Sebelum berkahwin yakni sebelum dapat, ketika dalam
tempoh masa memikat, pelbagai janji dan harapan menggunung bahkan melangit
diberikan. Maka sebahagian wanita-wanita yang singkat fikiran dan ghairah
gejolak hawa nafsu pun terpesona lalu terpedaya. Begitu kuatnya harapan si
wanita hinggakan janji-janji dan harapan-harapan yang mustahil dan yang tidak
masuk akal pun turut dipercayai juga, diharap-harapkan dan dipegang dengan
semangat yang melonjak-lonjak tinggi.
Janji dan harapan untuk dihias bagai puteri, dilayan
bagai permaisuri, dipetik bintang-bintang di langit lalu diberi, berbulan madu
di atas jambatan pelangi, lautan api sanggup direnangi, semuanya dipercayai
lagi diyakini.
Orang tua-tua sudah bersama-sama main peranan nasihat,
pujuk, gertak, buka minda, beri fakta dan sebagainya, kerana memang sudah kenal
masak dengan lelaki-lelaki itu berpuluh tahun, tetapi.. langsung tidak
dipedulikan, kerana janji dan harapan palsu sudah penuh merasuk ke dalam akal
dan jiwa. Yang paling penting, dapat berkahwin.
Setelah berkahwin, setelah dapat, maka… janji dan harapan
pun tinggal janji dan harapan. Pelbagai alasan diberi untuk mengelak daripada
menunaikan janji dan harapan. Pelbagai cerita direka dan diubahsuai agar para isteri
terganggu fikirannya lalu melupakan tentang janji-janji dan harapan-harapan.
Para suami itu sendiri pun memang sedia tahu sejak awal bahawa janji-janji dan
harapan-harapan yang menggunung bahkan melangit itu memang tidak akan dapat
mereka penuhi lagi hampir-hampir palsu belaka, tetapi terus dan sentiasa
dilambakkan kepada calon-calon isteri sehingga dengan mudah dapat diperdaya. Matlamat
mereka tidak lain… UNTUK MENDAPAT sahaja. Asalkan dapat, sudah!
Untuk menutup mulut para isteri, maka direcycle hujah-hujah
dulu, kini dan selamanya :
“Bersyukurlah, ada juga makanan dan pakaian. Kalau tak de
langsung?”
“Jadilah. Dapat juga anak. Kalau tak dapat langsung?”
“Tak de mende pun. Hidup kita masih aman. Kalau jadi
macam Syria?”
“Serah kepada Allah sahaja.”
“Ini semua sudah takdir”.
“Tutup semua cerita tu, sekarang kita usahakan kehidupan
kita.”
“Ini bukan waktu untuk salah-menyalah.”
Dan sebagainya.
Denagn harapan agar tidak perlu menunaikan janji, boleh
lari daripada bertanggungjawab, senyapkan tentang amanah, dan orang lupa akan kepercayaan
yang mesti ditunaikan itu. Untuk mengaku salah, tidak sekali-kali, Ego mesti dipertahankan walaupun dalam hal-hal yang tidak benar.
Bukan menyusahkan diri sendiri sahaja, tetapi menyusahkan
orang-orang lain juga.
Abu Zulfiqar
2018
No comments:
Post a Comment