Sunday, July 15, 2018

Sanad-sanad Imam Al-Ghazali?


PERSOALAN :
Dalam FB, ustaz menceritakan Imam Al-Ghazali beruzlah atas kehendak sendiri dan mencapai maqam kerohanian dengan inisiatif beliau sendiri kerana pada zamannya tiada sesiapa yang mencapai maqam tersebut seperti yang beliau capai. Maknanya apa yang saya faham, sanad tarekat Al-Ghazaliyah berakhir kepada Imam Ghazali sendiri dan terus kepaad Rasulullah saw. Betulkan ustaz?

Tidak seperti sanad tarekat-tarekat lain, kebanyakan yang saya tahu apabila sampai kepada pelopor tarekat tersebut, sebagai contohnya Imam Asy-Syazili, masih dinyatakan nama guru beliau Syakh Al-Masyis bersambung ke atas Syaikh Abdul Abdul Qadir Jailani, Imam Hasan Al-Basri, Saiyidina Hasan, Saiyidina Ali dan seterusnya Rasulullah saw.

JAWAPAN :
Imam Al-Ghazali ada banyak sanad tarekat. Tetapi sanad yang kami simpan hanyalah sanad-sanad yang paling lama Imam Ghazali berguru dengan si guru tersebut. Jika mahu disimpan kesemua jalur sanadnya, mungkin tidak tersimpan oleh kita. Sanad utama tarekat ini berterusan ke atas sehinggalah kepada Huzaifah Al-Yamani dan Rasulullah saw.  Sanad-sanad beliau yang lain tidak ada dalam simpanan para pendahulu kami, hanya satu yang utama dan beberapa yang sampingan. Dengan setiap guru tasawuf yang dijadikannya guru, beliau ada sanadnya. Memang kebiasaan ulama-ulama zaman dahulu kala punya banyak sanad kerana mereka ada banyak guru.

Dari segi sanad Tarekat Ghazaliyah, memang bersambung dari satu generasi ke satu generasi sehingga ke Rasulullah saw. Tetapi dari segi maqam, guru-guru yang ada pada zaman tersebut tidak berjaya mencapai maqam tertentu, kerana sanad tidak mewariskan maqam.

Maqam yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali memang sedia ada pada zaman awal Islam tetapi kemudiannya beransur-ansur hilang mengikut generasi. Jadi, Imam Ghazali berusaha mendapatkan semula maqam yang sudah dinampaknya itu. Sebab itulah kitab yang dihasilkannya dalam uzlah 11 tahun itu dinamakan Ihya’… maksudnya “menghidupkan”. Dia menghidupkan apa yang sudah mati pada zamannya kerana tidak ada orang-orang yang mencapai maqam tersebut. Wallahualam.

Sebab itu jugalah untuk kurun ke-5 Hijriyyah itu, Imam Ghazali yang menjadi mujaddidnya, bukan ulama-ulama lain sepanjang kurun tersebut.

Wallahualam.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
Julai 2018

No comments: