Sunday, January 30, 2022

Asalkan Hati Tak Redha, Maka Bolehlah?

 

Beberapa minggu lepas, pekena roti canai di sebuah kedai kampung. Waktu itu pekerja2 kilang sedang rehat. Tiga orang pekerja berada di meja sebelah. Muda-muda lagi. Orang2 yang bekerja berat dan dalam suasana bunyi mesin sehari-hari biasanya kalau bersembang akan terdengar sampai ke tepi jalan kuatnya. Kita di meja sebelah. lagilah. Lebih kuranglah perbualan mereka :


N : Asaikan hati tak redha, boleh ja.


Y : Ooo...asaikan hati tak redha, boleh ja la nanti ikut Dajjai?


N : Errr... tak la macam tu. Tapi sekarang ni tak boleh buat apa....sebab depa guna boss dan kerja kita. Kalau guna cara lain, aku pun dah tentu macam hang jugak...aku tolak, aku betahan. Tapi... tepaksa la ikut jugak.


Y : Hang ingat...bila Dajjai datang nanti, dia tak guna majikan dan kerja kita ka? Berkali2 ganda lagi dia guna. Takkan dia nak skip part tu? Rugi la dia. Kan ka fitnah dia tu fitnah tebesaq dalam sejarah umat manusia ni? Yang dok ada selama hari ini kiranya tak sebesaq mana lagi tu. Waktu tu... hang pun tak kan menolak, tak mau betahan, tak akan melawan... (lalu) "terpaksa" ikut jugak? Kemudian hang nak guna alasan yang sama jugak : "Asalkan hati tak redha, boleh ja.". Macam tu?


Lepas tu senyaaaap sahaja buat sementara. Saya pun tidaklah menoleh ke arah mereka melainkan buat2 macam biasa, macam tidak mendengar apa-apa. Kemudian mereka sambung sembang isu politik pula.


No comments: