Saturday, January 9, 2021

Sanad Sampingan Tarekat Ghazaliyah Melalui Jalan Saiyidina Abu Bakar

Sanad Sampingan Tarekat Ghazaliyah Melalui Jalan Saiyidina Abu Bakar


Datang pertanyaan kepada kami tentang hal ini. Oleh itu kami pun mengarang penerangan ringkas tentangnya sebagai memenuhi kehendak pertanyan tersebut.


Dalam risalah pertama kami yang dikenali sebagai Buku Cahaya Biru (Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah 1 - Pengenalan), telah dinyatakan sanad utama Tarekat Ghazaliyah iaitu sanad jalan zahir dan sanad sokongannya iaitu sanad jalan keruhanian. Dalam risalah kedua pula iaitu Buku Cahaya Hijau (Terbit Cahaya 2 - Lanjutan), kami nyatakan tiga lagi sanad yang merupakan sanad sampingan daripada jalan Saiyidina Abu Bakar, jalan Saiyidina ‘Umar dan jalan Saiyidina ‘Ali. Penerangan ringkas tentang sanad-sanad ini bolehlah dibaca dalam kedua-dua risalah tersebut.


Sanad sampingan melalui jalan Saiyidina Abu Bakar r.a agak menarik untuk disentuh kerana mempunyai banyak persamaan dengan salah satu sanad bagi saudara-saudara kami daripada Tarekat Naqsyabandiyah. Hal ini tidaklah pelik memandangkan daripada sekian banyak guru tasawuf kepada Imam Al-Ghazali, beliau juga pernah berguru dengan salah seorang ulama sufi besar iaitu Fadl bin Muhammad bin Ali (1016-1084), yang lebih dikenali sebagai Syeikh Abu Ali Al-Farmadi. Nama beliau berada dalam rantaian sanad Tarekat Naqsyabandiyah.


Di bawah ini merupakan sanad pengajian ilmu kesufian Imam Al-Ghazali melalui Syeikh Al-Farmadi.


  1. Daripada Rasululah SAW (570-632 m) kepada

  2. Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a (573-634 m)

  3. Salman al-Farisi r.a (568-652/653 m)

  4. Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar (660/662-728/730 m)

  5. Ja’far Sadiq (700/702-765 m)

  6. Abu Yazid al-Bustami (804-875 m)

  7. Abu Hasan ‘Ali bin Ja’far al-Karqani (963-1033 m)

  8. Al-Farmadhi (1016-1084 m)

  9. Imam Muhammad Al-Ghazali (1050-1111 m)


Sehingga Imam meninggal dunia, inilah sanad sampingan Tarekat Ghazaliyah melalui Al-Farmadi yang berada dalam tangan Imam dan ikhwah Tarekat Ghazaliyah ketika itu. Oleh itu, isi kandungan sanad ini dikekalkan tanpa sebarang penambahan atau pengurangan sehinggalah ke hari ini. 

 

Insya-Allah huraian kepada sanad di atas akan kami muatkan dalam karangan kami Buku Cahaya Merah iaitu Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah al-Ghazaliyyah 3 (Pencerahan).

 

Abu Zulfiqar Al-Amsyari

8 Januari 2021


No comments: