Friday, July 13, 2018

Mahu Cepat Maju dalam Tarekat Ghazaliyah?


PERSOALAN : Usia sudah lanjut tetapi dah tua-tua inilah baru berpeluang untuk bertasawuf, bersufi dan bertarekat. Hari mati semakin dekat sedangkan tahu, faham dan amalnya masih singkat. Apakah tips untuk cepat maju dalam Tarekat Ghazaliyah ini dalam amsa yang singkat?

Jawapan : Untuk cepat maju, sekurang-kurangnya amalkan :

1.       MOHON kepada Allah dengan kadar selalu dan banyak. Pada hakikatnya hanya Dia sahaja yang ada kuasa untuk membuatkan kita dapat dan cepat. Rendahkan diri, lalu bermohonlah. Mintalah.

2.       IKHLAS. Ikhlas hendak tahu, ikhlas belajar, ikhlas dalam bertanya, ikhlas berguru, ikhlas dalam bersuara,  ikhlas beramal, ikhlas menyampaikan dan sebagainya. Ringkasnya, jangan ada langsung sebarang kepentingan keduniaan dan peribadi. Insya-Allah memang cepat mendapat. Tidak mustahil orang melangkah setapak, kita sudah 10-20  tapak. Orang mencapai dalam 20-30 tahun, kita mencapai dalam 2-3 tahun sahaja.

3.       Dan ikhlas tadi mestilah digandingkan pula dengan sikap BERSUNGGUH-SUNGGUH dalam belajar dan beramal. Pengorbanan, itu sudah barang tentu.

4.       Selalu berbual dan selalu MENDENGAR kata-kata para guru dan ikhwan yang berkaitan dengan Tariqah Ghazaliyyah dan seputarnya (sama ada yang kata-kata yang berbunyi di mulut, atau yang dinukil dan ditulis dari hati, atau sebagainya) dan perhatikan keadaan mereka untuk diambil iktibar.

5.       Amalan asas iaitu ZIKIR HARIAN, pemahaman dnan penghayatannya hendaklah istiqamah.

Sahaya sendiri sudah pernah menyaksikan hal dan orang yang sangat pantas kemajuannya dalam Tarekat Ghazaliyah ini hasil mengamalkan 5 perkara di atas. Sukatan pelajaran yang 20 tahun diselesaikan dalam masa 3 tahun sahaja. Dalam sejarah Tarekat Ghazaliyah, Syaikh Ainul Qudhat al-Hamadani berguru dengan mursyid tarekat ini selepas Imam Al-Ghazali iaitu adiknya Imam Ahmad Al-Ghazali dalam masa lebih kurang 20 hari sahaja lalu beliau terus diangkat sebagai guru tarekat ini.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
12 Julai 2018

No comments: