama oleh Alexanderwathern dan Ustaz Tuan Azman Tuan Aziz (Mesir) pada 24 JUN 2005. Kemudiannya barulah dipindahkan ke dalam bentuk tulisan. Maka tentulah ia tidak sebaik jawapan terancang)

sumber