Saturday, January 29, 2022

Benda Apa Tu Sebenarnya?

 

Cerita oleh seorang hamba Allah kepada sahaya (lebih kurang begini) -

Dia seorang lelaki dan boleh memasak sebagaimana sebahagian kaum lelaki yang lain. Tetapi dalam 10 tahun yang lalu, secara tiba-tiba dia jadi sangat mahir memasak makanan-makanan Melayu. Apa sahaja jenis masakan Melayu (contohnya masak lemak, gulai, rendang, kuih-muih tradisional, lemang, asam pedas, pindang dan sebagainya) jika dimasaknya jadi sangat sedap sehingga mendapat tempahan dari serata pelusuk negara. Padahal sebelum itu dia bukanlah seorang tukang masak. Tetapi kemudiannya semua masakan Melayunya sangat menjadi walaupun pertama kali dicubanya. Sebut sahajalah apa jua masakan Melayu tradisi.


Kemudian, barulah dibuka ceritanya. Menurutnya, entah bagaimana sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu, ketika dia membeli barang-barang untuk memasak, seakan ada suara berbisik yang menyuruhnya memilih yang itu yang ini. Kadang-kadangnya tangannya seperti terlorong sendiri untuk mengambil sesuatu barang. Suara itu sama seperti suara arwah neneknya.


Begitu juga ketika dia memasak. Sering kedengaran suara neneknya berbisik buat begitu begini. Kadang-kadang tangannya seperti terdorong sendiri untuk besarkan atau kecilkan api, masukkan bahan itu ini, dan buat begitu begini. Dia pun mengikut sahajalah. Tapi masakannya semua jadi sedap.


Kini, walaupun dia tidak buka catering melainkan sambil2 sahaja, tapi sering mendapat tempahan untuk majlis2 VIP termasuklah daripada orang jauh-jauh.


Hal yang berlaku kepada dirinya itu dipandangnya sebagai anugerah daripada Allah atau dalam kata lain - ilmu laduni. Sahaya hanya mampu tersenyum panjang sahajalah.


"Camne ustaz? Benda apa tu sebenarnya?"


Lalu sahaya pun cuma sampaikan pandangan sahaya sahajalah secara ringkas. Terpulanglah kepadanya. Biasalah, apabila hal2 sebegitu memberikan manusia kelebihan2 tertentu, memang banyak manusia sukar untuk melepaskannya. Wallahua'alam.


23/1/22


No comments: