Saturday, January 29, 2022

Apabila Induknya Meninggal Dunia

 

Walaupun seseorang mahaguru tua itu ahli (pakar, sangat mahir, elit) dalam kesemua permainan senjata, tetapi kadang-kadang apabila dia sudah meninggal dunia, guru-guru yang menjadi para pewarisnya tidak ada yang ahli dalam kesemua itu lagi. Mereka berkemampuan dalam segala permainan itu tetapi keelitan mereka hanyalah dalam senjata tertentu sahaja.


Katakanlah si mahaguru meninggalkan empat orang guru pewarisnya, mungkin :

i. guru A elit dalam permainan keris dan pisau.

ii. guru B elit dalam permainan parang, pedang dan perisai.

iii. guru C elit dalam permainan kerambit dan cindai.

iv. guru D elit dalam permainan kayu, buluh runcing, tombak dan lembing,

walaupun pada dasarnya mereka semua berpengetahuan dalam permainan segala senjata itu. Yang paling berpengetahuan dalam kesemua perkara itu, biasanya dialah yang akan menjadi guru atau sama ada secara rasmi atau secara tidak rasminya.


Hal seperti ini biasa berlaku.


Demikian jugalah jika kita contohkan dengan ilmu perubatan. Apabila seseorang tabib besar zaman dahulu kala meninggal dunia, kadang-kadang terjadi :

i. murid A akan jadi guru silat

ii. murid B akan jadi pakar herba

iii. murid C akan jadi pakar mengubat

iv. murid D akan jadi tukang urut,

walaupun pada dasarnya mereka berpengetahuan serba-sedikit dalam kesemua bidang tersebut. Biasanya yang paling berpengetahuan dalam keempat2 perkara itulah yang akan dipandang atau terpandang sebagai pemuka utama.


Jadi, murid-murid generasi seterusnya jika mahu memantapkan ilmu mereka, mereka akan berusaha untuk berguru dengan kesemua guru yang berkaitan.


Pembahagian dan pengkhususan ilmu2 sebegini :

- ada yang terjadi secara sendirinya tanpa perancangan si guru.

- ada guru yang memang berusaha untuk menjadikan sedemikian atas sebab-sebab tertentu.

- ada guru yang berusaha agar tidak berlaku sedemikian. Maka adalah yang berjaya dan ada yang tidak berjaya.


Tarekat Ghazaliyah dan ilmu2 yang mengiringinya terdiri daripada 4 bahagian iaitu :

i. ilmu iman ('aqidah, usul ad-diin, kalam)

ii. ilmu ihsan (tasawuf, sufi, tariqah, tauhid)

iii. ilmu alam (ada 7 bahagian ilmu tentang alam dan isinya sejak sebelum wujudnya alam makhluk sehinggalah ke masa akan datang)

iv. ilmu sa'ah (zaman akhir, fitan, hari kehancuran menuju hari qiamah)


Sehingga tahun 2021 yang lalu, ada 4 orang yang layak mengijazahkan Tariqah Ghazaliyah ini. Namun begitu tidak semua yang dapat menguasai keempat-empat bahagian ilmu tariqah ini sebagaimana di atas.


Ilmu alam (bukan ilmu geografi, tetapi ilmu geografi berada di dalamnya) pula adalah sangat luas dan memang tidak ada mana-mana ahli Tarekat Ghazaliyah termasuklah pengasasnya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang berkemahiran dalam keseluruhan juzuk dan pecahannya. Ada yang tahu banyak, ada yang tahu kurang banyak, dan pastinya ada pengkhususan mengikut individu. Setakat itu sahaja.


Sekiranya tidak ada salah seorang mu'allim tariq ini yang berjaya mencapai had minima yang sepatutnya dalam keempat-empat bahagian ilmu itu, maka biasanya yang paling banyak tahu itulah yang akan diangkat sebagai syeikh mursyid seterusnya. Dan aspek yang paling utama akan dijadikan kayu ukur tentunya pengetahuan, pengamalan dan pencapaian dalam al-ihsan kerana bahagian inilah teras bagi Tarekat Ghazaliyah.


28/1/22

No comments: