Wednesday, January 26, 2022

Beza Adab Perawat dan Penasihat Dahulu dan Sekarang

 

Umumnya adab perawat dulu-dulu dan rasa bertanggungjawab mereka sangat tinggi. Mereka tidak akan mudah2 menyarankan sesuatu ubat, penawar, kaedah rawatan, tempat rawatan, bahan2 rawatan, peralatan rawatan, dan masa rawatan melainkan jika mereka memang BANYAK TAHU akan hal ehwal semua itu. Jika mereka BANYAK KURANG TAHU atau BANYAK KURANG TAHU, mereka tak akan menyarankannya.


Nasihat dan saranan untuk kesihatan umat ini bukan barang agak2, rasa2, dengar2 atau ikut2an. Jika sedar diri tidak BANYAK TAHU, lebih baiklah berdiam dan bicara sahaja bidang yang kita ada BANYAK TAHU.


Sekiranya dengan sebab saranan tanpa pengetahuan yang MENCUKUPI/MEMADAI lalu seseorang pesakit itu mengalami kerugian terutamanya dari segi kesihatannya, maka perawat akan berusaha menanggung perbelanjaan hidup (yang BERSESUAIAN dan BERPATUTAN) si sakit dan keluarganya. Perawat yang memberikan saranan itu akan berbuat demikian sehinggalah si sakit sembuh, atau sehingga si sakit/keluarganya bersetuju cukuplah sekadar had begini dan begini.


Sekiranya si sakit meninggal dunia dan meninggalnya itu ADA KAITAN walau sikit walau banyak dengan saranan si perawat, maka berterusanlah penanggungannya itu mengikut sikit banyaknya sehinggalah waris si sakit bersetuju cukuplah had begini begini.


Sebab itulah apabila orang tua-tua merawat (majoritinya sudah meninggal belaka), mereka lebih suka berikan pilihan. Seboleh-bolehnya mereka akan mengelakkan daripada memberikan keputusan, ketetapan, kewajipan, gesaan, paksaan, suruhan dan sebagainya.


Salah seorang arwah guru sahaya dulu pernah menanggung sebuah keluarga (isteri dan anak-anak) selama 7-8 bulan kerana dia menyarankan satu ramuan ubatan yang dia BANYAK KURANG TAHU lalu si sakit terlantar 3 bulan di hospital dan selebihnya di rumah. Sudahlah dia sendiri pun orang tak berharta lagi berpendapatan rendah. Memang perit. Katanya, pada mulanya serasa mahu sahaja dia berpindah lari senyap-senyap ke negeri lain, ke tempat yang orang tak mengenalinya. Nak tanggung diri sendiri dan nak menanggung pula sebuah keluarga sebegitu seolah-olah pendapatan bulanannya yang kecil itu didarab dengan dua, pada setiap bulan. Mana nak dicari? Nasib baiklah si sakit dan keluarganya itu sedia bertolak-ansur.


Zaman itu katakanlah pendapatannya RM300 (bandingannya zaman sekarang mungkin dalam RM1500), maka nak kena cari RM300 (RM1500 lagi), setap bulan. Mana nak cari?


Tapi... ini kisah orang dulu2, kisah orang tua2. Jauh berbeza dengan majoriti perawat, penyaran, pencadang zaman ini. Orang dulu2 sanggup bertanggungjawab dan selesaikan tanggungjawab itu hingga ke akhir. Zaman sekarang? Ramai yang cuba mengelak atau lari daripada bertanggungjawab. Tetapi mestilah diingat bahawa kita tidak boleh mengelak atau lari daripada bertanggungjawab di akhirat. Lebih baiklah selesaikan tanggungjawab di dunia ini daripada dipersoal tanggungjawab di sana nanti.


23/1/22

No comments: