Sunday, January 17, 2021

Jalan Penyebaran Tarekat Ghazaliyah

Zaman-berzaman, Tarekat Ghazaliyah ini memang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja yang ada mendapat maklumat (ilmu-ilmu) tentangnya sama ada melalui penglihatan (tonton, baca, nampak), pendengaran, sentuhan (braille), atau yang seumpama dengan semua itu. Segala maklumat yang JELAS, bolehlah terus diamalkan. Bagi maklumat yang kurang jelas atau tidak jelas pula, TANGGUHKAN dahulu sehinggalah mendapat penjelasannya pada masa akan datang.


Tidak perlu memberitahu kepada guru-guru atau para pengamal Tarekat Ghazaliyah. Tidak perlu juga diberitahu kepada orang lain. Cukuplah diri kita sendiri yang tahu bahawa kita sedang mengamalkan Tarekat Ghazaliyah. Tidak perlu datang bertemu dengan guru-guru atau wakil-wakil Tarekat Ghazaliyah ini. TIDAK PERLU KENAL mereka pun, tetap boleh mengamalkannya.


Tidak perlu memohon ijazah kerana semua amalan Tarekat Ghazaliyah sudah siap-siap diniat diijazahkan kepada seluruh umat sejak zaman dahulu kala lagi sehinggalah sekarang. Asalkan dapat tahu dan jelas, bolehlah diamalkan.


Tidak perlu berbai’ah kerana bai’ah HANYA PERLU bagi orang-orang yang bakal menjadi pengajar/ mu’allim/ penyampai akan ilmu-ilmu Tarekat Ghazaliyah ini sahaja (dan bakal pengganti guru utama). Mereka yang tidak diijazahkan dan tidak berbai’ah secara rasmi, tidaklah punya kelayakan untuk berbuat demikian. Itu bezanya.


Namun begitu, bagi sesiapa yang sekadar mahu beramal sendiri tetapi mahu juga diijazahkan dan berbai’ah, Tarekat Ghazaliyah sangat meraikannya.


Ringkasnya, Tarekat Ghazaliyah dan ikhwahnya tidak mengambil apa-apa daripada orang lain kerana langsung tidak punya sebarang kepentingan tertentu. Tarekat ini lebih bersifat memberi dan menyampai sahaja. Tidak perlu dikenal, tidak perlu bersua muka, semua pengajarannya percuma, boleh datang dan pergi, tidak pernah membuat sebarang kutipan wang atau harta benda, sudah diijazahkan siap-siap, tidak perlu berbai'ah, tidak dibenarkan mengajak orang lain untuk ijazah dan bai'ah melainkan atas keinginan mereka sendiri, tiada sebarang majlis berjadual melainkan ijtima' setahun sekali (tidak dimestikan hadir pun).

 


Hal ini ada disentuh sedikit-sebanyak dalam buku kami Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah siri 1 dan 2. Bolehlah rujuk di sana untuk mendapat gambaran yang lebih jelas.

 

Abu Zulfiqar Al-Amsyari

16 Januari 2021


No comments: