Sunday, February 18, 2024

Orang Yang Dengki Itu Apa Mahunya?

 

1. Orang yang hasad (dengki, iri hati) itu mahu apa sebenarnya?


Jawapannya : Dia mahu kita berada di bawah daripada dirinya. Dia mahu kita jangan sesekali melebihi dirinya. Dia juga mahu mendengar atau mahu melihat kita gagal, lemah, kecewa, bodoh, jahil, tidak sihat, tidak gembira, tidak selesa, ketinggalan, tidak terselamat, terkena bahaya, terlepas sesuatu yang kita miliki, dibenci orang, dihina orang, dipulaukan orang, dan sebagainya. Ada terbit perasaan gembira atau sukacita dalam qalbunya apabila kita terkena hal-hal yang di atas. Jika boleh, rezeki dan kelebihan2 yang Allah kurniakan kepada kita itu dapatlah kiranya berpindah kepada dirinya.


2. Apa yang orang dengki itu tidak suka?


Jawapannya : Dia tidak suka apabila kita berada atas daripada dirinya, yakni apabila kita lebih daripada dirinya. Sama tara pun dia tidak suka. Kadang2 hanya hampir2 sama atau mendekati dengan keadaan dirinya pun dia sudah berasa tergugat. Dia tidak suka mendengar atau melihat kita berjaya, kuat, ada ilmu, pandai, bijaksana, senang hati, tenang hati, gembira, selesa, tidak ketinggalan, terselamat, terlepas daripada mudarat, masih memiliki apa yang dia dengkikan itu, disukai orang, disayangi, dihormati orang, dikerumuni orang, dan sebagainya. Akan terbit perasaan tidak senang hati, resah, gelisah, tidak senang duduk, bengang, tidak tenteram, tidak puas hati, sakit hati, marah, dendam, dan seumpmanya apabila kita memperoleh hal2 yang di atas.


3. Apa yang kita kena buat dalam menghadapi orang yang dengki?

i) Kita doakan hidayah Allah buat dirinya. Dan untuk diri kita sendiri sudahlah tentu lagi berterusan.

ii) Jika ada kemampuan dan keadaannya sesuai, nasihati dia.

iii) Seboleh-bolehnya kita cuba elakkan atau kurangkan (kerana ada kala kita tidak dapat mengelak juga) daripada membuat dia berasa tergugat. Usahakan agar dia tidak tahu atau kurang tahu akan rezeki kita, kejayaan, kelebihan, kegembiraan, kesihatan, kebahagiaan, kekuatan, keilmuan, kepandaian, kemahiran, ketenangan, keselesaan kita, dan sebagainya. Lagi kurang dia tahu, lagi kurang risiko untuk dia dengki.

iv) Jarakkan diri dan jaga jarak tersebut. Dengan cara begitu, perbuatan2 tidak baiknya akan berkurangan. Jika ada pun, kurang kesannya kerana ada kejauhan.


4. Apakah antara petanda yang kita sukar terkena penyakit dengki?

Apabila kita turut berasa gembira dengan rezeki atau kelebihan yang diperolehi oleh orang lain. Jika bersesuaian, kita juga terasa mahu turut sama meraikannya. Kita tidak terasa tergugat dengan rezeki dan kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka. Kita sering mendoakan yang baik2 kepada mereka. Qalbu selalu terasa lapang dan damai.


13/2/24

No comments: