Sunday, July 15, 2018

Mengapa Sufi dan Tarekat Mengajar Tentang Fadhilat?


PERSOALAN : Apa yang saya faham dalam tarekat sufi, setiap amalan seperti zikir, hizb, wirid, tujuannya niat si salik tidak ada yang lain, hanya berkehendakkan Allah. Tidak mengharapkan syurga mahupun pahala atau kelebihan-kelebihan dunia yang lain.

Bagaimana pula dengan kitab-kitab para ulama yang juga sufi yang mensyarahkan kelebihan fadhilat-fadhilat zikir, hizb, wirid dan selawat contohnya?

Kitab Lumatul Aurad mensyarahkan kaifiat beramal dan kelebihan fadhilat, contohnya murah rezeki, selamat daripada orang zalim dan banayak lagi. Sebagai hamba Allah sudah tentu kita berhajat dengan sangat banyak tentang urusan dunia dan akhirat.

Hatta dalam berdoa pun apa yang saya faham di sisi paa sufi bukannya mengaharap pemberian Allah kerana semuanya telah berada dalam ketetapan-Nya di A’yan Sabitah, tetapi hanya menyatakan sifat kehambaan kita.

Minta ustaz jelaskan serba-sedikit tentang kemusykilan ini.


JAWAPAN :

1.       Tarekat seakan-akan sebuah sekolah. Mula-mula masuk ke sekolah, tidak boleh terus ke Tingkatan 5 tetapi kena masuk Darjah 1 terlebih dahulu.  Tentu ada sebab-sebabnya.

2.       Dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5 ada 11 level, maksudnya ahli-ahli sesuatu tarekat itu pun ada banyak level.

3.       Tarekat bukan hanya untuk orang level tertinggi sahaja, yang level-level rendah pun ada juga bahagian mereka.

4.       Jika ada tarekat yang apabila kita masuk-masuk sahaja ia terus mengajar pelajaran Tingkatan 3 kepada murid-murid Darjah 1, itu tarekat yang bermasalah. Begitu juga jika sesuatu tarekat itu hanya untuk orang-orang yang level amal mereka hanya berkehendakkan Allah sahaja, kerana ada lagi level yang lebih bawah dan ada lagi level yang lebih atas daripadanya.

5.       Matlamat bersekolah ialah berkehendakkan kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat, tetapi dalam masa yang sama murid-murid dimotivasikan dengan fadhilat-fadhilat seperti hadiah, sijil, tempat ke asrama penuh, anugerah, jawatan pengawas, biasiswa dan sebagainya.

6.       Jadi, amalan-amalan itu disampaikan ilmu, pemahaman, penghayatan dan pengalamannya mengikut keadaan murid. Ada yang beramal kerana terpaksa, ada yang kerana dipaksa, ada yang kerana saja-saja, ada yang kerana mahu amalkan sunnah, ada yang kerana mahukan fadhilat-fadhilat yang diberitahu oleh Allah atau Rasul-Nya, ada yang kerana berasa bertangungjawab, ada yang kerana mahu pahala dan jannah, ada yang kerana mahu elakkan dosa dan neraka, ada yang kerana suka akan amalan itu, ada yang kerana berkehendak akan Allah, ada yang kerana cinta akan Allah, ada yang kerana rindu akan Allah, ada yang kerana Allah dan lain-lain.

7.       Orang yang beramal kerana mahukan Jannah, akan berasa kurangnya maqam mereka yang beramal kerana terpaksa. Yang beramal kerana berkehendak akan Allah pula, akan berasa kurangnya maqam mereka yang beramal kerana mahukan Jannah. Yang beramal kerana maqam yang lebih atas pula, akan berasa kurangnya maqam mereka yang beramal kerana berkehendakkan Allah. Begitulah seterusnya.

8.       Juga bertujuan untuk menarik minat dan membentuk keghairahan bagi orang-orang yang belum bermula, baru berjinak-jinak dan yang kurang cerdas agar terus beramal dan bemujahadah.

9.       Sebab itulah dalam tarekat dan kitab-kitab, ada diterangkan dan ditekankan tentang fadhail amal.

10.   Dalam berdoa pun lebih kurang begitulah penjelasannya.

(*Satu lagi, level kita pun ada naik turun pada masa-masa ternetu, maka kena sesuaikan dengan fadhilat agar bermotivasi)

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
Julai 2018

No comments: