Monday, October 28, 2019

Halal Haram Bergaul dengan Pemerintah


TENTANG HALAL HARAM BERGAUL DENGAN PEMERINTAH YANG ZALIM

Hubungan engkau dengan raja-raja, pegawai-pegawai dan orang-orang zalim itu ada tiga bentuk :
         i.            Yang paling teruk – engkau masuk ke tempat mereka. Maksudnya engkau selalu bergaul dengan mereka di tempat mereka.
       ii.            Yang kurang sedikit – mereka masuk ke tempat engkau. Maksudnya mereka selalu bergaul dengan engkau di tempat engkau.
     iii.            Yang lebih selamat – engkau mengasingkan diri daripada mereka. Maksudnya engkau tidak bergaul dengan mereka. Lebih baik engkau tidak melihat mereka dan mereka pun tdak melihat engkau.

Sabda Rasulullah saw : “Akan ada sesudah aku amir-amir yang berdusta dan zalim. Sesiapa yang membenarkan (menyokong) mereka dengan kedustaan mereka dan menolong mereka atas kezaliman mereka, maka tidaklah dia darpada aku dan tidaklah aku daripada dia. Dan dia tidak akan datang ke kolam (kolam Nabi pada hari akhirat kelak).” (An-Nasa’i, Turmizi)

Atsar daripada Huzaifah ra : “Awaslah daripada tempat-tempat fitnah.”
Lalu orang bertanya : “Yang manakah tempat-tempat fitnah itu?”
Huzaifah menjawab : “Pintu-pintu para amir, yang dmasuki oleh seseorang kamu ke tempat amir itu. lalu membenarkannya (mengiyakan/menyokong) dengan kedustaann dan mengatakan apa yang tidak ada tentang amir itu.”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz ada mengambil seorang pekerja di bawahnya, lalu orang memberitahu kepadanya bahawa pekerja itu dahulunya bekerja sebagai pegawai kepada Hajjaj (seorang menteri yang zalim), lalu beliau memebrhentikan lelaki itu.
Lelaki itu berkata : “ Sesungguhnya aku bekerja sedikit sahaja untuk Hajjaj.”
Jawab Umar : “Cukuplah jika engkau menyertanya walau sehari atau setengah hari kerana keburukan dan kejahatan.”

Ulama dunia masuk ke tempat para pemerintah dengan tujuan untuk mendekatkan diri mereka dengan pemerintah. Mereka melakukan istinbath (mencari dalil dan hujah) untuk para pemerintah itu agar sesuai dengan kehendak pemerintah. Perbuatan mereka sebenarnya adalah untuk mencari kemegahan dan pemberian daripada para pemerintah itu.
Ada dua jenis penipuan yang tertipulah orang-orang jahil dengannya iaitu :
         i.            Para ulama dunia itu beralasan untuk selalu bersama-sama pemerintah kononnya untuk memperbaiki dan menasihati pemerintah. Sebenarnya mereka berbuat demikian untuk memenuhi nafsu keinginan yang tersembunyi bagi mendapatkan kemasyhuran.
       ii.            Para ulama dunia itu mendakwa kononnya mereka bertujuan untuk menolong sesama muslim dalam menolak kezaliman.

- Diringkaskan daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin

Tingkat Halal dan Haram


TINGKAT HALAL DAN HARAM

Ketahuilah bahawa yang haram itu semuanya keji. Ada sebahagiannya yang lebih keji daripada yang lain. Dan yang halal itu semuanya baik, tetapi ada sebahagiannya yang lebih baik daripada yang lain. Maksudnya yang haram dan yang halal itu ada tahap-tahapnya.

Wara’ (penjagaan diri) daripada yang haram itu ada empat tingkatan :
         i.            Wara’ orang-orang yang adil, iaitu orang-orang yang menjauhi hal-hal yang haram. Contohnya menjauhi hal-hal yang wajib dijauhi seperti meminum arak, berzina, makan babi dan sebagainya. Ini merupakan wara’ yang paling rendah. Orang di peringkat ini layak diambil sebagai saksi.

       ii.            Wara’ orang-orang soleh, iaitu orang-orang yang menjauhi hal-hal yang haram, yang makruh dan yang syubhat. Hal-hal syubhat ini sunat jika dijauhi, bukan wajib dijauhi. Contohnya kita memanah seekor haiwan buruan.

     iii.            Wara’ orang-orang mutaqqin, iatu orang-orang yang berusaha menjauhi hal-hal yang haram, yang syubhat dan yang halal tetapi dikhuatiri akan terlajak. Contohnya Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menutup hidungnya daripada mencium bau kasturi yang akan diberikan kepada rakyat. Padahal tidak salah pun sekiranya dia tercium bau kasturi itu.

     iv.            Wara’ orang-orang siddiqin, iaitu menjauhi yang tiga tadi dan lebih lagi. Segala perbuatan mereka adalah untuk Allah. Hal-hal yang halal tetapi bukan kerana Allah, akan mereka elakkan. Inilah juga tingkat orang-orang muwahhiddin (orang yang benar-benar bertauhid kepada Allah). Segala yang mereka lakukan adalah kerana Allah, bukan kerana selainnya. Yang tidak berkait dengan Allah dan agama, akan mereka cuba elakkan.

- Dirngkaskan daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin

Keutamaan Yang Halal dan Kecelaan Yang Haram

KEUTAMAAN YANG HALAL DAN KECELAAN YANG HARAM

Allah SWT berfirman : “Makanlah daripada yang baik-baik dan kerjakanlah amal-amal soleh.” (Al-Mu’minun : 51)
Dalam ayat ini Allah memerintahkan kita agar memakan yang baik-baik sahaja. Yang baik-baik itu sudah tentulah yang halal.

Allah berfirman : “Dan janganlah kamu makan harta sesama kamu melalui jalan yang batil.” (Al-Baqarah : 188)
Maksudnya janganlah kita mendapatkan sesuatu dengan menggunakan cara yang haram, yakni melalui cara yang tidak dibenarkan oleh agama.

Nabi Muhammad saw bersabda : “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuk daging itu.” (Turmizi, hadith hasan)

Sandaran daripada atsar pula, suatu hari Saiyidina Abu Bakar ra meminum susu yang dibawa oleh hambanya. Dia pun bertanya tentang asal susu itu. Jawab si hamba : “Aku bernujum untuk suatu kaum lalu mereka memberikan susu itu kepada aku.”
Saydina Abu Bakar pun memasukkan anak jarinya ke dalam mulut lalu memuntahkan kembali susu itu. kerana susu itu diperolehi atas kerja yang tidak dbenarkan oleh agama iaitu bernujum. Begitulah wara’ dan sangat berjaga-jaganya Saiyidina Abu Bakar dalam solal halal haram.

Saiyidina Umar juga pernah tersilap meminum susu zakat, lalu dia memasukkan jarinya ke tekak dan memuntahkannya kembali.

Ibnu Abbas berkata : “Tidak diterima oleh Allah akan solat seseorang yang di dalam rongga tubuhnya terdapat benda yang haram.”

Sahl berkata : “Sesiapa yang memakan yang haram, nescaya derhakalah segala anggota badannya.”
Kata Sahl juga : “Sesiapa yang makanannya itu halal, nescaya ditaati oleh segala angota tubuhnya.”

- Diringkaskan daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin