Monday, December 7, 2009

Pentingnya Tanda dalam Tajdid Segar

Sudah sekian lama saya mengambil berat perkara ini, tetapi belum pernah menulis tentangnya. Memakan masa tahun juga rasanya. Entah bagaimana boleh terlepas pandang. Namun sewaktu mengajar bab berkaitan, memang sering saya ingatkan kepada para pendengar. Baru-baru ini saya terlibat dalam diskusi yang berkaitan dengan hal ini di internet, barulah saya teringat semula.

Jadi saya nyatakan secara ringkas saja di sini. Dalam Dakwah Tajdid Segar kita sangat mementingkan tanda bacaan pada perkataan-perkataan yang maksudnya tidak sama dengan zahir hurufnya dalam al-Quran dan al-hadis, khususnya kepada ayat-ayat sebagaimana di bawah:


“Tangan Allah di atas tangan mereka,” sepatutnya ditulis: “ ‘Tangan’ Allah di atas tangan mereka.”

“Allah turun ke langit dunia,” sepatutnya ditulis: “Allah ‘turun’ ke langit dunia.”

“Allah di atas langit,” sepatutnya ditulis: “Allah ‘di atas’ langit.”

Begitulah seterusnya.


Bukan apa, kita khuatir ada yang tersalah faham. Sesiapa yang percaya Allah ‘di langit’, Alhamdulillah syukur. Tetapi sesiapa yang percaya Allah di langit... berbahaya kepada akidah.


Contoh:

Ali tu buaya.

Ali tu ‘buaya’.

Kedua-duanya membawa maksud yang berbeza. Ayat pertama menceritakan ada seekor buaya yang dinamakan Ali. Jelaslah Ali seekor binatang.

Ayat kedua pula menceritakan ada seorang manusia bernama Ali yang bersifat ‘playboy’.

Kan jauh bezanya?


“Tak payahlah tanda-tanda ni, bukan penting sangat pun!”

Betulkah begitu?

Zaman dahulu mana ada awalan huruf besar untuk kata nama khas. Mengapa sekarang kamu sendiri menggunakannya? Mengapa seluruh dunia memberatkannya? : )

Mengapa Allah tidak ditulis allah, Maalik (untuk Tuhan) ditulis maalik, Muhammad ditulis muhammad, Pemurah (untuk Tuhan) ditulis pemurah, Rabb (untuk Tuhan) ditulis rabb...?

Saya percaya tanda koma pembuka dan koma penutup ini akan jadi sangat penting pada masa akan datang. Oleh itu Dakwah Tajdid Segar sangat mementingkannya, lebih-lebih lagi ketika kita sedang membicarakan tentang tauhid, sifat-sifat Allah, akidah syubhat, fahaman Salafi Wahhabi dan lain-lain.

Wallahualam.


Abu Zulfiqar @ Alexanderwathern

1 Disember 2009

Sunday, December 6, 2009

Bolehkah Hidup Tanpa Duit?

PERSOALAN:

Apa pandangan saudara tentang DUIT.

Saya berpendapat ianya sesuatu KEPERLUAN menghadapi dunia kini disamping ia membantu mencapai kualiti sesuatu perkara/benda yang dilakukan.

Bagaimana ianya dilihat daripada segi Islam.

Ada berpendapat, manusia boleh hidup tanpa duit dan ternyata di Zaman Batu. Ya, saya bersetuju tapi perlukan Zaman Batu tu dijadikan contoh.

Saya perlukan pendapat daripada saudara. Harap dapat membantu saya.

ZURA

PANDANGAN:

Saya punya pandangan yang sama dengan anda Zura, iaitu duit ialah KEPERLUAN, tidak sekadar KEHENDAK pada zaman ini dan di tempat kita berada kini. BERDASARKAN ZAMAN DAN LOKASI kita berada sekarang, duit setaraf dengan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Lainlah jika hidup pada zaman dahulu kala. Begitu juga jika kita hidup di sebuah lembah terasing di Papua New Guinea ataupun Kalimantan, yang masyarakatnya tidak perlu kepada duit. Hidup mereka cukup bergantung kepada alam semulajadi.

Zaman batu tentulah tidak boleh dijadikan contoh. Mereka pandai buat pakaian sendiri. Kita terpaksa beli. Mereka pakai cawat saja pun tak ada siapa nak hairan. Cuba kita hantar anak ke sekolah pakai cawat saja, silap-silap haribulan kena tangkap dengan pihak berkuasa. Hendak ke masjid tentu kena pakai kasut dan kain/ seluar. Mana kita tahu buat sendiri, nak kena beli juga. Kita buat kesalahan undang-undang, kena bayar dengan duit. Mahkamah tak minta kambing, gandum, kulit kerang dan lain-lain, mahkamah mahu duit. Anak-anak lahir kena daftar, nak masuk sekolah kena ada gambar, alat tulisnya nak kena beli. Kan semua perlukan duit?

Kita mampu buat kereta kebal, kapal selam, meriam dan jet sendiri tanpa menggunakan duit? Mana mungkin. Takkanlah tentera Malaysia hendak dilengkapi dengan batu, kayu dan gigi sahaja? Jenoh tentera kita digelak dek tentera negara lain. : )

TAPI, jika tempat kita tinggal itu keadaannya sama seperti zaman batu... iaitu orang-orangnya bercucuk-tanam sendiri, tidak ditadbir oleh mana-mana pihak berkuasa, mendapatkan makanan, pakaian dan tempat perlindungan daripada alam semulajadi... saya kira memang boleh hidup tanpa duit.

Memang ada ahli agama yang hidup terasing di pulau-pulau. Mereka minum air kelapa, mandi air hujan, menulis atas kulit binatang dan sebagainya yang mereka boleh dapat tanpa menggunakan duit. Jika kita mahu hidup di situ, memang betullah kita tak perlu kepada duit. Tapi jika kita ana-beranak hidup di Kuala Lumpur, mestilah kena ada duit.

Kesimpulannya, keperluan kita pada duit bergantung kepada masa dan lokasi kita berada.

Wallahualam.

Abu Zulfiqar

5 Disember 2009